ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MUHYIDDIN PUAS HATI GERAK KERJA JENTERA BN

Monday 22 September 2014

MUHYIDDIN PUAS HATI GERAK KERJA JENTERA BN


Tumpat – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan gerak kerja jentera Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor dan yakin calon BN akan memenangi pilihan raya kecil itu Khamis ini.

Keyakinan itu dinyatakan Muhyiddin yang turun padang buat kali kelima ke kawasan DUN itu hari ini ketika melawat petugas BN dan beramah mesra dengan pengundi di Kampung Telaga Bata.

Muhyiddin memulakan jadualnya hari ini dengan menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Nelayan sempena penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan di Maktab Rendah Sains Mara Tumpat dengan diiringi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada majlis itu, selain beramah mesra dengan nelayan, Timbalan Perdana Menteri turut mendengar masalah mereka.

Muhyiddin kemudiannya mengimamkan lebih 50 jemaah menunaikan solat zuhur di Masjid Pengkalan Kubor di sini.

Beliau mengakhiri lawatan dengan menghadiri majlis Ramah Mesra bersama Timbalan Perdana Menteri di rumah Allahyarham Haji Mahmod Kamaruddin di Kampung Telaga Bata di sini.

Muhyiddin turut menyampaikan ceramah kepada pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telaga Bata sebelum pulang ke ibu negara.

Sementara itu, Amat Yusof berkata sikap kerajaan pusat yang senantiasa prihatin terhadap nasib golongan nelayan seperti dirinya memang patut dihargai.

“Banyak bantuan yang diberikan oleh kerajaan antaranya elaun sara hidup dan minyak bersubsidi untuk nelayan. Terima kasih je yang mampu saya ucapkan dan diharap BN dapat mengekalkan kemenangan di Pengkalan KUbor,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon BEBAS Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar daripada BN pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (BEBAS) dengan majoriti 1,736 undi.
Suara TV

No comments:

Post a Comment