ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TREND PENIPUAN SMS MAKIN BERLELUASA - @PDRMsia

Wednesday 3 September 2014

TREND PENIPUAN SMS MAKIN BERLELUASA - @PDRMsia


sms
Mohd Roze menunjukkan contoh SMS diterima yang menawarkannya wang tunai dan percutian

KLUANG – Polis menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dan berhati-hati apabila menerima sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur peraduan bagi memenangi sesuatu barangan atau percutian.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Roze Shaari berkata, ketika ini trend kes penipuan memenangi peraduan makin berleluasa hingga menyebabkan mangsa kerugian beribu ringgit.

Menurutnya, antara contoh kes penipuan SMS ialah ada dakwaan memenangi hadiah berupa wang tunai hasil peraduan melibatkan nama syarikat besar.

“Mangsa akan menerima panggilan telefon secara terus daripada suspek yang mengatakan bahawa mangsa memenangi wang tunai melalui cabutan bertuah.

“Padahal suspek mengambil secara rawak nombor telefon bagi mencari mangsa untuk ditipu. Dalam trend ini, mangsa perlu menjawab beberapa soalan.

“Soalan yang ditanya mudah dan seterusnya suspek akan meminta mangsa memasukkan wang ke dalam satu akaun bagi tujuan memproses pemindahan wang yang dimenangi mangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam.

Mohd Roze berkata, kebanyakan mangsa terpedaya akan diarahkan pergi ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk mengaktifkan sistem perbankan internet sebelum diberi tunjuk ajar langkah seterusnya.

Katanya, dengan cara berkenaan suspek akan dapat mengakses kepada akaun mangsa seterusnya wang mangsa dapat dipindahkan dalam sekelip mata.

“Mangsa juga pernah kehilangan wang dari akaun mereka selepas beberapa bulan kerana suspek masih mempunyai nombor pin serta kata laluan untuk akses ke akaun mangsa.

“Di daerah ini penipuan seumpama itu makin berleluasa dan pihak kita ada menerima laporan mangsa penipuan berkenaan.

“Kebanyakan laporan diterima, mereka mengalami kerugian lingkungan RM2,000 hingga RM5,000 kerana terpedaya dengan tawaran diberikan suspek,” katanya.

Mohd Roze menyeru orang ramai menghubungi pihak berkenaan untuk memastikan kewujudan peraduan serta tawaran hadiah yang dikatakan.

Selain itu, orang ramai diingatkan agar tidak membuat keputusan terburu-buru sekiranya menerima panggilan telefon yang menawarkan pelbagai hadiah seterusnya merujuk kepada ahli keluarga atau rakan sebelum membuat keputusan.

“Orang ramai juga boleh merujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPD Kluang untuk nasihat lanjut dan memberikan maklumat sekiranya mengetahui kejadian kes penipuan berkenaan,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment