ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: March 2014

Monday 31 March 2014

MAYAT TERSANGKUT PADA PUKAT.


RANTAU PANJANG – Seorang penduduk terkejut apabila terdapat satu mayat tersangkut pada pukat, di Sungai Golok dekat belakang Sekolah Rendah Kebangsaan Rantau Panjang, kira-kira jam 12.10 tengah hari, semalam.

Tanpa melihat mayat tersebut, saksi yang dikenali sebagai Paudin Harun segera melaporkan perkara terbabit kepada anggota polis di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Rantau Panjang.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, identiti mangsa yang ditemui itu, masih belum dikenal.

Namun katanya, mangsa dipercayai warga negara asing kerana tidak mempunyai kesan suntikan BCG.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, lelaki yang berusia 20-an ini ditemui terapung di Sungai Golok dekat Kampung Kedap, di sini.

“Mangsa ditemui agak jauh dari kawasan kediaman dalam keadaan telentang, lengkap berpakaian baju hitam lengan panjang dan seluar paras lutut.

“Mayat dihantar ke Hospital Pasir Mas dan kita masih menunggu hasil bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis membuka kertas siasatan berhubung kes tersebut.

HIMPUNAN REFORMASI 2 UNTUK BELA ANWAR IBRAHIM !!!


Semasa di Kota Bharu dalam roadshow ceramah "Reformasi 2.0 - Kembalikan Keadilan, Hentikan Kezaliman", macam-macam yang Anwar sebut ketika di Padang Perdana, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di hadapan lebihkurang 7,000 orang hadirin pada petang Jumaat lepas.

Majlis ceramah tersebut di hadiri juga oleh Dato' Ahmad Yaacob, MB Kelantan, Saifuddin Nasution, Setiausaha Agong PKR Pusat, Aziz Kadir, Pengerusi Perhubungan PKR Kelantan, Fadli Saari, Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Kelantan dan ramai lagi pemimpin Pakatan Kelantan.

Dalam ucapan yang diselang seli dengan isu-isu lain supaya tak kelihatan dia cuba membela diri dan kerajaan BN mahu digambarkan sebagai zalim, Anwar hanya dapat menimbulkan syak dengan hanya berasaskan perubahan tarikh kes liwat ke dua..

Kononnya Mahkamah Rayuan sepatutnya bersidang dari 7/4/14-10/4/14 bagi kes liwat ke 2 tapi sebaik saja diumum "Langkah KAJANG" oleh PKR, maka tarikh dipinda kepada lebih awal dan keputusan diubah kepada penjara 5 tahun.

Kalau begitu, itu salah mahkamah dan bukanlah salah kerajaan sebab kerajaan tidak boleh tetapkan tarikh bicara oleh Mahkamah Rayuan. 

Pasti ada sebab Mahkamah cepatkan kerana mereka sudah tolak usaha anwar untuk lengah-lengahkan kes dengan guna pelbagai permohonan. Anwar sudah lengahkan mahkamah sebanyak 60 kali!!!

Banyak isu kes lebih disampaikan oleh Saifuddin Nasution di mana katanya Reformasi 2.0 dibuat ekoran hukuman terhadap Anwar diubah oleh mahkamah rayuan yang mana sebelum ini telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi.

Ini betul membodohkan orang awam.

Mahkamah rayuan adalah tempat kedua-dua pihak yang tidak puashati dengan keputusan terutama bila ada isu perundangan yang tiidak konsisten boleh merayu balik. Kes Anwar ada 10 isu yang mana hakim Mahkamah Tinggi enggan buat keputusan betul dengan senagaja untuk elakkkan beban tanggungjawab atau mungkin diugut.

Saifuddin kata Saiful Bahari ada berkomplot dengan PM dan Tan Sri Shafie sebelum membuat laporan polis berhubung kes liwat ke 2 Anwar. Ada bukti? Tiada kerana hanya buat cerita dari pertemuan Saiful untuk minta tolong.

DItambah dengan pembohongan bahawa SAC Rodwan PDRM telah mencuri sampel darah Anwar  semasa kes liwat pertama DSAI di HKL pada tahun 1998 dan diakui sendiri oleh Tan Sri Musa Hassan.

Maklumat itu dicanai dengan isu yang dipertikai di mahkamah yang mana Mahkamah Tinggi telah salah dalam mempertikai bacaan sampel yang disimpan melebihi 96 jam oleh DSP Jude Pereira. Sampel boleh disimpan lama dan sampel masih dapat extract DNA.

Berbalik pada ucapan Anwar, dia cuba menokok tamah sebagai kezaliman BN untuk bakal jatuhkan hukuman terhadap Syed Azman, Anthony Loke, Tian CHua dan Rafizi Ramli.

Anwar turut menyuarakan kritikan dalam hal MH370 yang mana dia akui insiden berlaku setelah 6 jam Anwar dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun oleh Mahkamah Rayuan. Dia turut akui Kapten Zaharie sebagai penyokong setia dan mempunyai hubungan persaudaraan dengan beliau.

Isu-isu yang ditimbulkan agak lemah yang mana dia mempertikai PM hanya datang 9 hari selepas insiden untuk membuat kenyataan media. Apa bendalah Anwar ... ini hal operational maka tugas Menteri dulu hingga ada hal lebih besar untuk PM terlibat.

Anwar dilihat seolah-olah seiring dengan hujah keluarga penumpang di CHina yang menuduh Malaysia menutup sesuatu. Dia kata seminggu Vietnam dan China cari tapi radar di Gong Badak, Terengganu patut tahu dari awal kejadian.

Ini penerbangan awam. Radar Gong badak hanya untuk kegunaan ketenteraan dan hal penerbangan awam adalah dipantau oleh DCA.

Oleh itu, tidak masuk akal untuk Anwar mendesak Pemangku Menteri Pengangkutan dan Menteri Pertahanan meletak jawatan kerana gagal menggunakan aset ketenteraan yang ada. Mana-mana pesawat yang dikesan radar hendaklah diarah keluar. Radar yang ada pada ATM gagal diguna sepenuhnya.

Anwar sedar dia hanya ada baki 4 ke 5 bulan sahaja lagi sebelum dimasukkan kembali ke Penjara. Lalu dia menyeru hadirin tidak perlu menunggu tempoh 4 tahun untuk PRU sebaliknya bangkit menentang kezaliman dan menumbangkan BN/UMNO dari sekarang.

Harap masing-masing bertanya kenapa Anwar tidak jadi saksi untuk bela dirinya tapi hany abuat kenyataan luar dock saksi yang tidak ada eri langsung kerana tiada ssoal balas?

Anwar sendiri tidak mahu pertahan dirinya tapi mahu rakyat pertahankan dia.
The Unspinners

SEMBELIH ISTERI SEBELUM KELAR DIRI ISTERI !!!


Seorang suami yang tiba-tiba naik angin selepas bertengkar dengan isteri bertindak nekad menyembelih wanita itu hingga mati sebelum mengelar diri sendiri dalam kejadian di rumah mereka di Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Cheras, di sini, malam kelmarin.

Malah, lelaki berusia 32 tahun dan memiliki perniagaan sendiri turut menetak dua ekor anjing peliharaan mereka hingga mati.

Kejadian itu dipercayai bermula kira-kira jam 11 pagi apabila beberapa jiran mendengar pasangan suami isteri itu yang tidak mempunyai anak serta sudah tinggal beberapa tahun di rumah itu bertengkar sebelum mayat mereka yang berlumuran darah ditemui sejam kemudian.

Pasukan forensik yang dimaklumkan kejadian itu turut menemui pisau ‘pen knife’ dipenuhi darah dipercayai senjata yang digunakan untuk menyembelih mangsa berhampiran mayat lelaki itu.

Seorang jiran yang enggan dikenali mendakwa mendengar pasangan terbabit bertengkar sebelum mayat mereka ditemui.

Katanya, selepas beberapa ketika bertengkar, seluruh penghuni blok dikejutkan dengan penemuan mayat kedua-dua pasangan suami isteri itu.

“Saya mengenali mereka kerana sudah beberapa tahun tinggal berjiran.


Si suami memiliki perniagaan sendiri, manakala isterinya bekerja sambilan sebagai jurusolek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, pasangan suami isteri terbabit ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan luka pada leher.

Beliau berkata, kedua-dua mayat berkenaan ditemui tertiarap di atas lantai di bilik tidur rumah mereka.

“Turut ditemui dalam bilik sama, dua anjing peliharaan yang sudah mati dengan kesan kelar pada leher,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas dua mayat itu mendapati terdapat kesan kelar di leher sepanjang 10 hingga 15 sentimeter.

Mohan Singh berkata, pihaknya mengesahkan tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat,” katanya.
HMetro

AZMIN ALI KENA TOLAK SANDIWARA ANWAR.


Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali perlu segera sedar dengan menolak sandiwara kotor yang cuba diwayangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam pemilihan parti itu Mei ini.

Hal demikian kerana tindakan Anwar bertanding jawatan Presiden PKR dilihat sebagai taktik licik menyekat Azmin daripada mencabar Wan Azizah memandangkan dalam apa jua keadaan sekalipun, 'insurans politik' terbaik Ketua Pembangkang itu ialah isterinya dan bukan Ahli Parlimen Gombak tersebut.

Bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, walaupun Azmin dianggap banyak pihak sebagai anak emas Anwar tetapi sebenarnya Wan Azizah lebih boleh dipercayai.

"Apa pun saya sebenarnya bersimpati dengan nasib Azmin. Sudahlah impian beliau untuk menjadi Menteri Besar Selangor terbantut akibat mainan politik licik Anwar, sekarang harapan mencabar Wan Azizah turut terhalang sekali lagi kerana mainan licik sandiwara politik Anwar.

"Saya cukup yakin Anwar akan memberitahu Azmin, kamu lawan Khalid (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim), biar saya berdepan dengan Wan Azizah. Tapi sebenarnya Anwar tidak mahu kedudukan Wan Azizah dicabar Azmin," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, PKR mengesahkan pemilihan parti itu Mei ini akan menyaksikan 'pertarungan' antara Anwar dan Wan Azizah bagi merebut jawatan Presiden sehingga menimbulkan pelbagai persoalan apakah benar-benar berlaku atau sekadar satu lagi sandiwara politik.

Bagi kerusi Timbalan Presiden PKR pula, Azmin yang dianggap tidak sehaluan dengan Wan Azizah bakal berdepan cabaran sengit Abdul Khalid dan empat calon lain iaitu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution; K. Ramachandran serta S. Murali.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli menjangkakan Anwar akan mengheret Kementerian Dalam Negeri dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam sandiwara politik ciptaannya itu dengan menuduh wujudnya cubaan untuk menghalang demokrasi dalam PKR.

"Anwar tahu dia tidak layak bertanding kerana dihukum penjara lima tahun akibat kesalahan meliwat dan beliau menjangka ROS akan buat kenyataan berhubung kelayakannya itu. Jika itu berlaku, Anwar akan segera ambil peluang dan menuduh Barisan Nasional (BN) zalim.

"Sebab itu saya berharap Kementerian Dalam Negeri dan ROS tidak akan terheret dalam sandiwara politik ini kerana sememangnya itu yang diharapkan Anwar, biar rakyat sendiri yang menilai dan menghukum PKR kerana saya percaya pengundi sudah cukup matang," ujarnya.

Sementara itu, Zulkifli meminta Karpal Singh yang baharu sahaja melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi DAP selepas didapati bersalah oleh mahkamah dan dihukum denda RM4,000 agar menasihati Anwar supaya tidak bertanding menentang isterinya sendiri.

"Ini kerana kedudukan Karpal dan Anwar adalah sama. Anwar sendiri disabitkan dengan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhary Azlan dan dihukum penjara. Kalau Karpal lepas jawatan sepatutnya Anwar juga tidak bertanding jawatan Presiden," katanya.
Utusan Online

DUA PASANGAN KEKASIH BERI ALASAN "STUDY GROUP" KETIKA DICEKUP POLIS !!!

PASANGAN KEKASIH CALON SPM DICEKUP BUAT "STUDY GROUP" DALAM SEMAK !!!
Remaja terlibat memberi pelbagai alasan apabila polis meminta mereka menghubungi keluarga.
KULIM – Hasrat sepasang kekasih berusia 17 tahun untuk memadu kasih di kawasan semak berhampiran Jana kuasa TNB di sebuah taman perumahan di sini tidak kesampaian apabila aktiviti mereka berjaya dihidu polis yang sedang membuat rondaan pencegahan jenayah, kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pihaknya curiga apabila ternampak sebuah motosikal diletakkan berhadapan jana kuasa itu.

“Setelah mengepung kawasan belukar itu, kami ternampak seorang remaja lelaki keluar dari belakang semak dan beberapa minit kemudian seorang remaja perempuan pula keluar dari tempat sama.

“Siasatan mendapati mereka masih bersekolah dan memberikan alasan berbincang tentang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan diduduki,” katanya kepada Sinar Harian.

Ghuzlan berkata, sepanjang ditahan, pelajar perempuan menunjukkan reaksi agresif seperti menangis, ingin mencederakan dirinya sendiri selain berpura-pura hendak pengsan.

Katanya, bagaimanapun setalah dimaklumkan kepada pasangan itu bahawa polis akan menghubungi kedua-dua keluarga remaja terlibat, keadaan mula terkawal.

“Kedua-dua remaja itu kemudiannya diserahkan kepada keluarga masing-masing,” katanya.


MAHASISWA & MAHASISWI  DICEKUP BUAT "STUDY GROUP" DALAM KERETA JAM 3.30 PAGI !!!
Polis ketika membuat pemeriksaan terhadap pasangan terbabit.

KULIM – ‘Kami tak buat apa-apa encik. Saya dan teman wanita saya sedang berbincang tentang pelajaran.’

Itulah alasan sepasang kekasih yang ditemui berbaring di dalam kereta mereka di Taman Tasek Kulim ketika polis membuat rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pasangan itu masih menuntut di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini.

Menurutnya, ketika polis membuat rondaan, kelihatan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan di tempat letak kereta taman berkenaan kira-kira jam 3.30 pagi.

“Apabila menghampiri kenderaan terbabit, polis mendapati kedua-dua pasangan itu sedang berbaring di dalam kereta.

“Terkejut dengan kehadiran polis, suspek perempuan terus bangun manakala teman lelakinya keluar dari kereta dalam keadaan kedua tangan memegang seluar yang dipakainya,” katanya.

Ketika ditanya pada suspek lelaki, apa yang sedang mereka lakukan dalam kereta dan berbaring dalam keadaan gelap, pelajar tahun akhir itu memberi alasan bahawa mereka sedang berbincang tentang peperiksaan yang akan mereka duduki tidak lama lagi.

“Kami belajar di IPTA sama. Saya sekarang ini belajar dalam semester akhir manakala teman wanita saya belajar di semester tiga."

“Keluarga kami sudah tahu kami berkawan sejak dulu lagi,” katanya.

Ghuzlan berkata, setelah membuat pemeriksaan, polis mendapati pasangan itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Polis akhirnya mengarahkan mereka beredar agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan."


“Sedih saya lihat perlakuan anak-anak muda sekarang ini, ibu bapa diharap memantau anak dalam apa keadaan sekalipun,” 

MH370 : MAS, MAHB KENAKAN PEMERIKSAAN KESELAMATAN PENERBANGAN LEBIH KETAT.


KUALA LUMPUR: Penerbangan Malaysia (MAS) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melaksanakan pemeriksaan keselamatan penerbangan lebih ketat di udara dan di darat berikutan tragedi pesawat MH370.
Menurut satu pekeliling MAS, Juruterbang dan pembantu juruterbang kini tidak dibenarkan untuk ditinggalkan bersendirian di dalam kokpit, walaupun salah seorang daripada mereka pergi ke tandas.
Di bawah peraturan baru itu, seorang anak kapal kabin perlu berada di dalam kokpit sehingga juruterbang atau pembantu juruterbang kembali semula dari tandas.
Apabila makanan dibawa ke kokpit, krew penerbangan dikehendaki berjaga di pintu untuk memastikan tiada penumpang memasuki kawasan larangan itu.
Ketua Jurutebang MAS bagi keselamatan penerbangan dan faktor manusia, Datuk Kapten Missman Leham mengeluarkan pekeliling tersebut kepada semua krew enerbangan.
Sementara itu, MAHB mewajibkan mereka yang terlibat dalam penerbangan antarabangsa untuk melalui dua pengesan logam dan menjalani pemeriksaan badan sebelum mereka dapat memasuki pesawat.
Para pelancong juga kini perlu menanggalkan kasut, tali pinggang, jaket dan meletakkan sebarang peranti elektronik seperti telefon bimbit dan komputer riba untu pengimpasan secara berasingan. Air minuman yang dibotolkan tidak dibenarkan dibawa ke dalam pesawat.
Amerika Syarikat, Britain dan Australia meminta supaya pemeriksaan keselamatan ke atas semua penumpang yang terbang ke negara-negara itu dipertingkatkan.
MAHB turut melaksanakan pemeriksaan tersebut untuk penerbangan antarabangsa lain dan mengguna pakai senarai barangan larangan, yang sama digunakan oleh Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan Amerika Syarikat.
Peraturan itu berkuat kuasa pada minggu 8 Mac, hari di mana pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal.
Jurucakap MAS mengesahkan bahawa syarikat penerbangan itu mempertingkatkan keselamatan dan menyediakan prosedur pemantauan di dalam semua pesawat.
"Bagaimanapun, untuk tujuan keselamatan kami tidak dapat membincangkan sebarang prosedur ini secara terbuka.
"Pemeriksaan keselamatan adalah mandat oleh pihak berkuasa keselamatan penerbangan dan ia dijalankan oleh mereka," kata jurucakap itu.
Seorang juruterbang MAS memberitahu The Star bahawa terdapat beberapa keselamatan dan prosedur keselamatan untuk anak-anak kapal dan kokpit pesawat.
Beliau berkata, terdapat satu peraturan di mana juruterbang dan pembantu juruterbang akan diberikan set hidangan makanan berbeza, yang bertujuan menggelakkan sebarang kemungkinan kedua-dua mengalami keracunan makanan pada masa yang sama.
"Langkah lain apabila anak kapal perlu membuat semakan terhadap semua bahagian di dalam kokpit, kabin , kawasan rehat anak-anak kapal, dapur dan tandas untuk mengesan sebarang objek asing sebelum pesawat dinaiki penumpang.
"Pramugara dan pramugari juga mesti memantau pelancong yang berkelakuan mencurigakan atau penumpang yang mengambil bagasi masuk ke dalam tandas," kata juruterbang itu yang enggan dikenali.
MAHB mengingatkan semua pelancong yang berlepas dari KLIA untuk penerbangan destinasi antarabangsa bahawa mereka perlu membuat pemeriksaan di dalam tempoh tiga jam yang ditetapkan.
"Ini adalah supaya mereka akan mempunyai masa yang mencukupi untuk pemeriksaan imigresen dan keselamatan. Pemeriksaan ketat adalah untuk keselamatan pesawat, penumpang dan anak kapal, dan semua orang perlu memberi kerjasama sepenuhnya," kata jurucakap itu.
Mstar

PAS MULA BERSUARA ISU TUKAR MB SELANGOR !!!


Setelah sekian lama, baru hari ini rakan gabungan Pakatan Rakyat (PR) Selangor, Pas mula bersuara dalam isu pertukaran Menteri Besar Selangor.

Selama ini, mereka senyap dan mengambil sikap berdiam diri atau tunggu dan lihat daripada mencampuri urusan kerajaan negeri, yang mana Pas dan DAP negeri itu telah menyerahkan kepada PKR untuk mentadbir termasuk menjadi Menteri Besar.

Punca kenapa Pas Selangor berdiam diri tidak lain kerana mereka takut dengan gertakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bukan sahaja berkuasa penuh tetapi mempunyai kuasa veto untuk menentukan hala tuju rakan parti dalam PR.

Sejak isu menukarkan Menteri Besar heboh diperkatakan banyak pihak, hanya Pas sahaja tidak berani bersuara kerana rasa takutnya kepada Anwar lebih tebal daripada segala-galanya.

Lihat sahaja apa sudah terjadi kepada bekas exco dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali, kerana kelantangannya menegur rakan mereka iaitu DAP dalam isu penjualan arak di kedai serbanika 24 jam.

Teguran yang membawa kepada perbalahan dengan bekas Exco DAP itu akhirnya menyaksikan Hasan dipecat daripada jawatan Exco Kerajaan Negeri dan parti.

Begitu juga dalam isu penggantian Menteri Besar, dari Tan Sri Khalid Ibrahim kepada Anwar. Semua parti gabungan dalam PR termasuk Pas membisu seribu bahasa. Satu ayat pun mereka tidak berani keluarkan, takut menerima nasib seperti Hasan.

Tetapi, setelah Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 7 Mac lalu memutuskan Anwar bersalah dalam kes liwat II dengan bekas pembantu peribadinya, baru muncul beberapa pemimpin Pas bersuara mengenai kedudukan Menteri Besar Selangor.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan akhbarnya minggu lalu menegaskan, tidak ada keperluan untuk PKR menukar Menteri Besar dengan melantik isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengisi jawatan tersebut.

Beliau dilaporkan berkata, hasrat PKR untuk menggantikan Khalid perlu dibincangkan dan dipersetujui komponen PR.

“Kita dah buat kenyataan sebelum ini bahawa isu Menteri Besar itu perlu dibincangkan dengan melibatkan ketiga-tiga parti komponen PR. Ia perlu melibatkan ketiga-tiga parti komponen yang memerlukan perbincangan di peringkat Majlis Pimpinan PR,” katanya.

Persoalannya, kenapa baru sekarang Tuan Ibrahim bersuara, sedangkan isu ini sudah lebih dua ditimbulkan iaitu serentak dengan pemecatan Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Penggantian Khalid berpunca dari tragedi yang menimpa Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR. Permusuhan antara Khalid dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Gombak itu tidak boleh disembunyikan lagi.

Perbalahan itu berlaku secara terang terangan sehingga wujud dua team dalam PKR iaitu Azmin yang disokong Anwar dan Khalid yang disokong Wan Azizah.

Kegagalan Anwar menempah tiket untuk menduduki kerusi Menteri Besar memang agak mengecewakan. Daripada bercita-cita hendak menjadi Perdana Menteri sehingga Menteri Besar Selangor, semuanya kecundang di awal perjalanan lagi.

Sekarang Anwar mahu bertanding kerusi Presiden PKR, merebut jawatan itu dengan isterinya, Wan Azizah. Tidak pernah berlaku dalam sejarah politik tanah air dan politik dunia, suami mencabar isteri.

Mungkin Anwar telah sedar, era politiknya mula merudum dan akan berakhir bila-bila masa. Kalau sebelum ini beliau memilih jawatan tertinggi untuk didudukinya, hari ini beliau membuat keputusan untuk turun pangkat. Maksdunya, daripada menjadi Ketua Umum PR kepada Presiden PKR.

Itulah satu-satunya tanda kegemilangan beliau semakin menuju kejatuhan. Beliau tidak boleh menyalahkan orang lain lagi kerana beliau yang memilih jalan turun, bukan jalan naik atau jalan mendatar.

Bagaimanapun menurut beliau, pertukaran Menteri Besar bukan satu keperluan kerana prestasi Abdul Khalid memuaskan sepanjang memegang jawatan itu sejak tahun 2008.

“Sehingga kini Pas melihat tidak ada keperluan sangat untuk buat perubahan tersebut. Bagaimanapun oleh kerana jawatan Menteri Besar itu hak bersama di mana ketiga-tiga parti perlu buat keputusan…jadi kenalah duduk bersama untuk berbincang,” katanya.

Semalam, Anwar berkata, parti itu tidak menolak kemungkinan berlakunya perbincangan di peringkat pimpinan parti untuk melantik Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Abdul Khalid.

Walaupun tidak menyatakan secara langsung tetapi Ketua Pembangkang itu mengakui perbincangan untuk peralihan tampuk kerajaan negeri itu akan diadakan kelak.

“Hal itu mereka akan bincangkan melalui pimpinan negeri.  Program Wan Azizah hari ini masih di Kajang. Langkah Kajang masih diteruskan yang mana Wan Azizah sekarang sudah menang di sana,” katanya.

Hujung minggu lalu Wan Azizah memenangi pilihan raya kecil kerusi DUN Kajang dengan majoriti 5,379 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun.

Dalam pertembungan satu lawan satu itu, Wan Azizah meraih undi sebanyak  16,741 manakala Mei Fun sekadar mendapat 11,362 undi, sekaligus menyaksikan PKR kekal mempertahankan kerusi itu sejak tahun 2008.

Kemenangan itu sekaligus menguatkan spekulasi akan berlakunya perubahan tampuk pentadbiran kerajaan negeri ekoran daripada pengosongan secara mengejut kerusi DUN Kajang oleh penyandangnya Lee Chin Cheh bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Bagaimanapun Anwar hilang kelayakan bertanding ekoran keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang memutuskan beliau bersalah dalam kes liwat dan dikenakan hukuman penjara lima tahun, menyaksikan Wan Azizah diletakkan sebagai calon pengganti.

PKR perlu bawa hasrat ke Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat

Tuan Ibrahim menambah, perkara tersebut wajar dibawa PKR untuk dibincangkan segera di peringkat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat agar parti komponen memahami apa yang berlaku.

Menurut beliau, PAS bersedia untuk mengadakan perbincangan bagi mendapatkan penjelasan PKR namun keputusan akhir bergantung kepada persetujuan ketiga-tiga komponen Pakatan.

“Kita sepatutnya fikir tentang keputusan ini, kita perlu duduk berbincang serta lihat apa perkara yang menjadi keperluan dan apa yang bukan keperluan kepada kita.

“Bagi pihak PAS kita rasa tiada keperluan sangat tapi mungkin bagi PKR ia rasa ada keperluan. Jadi kita kena duduk bincang, tengok apa perkara yang menyebabkan PKR rasa ada keperluan,” katanya.

Ujar Tuan Ibrahim lagi, Abdul Khalid telah menunjukkan prestasi cemerlang sejak mengambil alih jawatan Menteri Besar dengan mengambil sistem pentadbiran yang telus dan mesra rakyat.

“Bagi pihak Pas kita rasa prestasi yang ditunjukkan Tan Sri Abdul Khalid setakat ini kita berpuas hati dan pencapaian Selangor juga sangat baik. Cuma kalau ada kelemahan kita boleh perbaiki seperti kita boleh buat teguran, berbincang dan perbaiki lagi kalau ada kelemahan,” katanya.

Ditanya sekiranya Pas bersedia menerima Wan Azizah sebagai Menteri Besar, Pesuruhjaya Pas Pahang ini bagaimanapun mengelak menjawab persoalan tersebut.

“Hingga setakat ini isu itu tidak timbul lagilah sebab bagi kita sekiranya ada keperluan pun kita sedia berbincang. Tak timbul soal terima atau tolak, sehingga ini kita fikir kalau perlu ada perubahan kita akan bincang bersama,” katanya.
Malaysia Today

Sunday 30 March 2014

PENUMPANG FERI CEMAS, RUANG DAPUR TERBAKAR !!!


LANGKAWI: Kira-kira 400 penumpang diarahkan keluar selepas bahagian dapur sebuah feri untuk perjalanan ke Kuala Perlis tiba-tiba berasap ketika baru berlepas dari Jeti Kuah, dekat sini, petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang turut menyebabkan feri berkenaan berpatah balik apabila loceng penggera berbunyi selepas ruang hadapan tiba-tiba berasap dan terbakar.

Ketua Biro Berita Harian Kedah/Perlis Adha Ghazali bersama Koordinator Foto Kedah/Perlis Shahrizal Md Noor dan jurugambar Amran Hamid turut berada di atas feri berkenaan dan merasai suasana panik apabila penumpang berasak-asak keluar melalui tiga pintu disediakan.

Berdasarkan pemerhatian, rata-rata penumpang cemas kerana tidak menyedari kejadian itu, namun masing-masing bergegas keluar sebaik loceng penggera berbunyi buat kali kedua.

Sementara itu, salah seorang kru feri berkenaan yang enggan dikenali mengesahkan kebakaran berlaku di bahagian dapur, namun berjaya dikawal daripada merebak.

Semua penumpang kemudian meneruskan perjalanan ke Kuala Perlis menggunakan feri gantian kira-kira sejam kemudian.
MyMetro

KAKI BUDAK 7 TAHUN TERSEPIT DALAM LUBANG TANDAS.

MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun terpaksa menahan kesakitan hampir dua jam setelah kaki kanannya tersepit di dalam lubang tandas di rumahnya di Taman Tasik Utama di sini Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi tadi, Muhammad Daniel Amir sedang mandi apabila dengan tiba-tiba kaki kanannya termasuk ke dalam lubang tandas itu.

Bapanya Amir Ali, 47, berkata ketika kejadian, mereka sekeluarga sedang bersiap untuk keluar membeli barangan dapur di bandar Melaka.

"Saya terdengar jeritan Daniel lalu terus meluru ke bilik air untuk lihat keadaan dia dan saya nampak kakinya sudah termasuk ke dalam lubang tandas sehingga paras lutut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Ahad.

Katanya beliau cuba mengeluarkan kaki anak sulung daripada tiga beradik itu selama setengah jam, namun gagal sebelum menghubungi bomba.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba Ayer Keroh Mohd Shahril Zauni berkata pihaknya memecahkan mangkuk tandas itu bagi mengeluarkan kaki kanak-kanak itu pada 11.40 pagi.

Amir berkata Muhammad Daniel tidak mengalami sebarang kecederaan selepas kakinya dikeluarkan anggota bomba. 

Bagaimanapun, katanya, beliau akan membawa anaknya itu ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Mstar

KES SAMAN FITNAH RM2 JUTA : KEPUTUSAN PERMOHONAN HADI AWANG 14 APRIL


KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menetapkan 14 April bagi keputusan permohonan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengetepikan perintah penghakiman ingkar berhubung kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.
    
Keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Mohamad Nasrudin Mohamed, memberi tempoh kepada plaintif, Mohd Shamsul yang diwakili peguam A. Vasudevan menfailkan afidavit balasan yang dikemukakan pihak defendan.
    
Abdul Hadi yang merupakan anggota Parlimen Marang dinamakan sebagai defendan, tidak hadir di mahkamah hari ini, beliau diwakili peguamnya, Asmuni Awi manakala plaintif hadir di mahkamah.
    
Asmuni berkata dalam sesi pendengaran itu peguam plaintif, Vasudevan mendakwa wujud elemen baharu yang ditimbulkan pihaknya, justeru memohon
penangguhan bagi memfailkan afidavit jawapan.     

"Kes hari ini ditetapkan untuk pendengaran permohonan oleh pihak defendan. Kami telah failkan hujahan bagaimanapun peguam plaintif meminta penangguhan bagi membolehkan mereka memfailkan afidavit jawapan sebagai tambahan kepada afidavit yang telah mereka failkan dulu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Pada 23 Februari lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Abdul Hadi membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan plaintif pada 5 Disember tahun lepas.
    
Mohd Shamsul mengambil tindakan itu selepas Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan bahawa ada calon PKR yang menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum lepas sebagai alasan untuk Pas meletakkan calonnya bertanding di Dun Bukit Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Dalam pernyataan tuntutannya dia mendakwa ucapan Abdul Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April 2013 telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan. 
Bernama

ANAK SAUDARA MAUT TERBAKAR DEPAN RUMAH !!!


KAJANG: “Saya terkejut sebaik melihat lelaki yang terbakar seluruh badan di depan rumah saya adalah anak saudara sendiri,” kata Badrul Shah Sahak, 45.

Anak saudaranya, Mohd Farid Hassan, 27, maut selepas melecur hampir 90 peratus badannya dalam kejadian di Kampung Sungai Ramal Dalam, di sini, awal pagi kelmarin.

Mangsa yang bekerja sebagai pemandu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang, dekat sini, pada jam 2.30 pagi, namun disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Mangsa datang ke rumah bapa saudaranya itu mungkin untuk meminta pertolongan selepas tubuhnya terbakar.

Setakat ini, polis mendapati tiada kesan jenayah di tempat kejadian seperti penemuan petrol atau pemetik api yang boleh mencetuskan kejadian itu.

Badrul berkata, ketika kejadian, dia dan keluarganya sedang nyenyak tidur sebelum dia terdengar bunyi suara orang meminta tolong dan mengerang kesakitan di luar rumah.

"Asalnya saya tidak mengenali kelibat lelaki yang sudah terbaring di kaki lima rumah saya sambi meminta tolong, namun sebaik menyalakan suis lampu, saya hampir pengsan melihat lelaki itu anak saudara saya.

"Saya kemudian berusaha memadamkan api yang masih menyala di kakinya sebelum menghubungi ambulans yang datang 15 minit kemudian,"katanya ketika ditemui di rumah arwah di Taman Desa Jenaris, di sini, semalam.

Menurutnya, tindakan Moha Farid yang datang ke rumahnya awal pagi itu menimbulkan tanda tanya dikalangan ahli keluarga dan sanak-saudara mereka kerana arwah sudah tiga tahun tidak ditemui.

"Kesibukan arwah yang bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat swasta menyebabkan kami jarang bertemu, malah sambutan hari raya lalu juga kami tidak sempat bertemu kerana arwah keluar bersama rakan," katanya.

Ibu bapa mangsa enggan ditemuramah kerana masih trauma dan tidak percaya dengan kejadian yang menimpa anak sulung mereka.

MANFAAT PISANG UNTUK KESIHATAN.


Manfaat kesihatan pisang untuk badan. Pengisian buah-buahan yang lazat sekali ia ternyata mengandungi pelbagai manfaat kesihatan. Pisang tidak adalah buah-buahan bermusim. Buah ini juga mudah didapati dan harga juga murah.

Pisang mengandungi pelbagai nutrien yang diperlukan oleh badan seperti karbohidrat, kalium , kalsium , protein , lemak , vitamin, dan protein. Berikut adalah pisang untuk manfaat kesihatan.

Mengurangkan tekanan darah : Pisang berguna jika anda kekurangan kalium untuk menurunkan tekanan darah dan mengekalkan keseimbangan cecair badan.

Mengandung asid folik : Bagi wanita hamil , makan pisang bermanfaat untuk perkembangan janin di dalam rahim. Ini kerana pisang mempunyai asid folik kndungan . Walau bagaimanapun, kerana kandungan kalori yang agak tinggi , wanita hamil dinasihatkan supaya berhati-hati dalam makan pisang, tidak berlebihan.

Membantu mengatasi anemia : Bagi pesakit dengan anemia , pisang sangat baik untuk dimakan. Ini adalah kerana bahan-bahan yang terkandung pisang pada buah boleh merangsang badan untuk meningkatkan pengeluaran hemoglobin.

Membantu mengatasi asid gastrik : Pisang juga berguna untuk membantu mengatasi masalah asid gastrik. Pisang dicampur dengan susu memberi manfaat kepada asid perut menentralisir .

Mencegah sembelit : Pisang adalah buah-buahan dengan kandungan serat yang tinggi . Salah satu fungsi serat dalam tubuh adalah untuk memudahkan pergerakan usus. Untuk itu , pisang bermanfaat untuk mengelakkan sembelit.

Meningkatkan mood : Kandungan protein tryptophan dalam pisang bermanfaat untuk meningkatkan mood. Ini protein dalam badan ditukar menjadi serotonin. Serotonin bermanfaat untuk meningkatkan mood, gembira dan tenang. Bagi mereka yang tertekan atau tertekan, ia adalah disyorkan untuk makan pisang kerap.

Sumber karbohidrat : Pisang ialah buah sumber karbohidrat. Makan pisang boleh meningkatkan pengambilan karbohidrat yang membuat badan menjadi lebih kuat. Pisang dapat digunakan sebagai penggalak apabila perut lapar.

Sumber tenaga : Pisang mengandungi tiga gula semula jadi, iaitu glukosa, fruktosa, dan sukrosa. Makan pisang berguna untuk meningkatkan tenaga.

Menyembuhkan jangkitan : Pisang mengandungi vitamin C yang berguna untuk membantu badan dalam menyembuhkan jangkitan. Di samping itu, vitamin C adalah vitamin yang penting dalam pembentukan tisu penghubung, pembentukan darah , dan penyerapan besi.

Sumber vitamin B6 : Selain vitamin C, pisang mengandungi vitamin B6 yang berfungsi dalam pembentukan antibodi.

Itulah manfaat pisang untuk kesihatan . Jika perut lapar dan badan lemah underpowered , makan pisang boleh digunakan sebagai pilihan. Selain lazat dan pengisian, buah ini juga merupakan sumber tenaga.
SUMBER

MH370 : FOTO AIR TERJUN DI BAWAH LAUTAN HINDI !!!


Mauritius adalah sebuah negara kepulauan di Lautan Hindi kira-kira 2,000 kilometer (1,200 batu) di lepas pantai tenggara benua Afrika.

Mauritius pertama kali ditemui oleh bangsa Arab pada 975 Masehi, kemudian oleh Portugis antara 1507 dan 1513. Sejak itu setelah tempoh penggantian dan penjajahan antara Perancis, Belanda dan Inggeris. Pulau ini menjadi republik pada tahun 1968.

Terletak di hujung Barat pulau, anda akan menemui sebuah ilusi yang menarik. 

Bila dilihat dari atas, larian pasir dan endapan lumpur mencipta ilusi 'air terjun bawah laut'. Pandangan satelit (seperti terlihat pada screenshot Google Maps) sama-sama dramatik, pusaran air kelihatan muncul di pantai syurga tropika ini.






dairishare

IKTIBAR DARI TANAH SUCI : AKIBAT TIDAK MENJAGA MULUT !!!

Iktibar Tanah Suci: Musibah akibat tak jaga mulut
Taubat nasuha, sabar wajar jadi bekalan ke Tanah Suci

Tanah Suci Makkah adalah tempat untuk beribadat dengan penuh takzim dan rendah diri. Hati kita perlu bersih sebersihnya tanpa ada sekelumit pun rasa bangga diri, bongkak apatah lagi terlalu meninggi diri. 


Sebelum berangkat ke Tanah Suci amat perlu bertaubat sepenuh hati, insaf akan kesilapan diri atau dalam erti kata lain bermuhasabah diri sepenuhnya.

Cerminlah diri sendiri, adakah kita bersih daripada segala penyakit hati seperti takabur dan suka berlagak seolah-olah kitalah yang paling hebat di dunia ini.

Lihat di sekeliling kita, betapa kerdilnya kita berbanding kuasa Ilahi yang mencipta seluruh alam, sedangkan kita hanyalah insan yang serba-serbi kekurangan. 

Buat taubat nasuh
Untuk itu sebelum berangkat pastikan diri sudah bertaubat nasuha, bersih daripada segala dosa dan lengkapkan diri dengan ilmu agama sebaik mungkin. 

Selain mempelajari apakah rukun haji atau cara membuat umrah, amat perlu kita mempelajari budaya hidup di Makkah, bukan membabi- buta saja kerana silap langkah padah menanti. 

Pengalaman kali pertama ke Makkah bersama beberapa teman sepejabat amat berharga untuk saya mengambil iktibar daripadanya dan saya ingati selamanya. 

Selepas bersarapan pagi di hotel, saya bersama yang lain ke Tanaem untuk bermiqat dengan menaiki bas awam. Saya tersilap, ingatkan melalui pintu depan, sedangkan wanita perlu menggunakan pintu belakang. 

Ditegur pemandu bas 
Pemandu bas menegur saya dalam bahasa Arab yang tidak saya fahami, tetapi rasanya dia mengatakan wanita perlu menggunakan pintu belakang. Saya memang mulut celupar membalas balik, kata saya, “pintu depan atau belakang sama saya kerana kita akan ke destinasi yang sama”. 


Pak Arab itu lantas memarahi saya, jadi terpaksalah saya keluar semula dari bas itu dan memasuki pintu belakang khusus untuk wanita. Setiba di Tanaem, saya terpijak jubah saya sendiri lantas tersungkur, tak semena-mena, teman saya berkata, “itulah mulut tak reti nak jaga, ini Tanah Suci tau bukan Malaysia”. 

Lutut saya luka dan saya beristighfar banyak kali, baru saya sedar jahat mulut dapat balasan Allah sekelip mata saja, tak sampai setengah jam. 

Sejak itu saya bertaubat dan mematuhi apa saja peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi barulah saya dapat menunaikan ibadah sepenuhnya. 

Tetapi, itu sekali, kali kedua pula saya melalui jalan dari hotel ke Masjidil Haram, ramai peniaga memanggil “Ya Rahmah Ya Rahmah, belilah kapet kami”, mereka memang pandai berbahasa Melayu bila mahu menjual barang kepada rombongan Malaysia. 

Tak henti niaga waktu azan 
Dalam hati saya berkata, azan dah berbunyi mereka ni sibuk lagi berjual, tak sembahyang Maghrib ke? Malangnya beberapa langkah selepas itu, entah dari mana datangnya paku karat saya terpijak, tak pasal- pasal darah menitis di kaki saya, sarung kaki yang pakai dipenuhi darah. 


Aduh, sakitnya bukan kepalang, terdengkot-dengkot saya untuk ke Kaabah, tetapi melihatkan darah yang banyak saya terus ke telaga Zamzam membersihkannya. Ya Allah, saya cakap sendirian dalam hati Allah marah dan terus mendapat balasannya, lantas saya bertaubat dan tidak lagi celupar serta sentiasa rendah diri. 

Tidak cukup dengan itu, saya ditempatkan sebilik dengan nenek berusia 75 tahun dan seorang lagi 63 tahun yang benar-benar mencabar kesabaran saya. Banyaknya ragam yang ditunjukkan, dah tua kurang pendengaran. 

Semua ini saya dapat bertahan, kerana disiplin diri semakin baik. Setiap kali tiba waktu makan, saya sediakan makanan untuk mereka. Begitu juga bila mereka meminta saya membelikan barang keperluan atau cenderahati, susah payah saya pasti membelinya, mungkin naluri saya terhadap orang lebih tua amat tersentuh, malah saya sedih melihat mereka, seolah-olah terbayang di mata saya jika saya tua nanti, macam tulah agaknya. 

Atau memang tabiat asal saya gemar melayan orang tua kerana teringat datuk dan nenek yang sudah sekian lama pergi serta abah mahupun mak di kampung yang saya jaga selama ini. Saya pastikan mereka hidup aman sejahtera. 

Alhamdullillah, syukur kepada Allah, akhirnya umrah saya disempurnakan dengan baik dan dua kali dapat mengucup Harajul Aswad, sehingga masih teringat baunya hingga ke hari ini.
Petikan : Berita Harian