ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: 2016

Monday 8 August 2016

KWSP BUKA PENDAFTARAN SIMPANAN SYARIAH


PETALING JAYA: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mahu menukar simpanan konvensional KWSP mereka kepada Simpanan Syariah boleh berbuat demikian mulai Isnin.

Simpanan Syariah KWSP, yang akan dilancarkan pada Januari, kini dibuka kepada semua ahli untuk pendaftaran di cawangan KWSP seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata bahawa pilihan untuk beralih kepada Simpanan Syariah keseluruhannya terpulang kepada ahli dan menasihati mereka untuk memahami sepenuhnya prinsip-prinsip syariah sebelum membuat keputusan bertukar daripada simpanan konvensional KWSP semasa.

Ahli-ahli yang ingin menukar simpanan KWSP konvensional mereka kepada Simpanan Syariah perlu pergi sendiri ke mana-mana cawangan KWSP dan membawa MyKad mereka untuk pengesahan cap jari. Warganegara asing yang menjadi ahli perlu membawa pasport mereka.

"Hari ini merupakan peristiwa bersejarah bagi KWSP kerana kita memulakan pendaftaran untuk Simpanan Syariah," kata Shahril Ridza dalam satu kenyataan, Ahad.

Simpanan Syariah mempunyai saiz dana sebanyak RM100 bilion, bersamaan dengan kira-kira 15 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP yang berjumlah RM681.71 bilion pada akhir Mac 2016.


Ia dibuat berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat. Untuk layak beralih kepada Simpanan Syariah 2017, ahli-ahli perlu mengemukakan permohonan sehingga 23 Disember dan ia tertakluk kepada ketersediaan dana.

Bagi majikan, sumbangan dan proses penguatkuasaan semasa tetap sama.

Tiada perubahan atau borang tambahan perlu dilengkapkan majikan jika pekerja mereka memilih Simpanan Syariah.

Sebelum ini dilaporkan bahawa pilihan skim ini tidak boleh diubah semula kepada skim konvensional yang sedia ada.

Untuk maklumat lanjut mengenai Simpanan Syariah, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi talian 03-89226000.
mStar

SUAMI TERLEPAS TEMBAKAN, ISTERI, ANAK CEDERA


KEPALA BATAS - Seorang wanita dan dua anaknya cedera apabila suaminya yang merupakan anggota polis terlepas tembakan di rumah mereka di Kampung Setol, Tasek Gelugor dekat sini, petang Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, lans koperal berusia 33 tahun itu sedang bertugas, namun difahamkan pulang ke rumahnya sebentar.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, semasa di rumah, anggota tersebut yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) itu dikatakan mengeluarkan pistol jenis Walther P99 sambil memaklumkan hendak membunuh diri.

"Isteri anggota itu yang berusia 27 tahun berada di rumah dan menyedari kejadian berkenaan cuba merampas pistol itu bagaimanapun suaminya telah tertembak lantai dalam bilik rumah mereka.


"Akibat tembakan itu, tiles lantai di bilik itu berkecai dan telah terkena isteri, anak perempuan berusia lima tahun dan anak lelaki mereka berusia tiga tahun," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam tadi.

Abdul Ghafar berkata isteri mangsa mengalami kecederaan di tapak kaki kiri manakala dua anak mereka masing-masing cedera betis kanan dan tapak kaki kiri serta kanan.

Semua mereka menerima rawatan di Hospital Kepala Batas dan dilaporkan stabil, katanya.

Beliau berkata pihaknya telah menahan anggota polis itu dan merampas senjata api berkenaan.

"Anggota polis itu tidak mempunyai masalah disiplin dan ujian air kencing juga negatif. Siasatan lanjut kes itu masih dijalankan," katanya.
Bernama

POKEMON : SKMM TIMBANG KELUAR GARIS PANDUAN KESELAMATAN


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan panduan keselamatan berkaitan permainan Pokemon Go.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata, hal ini selari dengan garis panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh negara-negara lain untuk permainan alam maya itu.

“SKMM sedar bahawa Pokemon Go boleh membawa bahaya kepada orang ramai sekairanya langkah-langkah keselamatan diabaikan sewaktu bermain,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai mengutamakan keselamatan semasa bermain Pokemon Go bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Pemain harus peka dengan persekitaran mereka mengikut undang-undang biasa dan sensitiviti tempatan,” katanya.

Kelmarin, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menggesa semua negeri mengisytiharkan permainan siber Pokemon Go sebagai haram.

Selain itu, pihak berkuasa agama Kelantan dan Kedah akan meneliti terlebih dahulu pengharaman permainan tersebut serta akan memutskannya pada bulan depan.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Othaman sekiranya perminan tersebut boleh memesongkan akidah seseorang maka akan menjadi haram di sisi agama Islam.
SH

Sunday 7 August 2016

KERAJAAN PERKENALKAN SEWA DAN BELI RUMAH DI 5 PPR


PORT DICKSON: Sistem sewa beli rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) akan dilaksanakan di lima PPR yang kini dalam proses penawaran kepada penyewa yang layak. 

Lima PPR berkenaan adalah di Gua Musang, Kelantan sebanyak 1,000 unit; Kampung Hassan, Hulu Selangor (300 unit); Lembah Subang 2, Selangor (1,580); Ladang Siliau, Negeri Sembilan (300) dan Jinjang, Kuala Lumpur (1,000). 

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, berkata sistem itu membolehkan penyewa memiliki rumah selepas membayar sewa bulanan dalam suatu tempoh masa yang akan ditetapkan kemudian. 

Katanya, pelaksanaan sistem itu membabitkan rumah yang dibina oleh kementerian diputuskan dalam mesyuarat Kabinet, minggu lalu. 

"Kerajaan bersetuju melaksanakan sistem ini kerana ramai golongan berpendapatan rendah berhadapan masalah mendapatkan pinjaman bank untuk membeli rumah kerana bekerja sendiri seperti menjadi pemandu teksi dan peniaga kecil," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan Projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Rumah Pangsa Sri Bandar di sini, hari ini. 

Katanya, harga rumah yang ditawarkan adalah RM35,000 berbanding kos sebenar rumah sehingga kira-kira RM160,000.
bharian

Sunday 31 July 2016

"SETIAP GENG ADA PEMBUNUH"


'Fin', itu gelaran anggota kongsi gelap yang sanggup melakukan apa sahaja untuk geng mereka, termasuk membunuh. 

Bekas anggota sebuah geng di ibu kota yang mahu dikenali sebagai 'Dino' berkata, mereka yang digelar Fin ini akan bertindak lebih ganas dan tidak mempunyai belas kasihan terhadap sesiapa pun yang disasarkannya. 

"Fin bererti penyudah atau pengakhiran dalam Latin dan itulah maksud mereka terhadap mangsa. 

"Mereka ini dianggap seperti komando yang berani mati dalam menjalankan setiap arahan atau tugasan yang diterima," katanya. 

Menurut lelaki berusia 32 tahun itu, boleh dikatakan semua kumpulan kongsi gelap mempunyai pembunuh mereka sendiri. 

Dia percaya pembunuhan seorang lelaki yang dikata ketua geng 'Satu Hati' di Setapak Rabu lalu adalah perbuatan Fin. 

"Memang tugas Fin menakutkan kumpulan lain yang mungkin mahu menceroboh kawasan geng mereka," kata Dino. 

Katanya, kawasan ditakluk geng dikenali sebagai 'port'. Kumpulan berkenaan mengutip wang perlindungan serta menjalankan pelbagai aktiviti haram di kawasan itu. 

"Peperangan" berlaku ketika satu geng cuba merampas port kumpulan yang lain, tambah Dino, yang sekarang bekerja sebagai 'bouncer' di kelab malam. 

"Pergaduhan berlaku hampir setiap minggu. Biasanya jika bergaduh, hanya senjata tajam digunakan...tetapi sejak kebelakangan ini banyak kumpulan telah memiliki senjata api kerana harganya murah dan ia mudah didapati," katanya. 

"Kebanyakkan mereka mendapatkan senjata api ini dari Thailand yang diseludup melalui 'jalan tikus' dengan harga antara RM1,000 dan RM20,000 bergantung kepada jenis senjata," katanya. 

Dino berkata, dia terpengaruh untuk menyertai geng lima tahun lalu kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap. 

"Pada mulanya, memang saya tidak berminat langsung untuk menyertai kumpulan ini...tetapi saya perlukan duit...lagipun ketika itu saya tergoda dengan sebuah filem tempatan menayangkan kehidupan kumpulan kongsi gelap. 

"Tugas saya mudah...mengugut dan memukul orang dan jenayah dadah...saya mendapat wang tunai beribu ringgit," katanya - BERNAMA

Wednesday 27 July 2016

PKR BELUM YAKIN CADANGAN ADAKAN PRN PULAU PINANG

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum yakin dengan cadangan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang dikemukakan DAP.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya akan meneruskan perbincangan dengan DAP berhubung cadangan itu.

Jelasnya, PKR akan menghantar satu delegasi pimpinan tertingginya bagi menerangkan pendirian parti kepada pimpinan DAP dalam tempoh terdekat.

"Selepas perbincangan menyeluruh termasuk mengambil kira pandangan masyarakat, mesyuarat telah memutuskan secara sebulat suara bahawa Keadilan masih belum yakin dengan cadangan tersebut.

"Bagaimanapun, atas dasar semangat setiakawan, Keadilan tetap bersedia untuk meneruskan perbincangan dengan parti rakan di dalam Pakatan Harapan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) khas di ibu pejabat PKR di sini, pada Selasa.

Pada Isnin, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng merayu PKR dapat membuat keputusan bersama untuk menyokong diadakan PRN.

Guan Eng mengumumkan bahawa hanya parti Amanah yang setakat ini bersetuju menyokong PRN diadakan.

PENIPUAN LIBATKAN JENAMA AIR ASIA

AirAsia Bhd mengingatkan orang ramai mengenai satu lagi aktiviti penipuan dalam talian yang tersebar luas menerusi media sosial menyatakan syarikat penerbangan itu menawarkan penerbangan percuma selepas mereka menyelesaikan satu tinjauan.
AirAsia atau mana-mana syarikat sekutunya tidak menjalankan tinjauan itu, sebaliknya satu aktiviti penipuan yang menggunakan jenama AirAsia secara tidak sah.
"Kami menasihatkan orang ramai supaya mengabaikan pelawaan itu, dan AirAsia tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas mana-mana dakwaan membabitkan skim palsu berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Kami mengulangi bahawa AirAsia tidak melibatkan perkhidmatan pihak ketiga dalam penganjuran aktiviti, dan sebarang pengumuman akan dibuat menerusi saluran rasmi seperti media masa yang berwibawa serta saluran media sosial rasmi kami," kata syarikat penerbagan tambang rendah itu.
AirAsia sudah membuat laporan polis dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas individu atau kumpulan yang terlibat dalam penganjuran skim haram menggunakan jenama AirAsia.

Tuesday 19 July 2016

SPRM : KAMI SEDIA SIASAT "PENDRIVE" TMJ

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengalu-alukan Tunku Mahkot Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menyerahkan 'pendrive'  yang mengandungi pelbagai maklumat berhubung rasuah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada pihak mereka.

Semalam, Tunku Ismail mendakwa memiliki dokumen penting berkaitan aktiviti dalaman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), termasuk berkaitan ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan pihaknya akan bertindak sejurus sahaja maklumat yang konkrit diterima mereka.

"Sekiranya terdapat maklumat yang mempunyai asas di bawah kesalahan Akta SPRM 2009, pihak SPRM bersedia mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang," petik kenyataan SPRM hari ini.

TMJ semalam mendakwa memiliki 'pendrive' yang mengandungi bukti rasuah selama 30 tahun FAM.

“Ini adalah 'pendrive' diberikan kepada saya oleh sahabat-sahabat saya yang berkedudukan tertinggi di Kuala Lumpur berkenaan maklumat dan aktiviti dalam FAM, ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

"Orang-orang media yang FAM selalu gunakan termasuk bekas-bekas pemain di Malaysia, duit-duit kelab yang diambil oleh FMLLP ( Usahawan Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia ) dan diberikan kepada FAM serta laporan audit yang merepek," katanya seperti yang dipaparkan di laman sosial rasmi Johor Southern Tigers.

Dalam pada itu, kemas kini status di laman sosial Facebook Johor Southern Tiger hari ini memaklumkan bahawa Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bakal bertemu dengan Exco Tertinggi serta pegawai-pegawai  dalaman FAM di Kuala Lumpur atau Johor Bahru secara tertutup.

Difahamkan, pertemuan itu adalah bertujuan bagi menggesa individu-individu tertentu untuk berundur dan menyerahkan tugasan tersebut kepada mereka yang lebih berkaliber, dedikasi dan penuh integriti bagi menerajui FAM serta pengurusan pasukan kebangsaan.

Selain daripada itu, kemas kini status berkenaan juga turut menyatakan bahawa Tunku Ismail tidak mahu membuat pendedahan secara keseluruhan berikutan tidak mahu menganiaya sesetengah individu serta mahu menyimpan sebahagiannya terlebih dahulu atas sebab ia mempunyai nama serta dapat memberi implikasi besar kepada individu tertentu.
SH

Wednesday 13 July 2016

@PDRMsia NAFI KHABAR ANGIN PERGADUHAN KAUM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan khabar angin kononnya keganasan kaum akan tercetus semasa sambutan Hari Malaysia pada September depan.

Sehubungan itu, PDRM memberi amaran bahawa mereka yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin itu akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan perbuatan berbaur hasutan dan penggunaan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

"PDRM ingin menegaskan bahawa mesej itu tidak berasas dan disebarkan pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan merosakkan keharmonian kaum dan menggugat ketenteraman awam," kata Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Khabar angin itu, yang disebar melalui media sosial, turut meminta orang bukan Melayu supaya menyimpan bekalan makanan dan keperluan lain bagi menghadapi kejadian yang dikatakan akan berlaku pada 16 September itu.
BERNAMA

LARANG LAKSANA KAEDAH LAHIR BAYI DALAM AIR


PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) melarang kaedah melahirkan bayi dalam air dilakukan di mana-mana hospital swasta di negara ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr S Jeyaindran.

Beliau berkata, larangan itu dilakukan kerana masih tiada bukti yang mengatakan kaedah kelahiran seperti itu dapat memberi manfaat kepada para ibu.

Baru-baru ini, KKM memberikan notis larangan tersebut kepada Hospital Pantai, Kuala Lumpur yang kemudian mencetuskan perdebatan di media sosial susulan arahan tersebut.

Jelasnya arahan yang sama akan diberikan kepada mana-mana hospital yang menawarkan perkhidmatan berkenaan.

"Kita mengeluarkan arahan ini demi faktor keselamatan, walaupun kaedah itu telah dipraktikkan beberapa tahun sebelum ini dan tidak berlaku apa-apa insiden namun sekiranya ada bayi yang meninggal dunia menggunakan kaedah itu, siapa yang akan bertanggungjawab?"," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya larangan itu akan diteruskan selagi masih tiada bukti yang menunjukkan kelahiran dalam air adalah selamat dan memberi manfaat kepada ibu dan mereka yang terlibat.
Bernama

Monday 23 May 2016

"IA SEKADAR SUKA-SUKA' - TMJ

JOHOR BAHRU - “Tiada apa-apa tujuan secara peribadi,” jelas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung penyiaran gambarnya diberi hidangan gajah.

Pelbagai reaksi diterima, namun Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui ia sekadar suka-suka untuk rakannya iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pahang.

“Apabila ia berlaku kepada kami terutama apabila kami kalah, semua orang turut sama-sama bergabung dan menjadikan kami bahan jenaka mereka.

“Sehinggakan ada juga yang memijak bendera kami. Namun, apabila kami melakukan sedikit perang psikologi kepada mereka, semua orang tiba-tiba berubah menjadi orang yang alim.

“Apabila ia datang daripada saya atau JDT, sesetengah orang menjadi terlalu sensitif. Saya tidak tahu mengapa.

Mungkin kerana teman wanita mereka mahu merakamkan gambar bersama saya atau anak-anak mereka melihat saya sebagai seorang wira. Saya tidak tahu.

Apa-apa sahajalah,” katanya seperti dipetik daripada laman Facebook Johor Southern Tigers, dalam satu wawancara, di sini, semalam.

Muat naik berkaitan gambar itu disiarkan selepas JDT menewaskan Pahang 6-0 di gelanggang lawan, malam kelmarin. 


Mengakui dirinya seorang kompetitif, Tunku Ismail berkata, hakikatnya semua individu dalam bola sepak seperti presiden, pemilik, CEO, jurulatih, pemain dan kakitangan adalah rakan.

“Kami makan bersama-sama, kami saling berhubung, kami keluar bersama-sama dan sebagainya. 

Ia berlaku di sini, di Eropah atau di negara lain.  Orang yang sentiasa bertelagah adalah penyokong.

“Itulah sebabnya kadang-kadang saya tidak faham. Ia kelakar,” katanya.

Beliau turut mengakui gembira dengan kejayaan skuad Harimau Selatan di Stadium Darul Makmur, Pahang.

Bagaimanapun katanya, JDT sekarang ini perlu tumpukan perhatian kepada persiapan pasukan untuk Piala AFC.

Selain itu, Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) itu turut mengulas komen yang dibuat sesetengah pihak, mengatakan berdoa tibanya hari untuk JDT ‘jatuh’.

“Sekarang, saya ingin bertanya sesuatu kepada anda yang bijaksana.

Apakah maksud ‘jatuh’? Tidak memenangi trofi? Bukan wahai sahabatku.

Kejatuhan adalah apabila JDT gagal membayar gaji, padang tenggelam di dalam laut, stadium runtuh, tewas 12-0 setiap perlawanan, muflis ataupun pasukan ini sudah tidak wujud lagi.

“Hari itu tidak akan terjadi. Ini kerana insan ini tidak pernah curi wang rakyat dan membunuh orang. 

Semua saya lakukan sejak hari pertama adalah bantu orang ramai dan menyatupadukan rakyat. Jadi saya tidak bimbang. ALLAH akan sentiasa bersama orang-orang yang benar. Selamat menikmati hari yang indah,” katanya. - SH

Monday 9 May 2016

WARTAWAN HIBURAN KONGSI KISAH TELEFON MELETUP, KELUAR API JADI VIRAL


PETALING JAYA: Seorang wartawan hiburan yang berkongsi kisah ngeri di Facebook ketika telefon genggam dicas anaknya meletup lalu mengeluarkan api menjadi viral apabila peristiwa tersebut dikongsi lebih 19,000 pengikut laman sosial itu.

Perkongsian itu sehingga Sabtu turut mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai apabila lebih 7,000 komen ditinggalkan.

Tengku Khalidah Tengku Bidin, 42, yang merupakan editor hiburan Utusan Malaysia berkata, kejadian malang itu berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi Sabtu ketika anak gadisnya dikenali sebagai Dina mengecas telefon genggam di sebuah bilik rumah mereka di Setiawangsa dekat sini.

Bagaimanapun selepas setengah jam kemudian, telefon berkenaan meletup lalu mengeluarkan api sehingga turut menyambar bantal yang digunakan bagi melapik alat telekomunikasi itu.

“Saya di dapur, terkejut bila anak menjerit-jerit, api... api. Api menjulang dari hand phone (HP) berasap-asap. Nasib kami sangat baik sebab HP tu memang tak ada siapa yang pegang. Memang saya selalu ingatkan anak, masa HP sedang cas tak boleh guna,” katanya dalam laman Facebook miliknya pada Sabtu.

Tambahnya, semasa kejadian dia melihat api menjulang keluar dari telefon berkenaan selain mengeluarkan asap yang banyak.

Ketika itu dia sempat bergegas menutup suis utama elektrik rumahnya bagi mengelakkan berlakunya litar pintas.

Dalam pada itu Tengku Khalidah yang juga Presiden, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) kepada mStar Online berkata, perkongsian kisah ngerinya adalah sebagai pengajaran buat diri sendiri selain meminta orang ramai mengambil iktibar atas apa yang berlaku.

Ujarnya, dia mengesyaki kejadian itu berpunca daripada masalah bateri telefon berkenaan yang berkemungkinan sudah lemah sehingga ia meletup apabila dicas.

Bagaimanapun dia bersyukur kejadian itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa.

"Saya meminta orang ramai agar lebih berhati-hati ketika mengecas hand phone masing-masing agar kejadian sama tidak berulang.  Ambillah ia sebagai pengajaran agar kita dapat hindari kemalangan yang kita tidak jangkakan," katanya.
mStar

Saturday 7 May 2016

ADENAN DAPAT MANDAT BESAR 72 KERUSI


KUCHING: Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berjaya memperolehi mandat besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinannya memenangi 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Adenan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang Dipetua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud pada pukul 10 malam di bilik menghadap utama Astana Negeri, Petra Jaya.

Wednesday 4 May 2016

PENDUDUK RANTAU PANJANG, PEKAN GOLOK BERPESTA


Paras air Sungai Golok dekat Rantau Panjang yang semakin surut akibat kemarau menyebabkan dasarnya semakin cetek.
Ini dapat dilihat di sepanjang pekan Rantau Panjang, yang mana paras airnya kini sedalam paras lutut orang dewasa atau kira-kira 0.4 meter.
Keadaan itu diambil kesempatan oleh ribuan penduduk sama ada di pekan Rantau Panjang dan pekan Golok, Thailand berulang alik menyeberang sungai dengan berjalan kaki sahaja.
Sungai Golok adalah sempadan pemisah antara Kelantan dengan Thailand bermula dari Pengkalan Kubur, Tumpat (Tak Bai, Thailand) ke Jeli, Kelantan (Buketa, Thailand).
Pada hari biasa jika tidak berlaku kemarau panjang, sungai ini antara paling sibuk dengan pengangkutan air seperti perahu, yang berulang alik membawa penumpang serta barang dagangan.
Bagaimanapun, sejak tiga bulan lalu, musim kemarau yang panjang melanda Kelantan akibat cuaca panas El-Nino menyaksikan paras air Sungai Golok menyusut secara mendadak.
Pada kesempatan itu, ribuan penduduk dari kedua-dua pekan berkenaan menggunakan peluang itu untuk berpesta. Mereka turun bermain air dan mandi manda di sungai itu secara beramai-ramai, di samping mengeratkan silaturahim antara mereka yang bersaudara.
Suasana meriah ini sempat dirakam di sekitar Pengkalan Tok Che Ngah atau Pengkalan Pasir Rantau Panjang, apabila penduduk berhampiran dari tebing Rantau Panjang dan tebing pekan Golok berpesta di sepanjang sungai itu.
Keadaan ini boleh dikatakan jarang berlaku sebab itu kebanyakan penduduk mengambil kesempatan bermain air.
Namun, pasukan keselamatan dari kedua-dua pihak turut mengambil langkah keselamatan bagi mengelak penduduk dari pekan Golok memasuki negeri ini secara tidak sah.
Begitu juga dengan pasukan keselamatan Thailand. Mereka tetap menjalankan tugas bagi memastikan tidak berlaku kejadian pencerobohan. - MalaysiaGazette

Tuesday 3 May 2016

BUBAR AMANAH JIKA SAYANG PAS


RANTAU PANJANG – Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan mencabar Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah membubarkan Parti Amanah Negara sekiranya benar-benar menyayangi Pas.

Presidennya, Razak Abas berkata, tindakan Wan Abdul Rahim terhadap Pas sebelum ini tidak pernah selari dengan ucapannya ketika ini.

Menurutnya, selepas kalah, Wan Abdul Rahim keluar Pas dan menubuhkan Amanah, malah mengaitkan 10 lagi Adun menyertai Amanah.

“Ini bermakna dakwaan tidak sanggup melihat Kelantan jatuh ke tangan BN adalah bohong kerana niatnya mahu berbaik dengan Pas adalah kerana kerusi pilihan raya umum (PRU) nanti.

“Konon darah masih hijau juga adalah satu perumpamaan yang melucukan kerana semua dah lihat keperibadiannya, melebihi oren daripada hijau,” katanya.

Razak berkata, tindakan Wan Rahim umpama ‘menghidangkan gula kepada semut’ iaitu menarik simpati mengundi Pas agar memilih Amanah.

Menurutnya, keperibadian Amanah jelas menunjukkan mereka memendam dendam terhadap pimpinan Pas, malah mengaitkan Umno dengan Pas.

Semalam, Sinar Harian melaporkan kesungguhan Amanah menunggu Pas untuk berunding dan bekerjasama bagi menyekat Umno bertapak semula di Kelantan.

Malah katanya, Amanah serius mahu membentuk kerjasama dengan Pas kerana tidak sanggup melihat BN merampas semula Kelantan.

Monday 2 May 2016

DAKWAAN GST BAKAL NAIK..., POLITIK BUSUK TERDESAK DAP SARAWAK


Dakwaan Dap Sarawak bahawa kerajaan akan menaikkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada sekurang-kurangnya 10 peratus jika Barisan Nasional (BN) menang besar dalam pilihan raya negeri itu dilihat bukan sahaja ‘melucukan’ malah boleh disifatkan sebagai satu ‘politik busuk’ orang yang terdesak.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar berkata usaha terdesak mereka itu sememangnya sesuatu yang sudah dijangka kerana dalam mana-mana pilihan raya sekali pun mereka tidak pernah lekang daripada menimbulkan pelbagai dakwaan membabi buta bagi memancing sokongan rakyat.
Menurut beliau itu adalah permulaan dan selepas ini mungkin akan ada abanyak lagi cerita-cerita karut yang akan dikeluarkan seperti itu kerana hari ini sememangnya mereka ketandusan isu setempat untuk dimanipulasi.
“Tidak pelik dengan kenyataan berkenaan kerana isu-isu setempat saya percaya di bawah Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan barisan kepimpinan kerajaan negeri telah melaksanakan yang terbaik untuk rakyat.
“Jadi apabila ketiadaaan isu-isu setempat maka isu nasional akan dijaja dan dimomokkan kepada rakyat Sarawak. Namun apa pun kita penuh yakin rakyat negeri berkenaan dapat melihat dengan lebih dekat siapa yang benar-benar mampu membawa aspirasi mereka,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Dap Sarawak mendakwa kerajaan akan menaikkan GST kepada sekurang-kurangnya 10 peratus jika BN menang besar dalam pilihan raya negeri itu.
Memetik laporan  Ketua Dap Sarawak, Chong Chieng Jen mendakwa langkah itu akan diambil susulan kejatuhan harga minyak dunia dan kehilangan berterusan hasil kerajaan.
“Pilihan raya Sarawak akan menjadi ujian penerimaan rakyat terhadap GST; ia akan jadi saatnya untuk rakyat Sarawak menentang GST melalui undi mereka. Kejayaan BN akan dilihat sebagai restu kepada GST dan jika BN menang besar, besar kemungkinan GST akan dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 10 peratus,” kata Chong.
Mengulas lebih lanjut Jamawi seterusnya menegaskan apa pun keputusan pilihan raya negeri bukanlah akan menjadi penunjuk seperti mana dakwaan berkenaan.
Ini kerana katanya sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, sebarang perubahan atau sebarang pelaksanaan akan dibawa kepada kabinet dan seterusnya dibincangkan di Dewan Rakyat.
“Logik akal…takkan nak senang-senang buat macam tu. Janganlah hentam kromo dan pukul borong sahaja. Mereka sekadar timbulkan itu dan timbulkan ini. Kena ingat sejarah pembohongan pembangkang menjelang Pilihan raya Umum ke-13 yang lalu berkenaan dakwaan 40,000 pengundi bangladesh.
“Jadi dalam soal ini, janganlah mudah terpengaruh dengan dakwaan yang tidak berasas itu. Inilah realitinya yang perlu difikirkan bersama untuk kepentingan rakyat Sarawak,“ katanya. -MediaUMNO

Tuesday 26 April 2016

HAIWAN BERBISA MASIH GAGAL DITEMUI

KOTA BHARU - Gerakan mengesan dan mencari haiwan berbisa yang menyebabkan kematian murid tahun 1, Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Hashim 1, Nuriey Nadhirah Ruslan, 7, Selasa lalu, diadakan semalam.

Setiausaha Bomba Sukarela Squad 4x4 Kelantan, Baharin Mat Hassan berkata, operasi terbabit turut melibatkan keluarga mangsa yang dibantu pengusaha-pengusaha trak di negeri ini dengan kerjasama pihak sekolah.

“Operasi dijalankan seawal jam 10 pagi dan berakhir jam 12 tengah hari dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa bersama sebuah jentera bomba dan enam anggota

“Turut menyertai operasi, pasukan bomba sukarela squad 4x4 Kelantan dengan lapan anggota di samping bantuan polis termasuk anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), “ katanya kepada Sinar Harian.

Baharin berkata, gerakan mencari haiwan berbisa itu diadakan di pekarangan sekolah selesai kira-kira jam 12 tengahari.

"Malangnya, tiada sebarang haiwan berbisa ditemui," katanya.
SH

PRN11: BN LANCAR MANIFESTO 15 PERKARA UTAMA


KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak mengumumkan manifesto parti bertemakan 'Beri Peluang Kepada TeamAdnan #theAdnanWay dengan menggariskan 15 perkara utama dalam usahanya mengekalkan kemenangan penting pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 7 Mei depan. 

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, melancarkan manifesto itu pada satu majlis di Bilik Persidangan, Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di Jalan Bako, di sini sebentar tadi. 

BN menjadi parti politik pertama melancarkan manifesto bagi pilihan raya negeri ke-11. Sementara, PKR dan DAP mengumumkan manifestonya bersama dijadual jam 11 pagi ini, disusuli parti pembangkang tempatan termasuk SNAP. 

Manifesto BN diterbitkan dalam empat bahasa - Bahasa Malaysia, Inggeris, Iban dan bahasa Cina, turut memuatkan perutusan Adenan. 

Adenan pada sidang media selepas pelancaran menjelaskan manifesto PRN kali ini, mengandungi 53 prinsip dan tindakan, dengan rangkuman kepada dua perkara utama iaitu komitmen sudah dilakukan BN sejak dua tahun lalu serta perancangan untuk masa depan. 

Berikut senarai 15 teras utama dalam manifesto PRN BN: 
1. Menegakkan hak Sarawak dan rakyatnya 

2. Mempertahankan keamanan dan keharmonian negeri kita 

3. Memelihara budaya, warisan dan kepercayaan pelbagai kaum di Sarawak 

4. Menjamin hak rakyat ke atas tanah mereka 

5. Melindungi dan memulihara alam semulajadi 

6. Mempertingkatkan kebajikan golongan yang kurang bernasib baik 

7. Menyediakan lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana 

8. Mempercepatkan pembangunan jaringan jalan, liputan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi 

9. Meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan 

10. Meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti sosio-ekonomi 

11. Mengiktiraf dan membangunkan potensi belia demi masa depan kita 

12. Memajukan pendidikan dan latihan teknikal 

13. Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak 

14. Membangunkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk pelaburan dan keusahawanan 

15. Industrialisasikan negeri melalui sektor pembuatan, pelancongan dan transformasi luar bandar.

bharian

Wednesday 6 April 2016

RAFIZI DITAHAN KERANA DEDAH MAKLUMAT OSA


Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli ditahan polis petang Selasa kerana dedah maklumat yang dibawah Akta Rahsia Rasmi mengenai 1MDB.
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan ditahan dekat pintu pagar utama bangunan Parlimen ketika hendak keluar dari situ.
 
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sahkan penahanan Rafizi dan  akan disiasat dibawah Seksyen 8 Akta Rahsia rasmi 1972.

Tuesday 5 April 2016

MAHATHIR DAH JADI AHLI POLITIK "LOW CLASS"


PETALING JAYA – “Mahathir sudah sampai ke tahap ahli politik low class”, kata Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz apabila mendakwa bekas Perdana Menteri menghalalkan cara asalkan niat menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak tercapai.

“Ya, dia menghalalkan cara. Prinsip dia, buat apa sahaja perkara boleh dilakukan asalkan niatnya tercapai.

“Dia kini sudah sampai ke tahap ahli politik yang ‘low class’. Sungguh sedih. Tetapi nak buat macam mana. Dia buat diri dia macam itu,” katanya, lapor Sinar Harian.

Menteri Kebudayaan dan Pelancongan itu berkata, Dr Mahathir semakin terdesak kerana rancangannya untuk menjatuhkan Najib masih belum berjaya dan terpaksa menghalalkan apa saja cara asalkan niatnya itu tercapai.

Kata Nazri, dendam kesumat Dr Mahathir terhadap Najib telah melampaui daripada yang biasa.

“Dia seorang yang sudah terdesak. Sebelum ini, setahun dia cuba jatuhkan Najib tetapi dia gagal. Ahli Umno tetap berdiri teguh di belakangnya (Najib). Jadi sebab itu, dia (Mahathir) keluar parti dan anak dia pula kena buang. Bertambahlah dendamnya.

“Jadi dia akan ambil apa sahaja kesempatan untuk menggabungkan usaha menjatuhkan Najib. Contohnya dia tengok perhimpunan Mansuh GST boleh jatuhkan Najib, dia akan turut serta. Sampai ke situ dendam dia,” katanya.

Katanya, usaha keras Mahathir untuk menjatuhkan Najib tidak akan berjaya kerana prinsipnya sudah tersasar.

“Rakyat tahu yang mana boleh ikut dan tidak. Nampak sangat dia duduk dengan pembangkang, dia berkompromi dengan prinsip dia. Amat memalukan.

“Sekarang, dalam politik dia sudah sampai ke tahap yang rendah. Langsung tidak ada prinsip,” katanya, lapor akhbar itu lagi.
FMT

Sunday 3 April 2016

SERPIHAN KABIN DIPERCAYAI MILIK MH370 DITEMUI DI PULAU RODRIGUES


PULAU RODRIGUES: Serpihan dari bahagian dalam kabin dipercayai milik pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, dijumpai di sebuah pulau di Mauritius, di timur Afrika.

Pakar Bebas MH370 (IG), Don Thompson sudah melihat gambar bahagian serpihan itu dan berkata ia kelihatan padan dengan dinding sekat kabin kelas perniagaan, pesawat MAS Boeing 777.

Kemasan hiasan pada bahagian itu bagaimanapun, tidak terhad kepada seksyen milik B777 dan mungkin juga dari kelas ekonomi, kata Thompson kepada news.com.au.

Maklumat itu disampaikan kumpulan tersebut kepada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) pagi Ahad.

Jika terbukti objek itu datang dari pesawat MH370, ia penemuan yang sangat penting kerana menjadi serpihan dalaman pertama yang mungkin pernah ditemui.

Serpihan itu juga akan memberi lebih banyak gambaran tentang bagaimana pesawat itu terhempas ke dalam air.

Bangkai pesawat itu ditemui pasangan yang sedang bercuti di Pulau Rodrigues ketika bersiar di pantai dekat War-Brûlé antara Mourouk and Gravel, pada Khamis.

Jean Dominique dan Suzy Vitry, yang tinggal di La Reunion berdekatan lokasi penemuan flaperon yang disahkan dari pesawat itu Julai lalu, terus mengesyaki mereka menemui satu lagi serpihan MH370, lapor laman web Reunion, Clicanoo.

Pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang pada 8 Mac 2014 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 orang penumpang. 

Meskipun operasi pencarian dilakukan di Lautan Hindi tiada penemuan konkrit yang membawa kepada penemuan bangkai pesawat yang hilang itu.
mStar

PARTI HARI JADI DISERBU


KOTA BHARU - Sekumpulan lelaki dan wanita yang menggunakan alasan untuk menyambut hari lahir di sebuah hotel di sini kelmarin, terpaksa membatalkan niat mereka selepas parti terbabit diserbu penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MKPB-BRI) di sini malam kelmarin.

Lebih mengejutkan, sambutan majlis itu yang menonjolkan acara karaoke turut diselitkan dengan tarian wanita dan pondan yang berpakaian mencolok mata.

Ketika serbuan dilakukan, hampir 50 tetamu yang hadir di majlis itu sedang leka menari dan menyanyi dan dikejutkan dengan kehadiran penguat kuasa.

Semasa serbuan dijalankan, keadaan menjadi kelam kabut dan tiga mak nyah sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran penguatkuasa.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan MPKB-BRI, Ramli Che Hussain berkata, serbuan melibatkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), dan polis itu, dijalankan hasil maklumat awam berhubung parti terbabit yang dianjurkan di dewan hotel itu.

“Penganjurnya, seorang wanita muda berusia-20an telah melakukan kesalahan di bawah enakmen kanun hiburan dan dikenakan kompaun RM5,000.

“Ini jelas satu kesalahan memandangkan dia (penganjur) buat majlis yang turut menyediakan hiburan karaoke, percampuran antara lelaki dan wanita dan pakaian wanita serta pondan yang mencolok mata,” katanya kepada Sinar Harian.

Ramli berkata, tiga wanita dan seorang pondan yang ditahan pula diserahkan kepada pihak JHEAIK untuk siasatan lanjut.

“Manakala set karaoke bernilai RM8,000 turut dirampas dan disita untuk tindakan susulan.

“Kita memandang serius perkara ini yang mengundang masalah sosial kepada masyarakat dan akan lakukan operasi seumpama ini secara berterusan,” katanya.
SH

Wednesday 30 March 2016

'SAYA TAK PERNAH SOKONG DEKLARASI MAHATHIR NAK JATUHKAN NAJIB' - KU LI

Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan beliau tidak pernah menyokong Deklarasi Mahathir untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata tidak timbul soal beliau berubah pendirian dan kini menyokong Najib sebagaimana didakwa bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad kerana menandatangani Deklarasi Kelantan Khamis lalu untuk menyokong Najib sebagai perdana menteri dan presiden UMNO

“Sebenarnya dokumen itu (Deklarasi Kelantan) adalah dokumen biasa yang dibuat oleh mana-mana majlis parti politik … dokumen itu tidak ada kesan kepada perundangan. Sebagai ahli UMNO saya boleh saja tandatangan.

“Jangan salah faham, saya tandatangan sebagai ahli UMNO, saya tidak berada di mana-mana kumpulan selain daripada UMNO,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya.

Tengku Razaleigh berkata beliau tidak menyokong cara Tun Mahathir untuk menurunkan Najib kerana ia bertentangan dengan perlembagaan dan sistem demokrasi negara.

Dalam pada itu, beliau berkata Deklarasi Mahathir tidak akan membawa apa-apa kesan kepada pemimpin serta kerajaan yang sah dipilih rakyat dan mengikut perlembagaan negara.

“Saya cakap dengan Tun Mahathir, kalau hendak buat gerakan ini akhirnya ke mana kita pergi, beliau kata akan pungut banyak sokongan menerusi tandatangan dan sebagainya dan gunakan ia untuk tekan orang atasan untuk turunkan Najib”.

Sementara itu, Tengku Razaleigh menafikan ada mengedar akuan bersumpah yang menyokongnya untuk menjadi perdana menteri seperti yang tersebar dalam media sosial.

“Saya lihatnya di Facebook melalui telefon saya … tidak berapa jelas seperti surat kepada Agong meletak nama saya sebagai contoh,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata beliau sudah terlalu lama dalam UMNO untuk menjadi seorang perdana menteri dan adalah mustahil beliau yang menulis surat tersebut dan meletak nama sendiri.