ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: February 2015

Saturday 28 February 2015

PRK DUN CHEMPAKA : AHLI UMNO TAWAR DIRI BERTANDING, SANGGUP DIPECAT



Aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Fadzillah Hussin menawarkan diri bertanding atas tiket bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chempaka 22 Mac ini.

Menyifatkan peringatan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai kenyataan politik, katanya, beliau menyertai parti itu sejak berumur 18 tahun.

Katanya, walaupun menjadi ahli UMNO Cawangan Kepala Batas di Tumpat beliau tidak pernah memegang sebarang jawatan, apatah lagi aktif dalam parti itu.

Beliau berkata, peringatan Mustapa tidak menjejaskan hasrat, tujuan dan niatnya untuk bertanding merebut kerusi DUN Chempaka yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Februari lalu.

“Saya menjadi ahli UMNO sejak dulu lagi dan tidak pernah berbelah bahagi memberi sokongan kepada parti. Apapun, saya anggap kenyataan Tok Pa (Mustapa) adalah kenyataan politik yang tidak akan memberi apa-apa kesan kepada saya.

“Kalau saya dikenakan tindakan lucut keahlian sekalipun, ia tidak menjejaskan hasrat dan niat saya untuk bertanding kerana saya adalah orang yang menyokong dasar kerajaan,” katanya, lapor MalaysiaGazette.

Semalam, Mustapa dalam kenyataannya di Kota Bharu berkata, anggota Barisan Nasional (BN) akan dikenakan tindakan sekiranya mengambil kesempatan bertanding atas tiket Bebas pada PRK DUN Chempaka 22 Mac ini.

Menurut Fadzillah yang juga Yang Dipertua Kelab Bumi Rahmat, jika keahliannya dipecat, beliau tidak teragak-agak akan menubuhkan parti baru yang diberi nama parti Bumi Rahmat menggunakan lambang kijang.

Jelasnya, beliau banyak menghabiskan masa berjuang bersama NGO yang menyokong dasar kerajaan Pusat.

Beliau turut memberitahu, akan mengadakan rapat umum dan menyampaikan ucapan pertamanya bertajuk Perpaduan Melayu Islam di Kelantan di kawasan DUN Chempaka.

“Saya akan maklumkan tarikh dan tempat kemudian. Saya juga akan memaklumkan kepada rakyat tujuan saya masuk bertanding,” katanya

HARGA RON 95, RON 97 & DIESEL NAIK 25SEN MULAI 1 MAC


KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan harga runcit baharu bagi petrol jenis RON95, RON97 dan diesel dinaikkan 25 sen seliter berdasarkan kaedah pengapungan terkawal mulai jam 12.01 tengah malam ini.

Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek, berkata harga baharu itu diputuskan mengikut kepada purata harga sepanjang Februari lalu dan kadar tukaran mata wang semasa.

“Harga runcit baharu yang ditetapkan bagi RON95 adalah RM1.95; RON97 adalah RM2.25 dan diesel adalah RM1.95 setiap liter.

“Harga baharu ini berkuat kuasa mulai bulan Mac dengan kerajaan akan terus mengikuti perkembangan pasaran harga kos produk dan kadar pertukaran mata wang,” katanya dalam kenyataan di sini, sebentar tadi.

Kerajaan pada 21 November tahun lalu, memutuskan penetapan harga runcit RON95 dan diesel adalah mengikut kadar pengapungan terkawal mulai 1 Disember lalu, manakala harga RON97 mengikut harga pasaran dunia.

Sejak pelaksanaan sistem berkenaan pada Disember, harga minyak menyaksikan penurunan dua kali iaitu pada Januari dan Februari dengan hargar terendah dicatatkan bagi RON95 adalah RM1.70; RON95 adalah RM2 dan diesel adalah RM1.95.

Hasan berkata, harga minyak bagi bulan berikutnya akan ditentukan menggunakan kaedah sama dengan harganya berkemungkinan untuk naik atau turun berdasarkan keadaan semasa.

“Semua syarikat minyak dan pengusaha stesen diingatkan agar mematuhi penetapan harga baharu ini.

“Tindakan tegas akan diambil kepada syarikat minyak dan pengusaha stesen yang melanggar peraturan harga baharu yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

PRK DUN CHEMPAKA : UMNO KELANTAN NAFI TAJA CALON BEBAS



Badan Perhubungan UMNO negeri ini menafikan dakwaan kononnya menaja calon Bebas untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) De­wan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, 22 Mac ini.

Setiausahanya, Datuk Hanafi Mamat berkata, pihaknya berpegang teguh dengan keputusan parti untuk tidak meletakkan calon dalam PRK itu.

“Sebagai sebuah parti yang besar dan berpengaruh, tidak munasabah untuk kita menaja calon Bebas, lebih baik UMNO sendiri yang bertanding.

“Kita konsisten dengan keputusan pemimpin tertinggi parti dan akan berpegang teguh kepada apa yang telah diputuskan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian karpet bernilai RM80,000 kepada pihak Masjid Kubang Panjang, Mukim Lemal.

Majlis tersebut disempurnakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Sebuah portal berita, sokmo.net melaporkan Yang Dipertua Kelab Bumi Rahmat Kelantan, Fadzillah Hussin berhasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK DUN Chempaka pada 22 Mac ini.

PRK DUN Chempaka diadakan selepas penyandang kerusi itu yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia akibat penyakit kanser prostat pada 12 Februari lalu.

Dalam pilihan raya umum lalu, Nik Abdul Aziz menang dengan majoriti 6,500 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Wan Razman Wan Abd. Razak.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tidak meletakkan calon untuk bertanding pada PRK DUN tersebut bagi memberikan laluan kepada kerja-kerja pemulihan kawasan di negeri ini yang terjejas dengan bah kuning penghujung Disember lalu.

Sementara itu, Hanafi tidak menolak kemungkinan khabar angin itu sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu yang mahu mengagalkan kerjasama antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Pas Kelantan.

“Keputusan untuk tidak ber­tanding dibuat demi kepentingan rakyat, kita tidak tergamak melihat rakyat terus tinggal di bawah khemah berbulan-bulan akibat banjir.

“Bagi kita, kebajikan rak­yat harus diutamakan daripada kepentingan parti," tegasnya.
Utusan

"BANGUNKAN KELANTAN JAUH LEBIH MULIA DARI REBUT KERUSI DUN" - DS AHMAD SHABERY @shaberyc


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyambut baik keputusan Barisan Nasional (BN) yang mengambil pendekatan tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chempaka.

Beliau berkata, BN amat menitikberatkan masalah rakyat di Kelantan dalam membangunkan semula negeri itu yang berdepan dengan bencana besar, banjir baru-baru ini.

Di samping itu, beliau menjelaskan, ianya membuktikan BN terutamanya UMNO lebih mementingkan semangat ukhuwah dan perpaduan ummah mengatasi kepentingan politik semata-mata.

"Bangunkan Kelantan yang musnah jauh lebih mulia dari rebut sebuah kerusi DUN.

"Lebih mulia lagi kalau ada yang dapat satukan hati-hati berpecah yang boleh membawa kemusnahan yang lebih dahsyat," katanya menerusi laman facebooknya.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa BN tidak akan bertanding pada PRK DUN Chempaka bagi menumpukan perhatian pada usaha pemulihan banjir,kerja-kerja kebajikan dan perpaduan ummah sekalipun ada perbezaan pendapat dan ideoloji politik antara UMNO-PAS.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu juga dibuat selepas setelah mendengar pendapat daripada Badan Perhubungan UMNO Kelantan.

HARGA BAHARU PETROL & DIESEL BERKUATKUASA TENGAH MALAM INI



SHAH ALAM: Harga runcit baharu petrol dan diesel bagi Mac akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

Beliau bagaimanapun enggan memaklumkan sama ada harga baharu petrol dan diesel yang bakal diumumkan nanti meningkat ataupun sebaliknya.

Hasan juga berkata pihaknya akan meneruskan kempen penurunan harga di seluruh negara meskipun berlakunya perubahan terhadap harga petrol dan diesel sama ada menjurus kepada peningkatan ataupun penurunan.

"Harga minyak bukan faktor utama menentukan harga barangan tetapi sebaliknya ada faktor lain yang mempengaruhi harga barangan sama ada ia turun ataupun naik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan promosi 'Lebih Nilai, Lagi Hebat' bagi produk minuman dan makanan Nestle (M) Bhd di sini hari ini.

Pada 1 Feb lepas, kerajaan mengumumkan penurunan harga runcit petrol RON95 sebanyak 21 sen kepada RM1.70 seliter, RON97 turun 11 sen kepada RM2.00 seliter sementara diesel turun 23 sen kepada RM1.70 seliter.

Mengulas mengenai kempen Nestle hari ini, Hasan berkata ia adalah kempen promosi terbesar Nestle yang menawarkan penjimatan antara lapan hingga 33 peratus bagi 50 produk terpilih Nestle termasuk Milo, Maggi dan Nescafe.

Beliau berkata kempen itu yang akan berlangsung sehingga akhir bulan depan adalah inisiatif Nestle bagi menangani kos sara hidup rakyat ketika negara menghadapi harga minyak yang tidak menentu.

BOMBA BERI PENJELASAN BERKENAAN FOTO MANGSA KEMALANGAN PUTUS KEPALA TERSEBAR DI LAMAN SOSIAL

ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menafikan gambar-gambar kemalangan ngeri melibatkan seorang kanak-kanak perempuan yang tersebar dalam laman sosial berlaku di Jalan Jeniang-Gurun petang semalam seperti didakwa.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM negeri, Penguasa Bomba Nur Hafizah Mohammad Lukman berkata gambar kemalangan ngeri membabitkan kanak-kanak itu dipercayai berlaku di luar negara.

Beliau berkata kejadian kemalangan petang semalam di jalan terbabit melibatkan kematian dua lelaki tempatan berumur 23 tahun dan 30-an yang berada dalam kenderaan jenis Proton Wira.

“Wanita yang memandu kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang terbabit dalam kemalangan itu berjaya keluar menyelamatkan diri sebelum kenderaan itu terbakar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

“Perbandingan gambar yang diambil oleh anggota JBPM dan gambar yang tersebar dalam laman sosial berbeza dari segi lokasi dan keadaan jalan raya seperti keadaan bahu jalan bertanah merah, manakala bahu jalan tempat kemalangan petang semalam berumput hijau,” katanya.
Credit ; AAKJ

@PDRMsia INGATKAN ORANG RAMAI TIDAK SERTAI HIMPUNAN #KITALAWAN , ESOK !!!


KUALA LUMPUR: Polis memberi amaran agar orang ramai tidak menyertai perhimpunan #KitaLawan yang dijangka diadakan esok di pusat-beli belah Sogo di sini kerana pihak penganjur tidak membuat permohonan daripada polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata pihak polis tidak menerima sebarang permohonan mengikut lunas undang-undang untuk menganjurkan perhimpunan itu.

"Mana-mana orang yang terlibat dalam perhimpunan yang menyalahi  undang-undang boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan (memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan)," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Perhimpunan itu dijangka berlangsung esok bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun, 2008.     

Anwar kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
mStar

Friday 27 February 2015

PRK DUN CHEMPAKA : AHLI BN DILARANG TANDING CALON BEBAS


KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) akan mengambil tindakan ke atas ahlinya yang bertanding atas tiket bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka 22 Mac ini.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ahli parti harus akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan untuk tidak meletakkan calon bertanding pada PRK berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi bicara Komuniti Ekonomi ASEAN sempena Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota di sini, hari ini.

BN baru-baru ini mengumumkan tidak akan bertanding pada PRK DUN Chempaka pada 22 Mac untuk memberi fokus kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir di Kelantan serta membantu mangsa banjir di negeri itu, demi perpaduan ummah.

Mengulas mengenai tohmahan segelintir pihak yang mendakwa BN takut bertanding di kubu kuat PAS itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan sekali lagi menegaskan perpaduan ummah perlu diutamakan berbanding menambah bilangan kerusi dalam DUN.

"Itu sebabnya kita tak bertanding (mahu ummah bersatu). Lepas banjir ni kita redakan (ketegangan), kita dah ada perkara yang kita buat bersama (antara kerajaan Persekutuan dan negeri) dan kita fokus kepada kepentingan rakyat.

"Ada perkara-perkara yang kita boleh berbeza pendapat tapi ada perkara-perkara yang kita harus (duduk) bersama dan kita harap ada titik pertemuan dalam hal-hal yang penting untuk agama, bangsa dan negara," katanya.

Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meninggal dunia akibat kanser prostat pada 12 Februari lepas.- BERNAMA

JPJ TIDAK SAMAN PEMANDU MEROKOK DALAM KENDERAAN PERSENDIRIAN


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mengeluarkan saman ke atas pemandu kenderaan persendirian yang merokok ketika memandu, tetapi saman boleh dikenakan terhadap pemandu kenderaan awam dan pelancongan yang melakukan perbuatan itu.

Beberapa blog dan pengguna media sosial sebelum ini mendakwa JPJ mengeluarkan saman ke atas seorang pemandu kereta dengan catatan kesalahan 'Menghisap rokok semasa memandu' bertarikh 27 Jan 2015.

Sebagai melahirkan rasa tidak puas hati, beberapa pengguna media sosial telah memaparkan gambar pegawai penguatkuasa JPJ merokok ketika memandu kenderaan agensi berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam JPJ Mohamad Sazali Baharudin berkata JPJ hanya mempunyai kuasa mengeluarkan saman ke atas pemandu yang merokok ketika memandu kenderaan awam dan kenderaan pelancongan seperti yang terdapat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Katanya, JPJ tidak pernah mengeluarkan sebarang saman ke atas kesalahan merokok ketika memandu kenderaan persendirian dan saman yang menjadi viral dalam media sosial tersebut mungkin dikeluarkan oleh agensi penguatkuasa lain.

"Kita telah melakukan semakan ke atas saman yang disiarkan dalam laman sosial dan mendapati bahawa anggota penguatkuasa JPJ tidak pernah mengeluarkan saman tersebut seperti yang didakwa oleh pihak yang tidak bertanggung jawab," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Mohamad Sazali berkata setiap kesalahan merokok di dalam kenderaan awam boleh dikompaun tidak melebihi RM5,000, didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun.
- BERNAMA

ANWAR PERLU MINUM TEH DENGAN AGONG - NURUL IZZAH


PETALING JAYA: Pakatan Pembangkang menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya 'tidak lepas tangan' dalam isu permohonan bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir persidangan Dewan Rakyat pada 9 Mac ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, keputusan untuk membenarkan Anwar hadir ke Parlimen bagi menjalankan tugasnya sebagai Ketua Pembangkang terletak dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Ini satu cubaan untuk tidak memikul tanggungjawab jawatan beliau. Jabatan Penjara adalah dibawah Kementerian Dalam Negeri, dan bukannya Peguam Negara. 

Hanya Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang mempunyai kuasa untuk membenarkan Datuk Seri Anwar menghadiri sidang Parlimen.

"Datuk Seri Zahid wajib bersetuju dengan perkara ini dan memberikan arahan yang sepatutnya kepada Jabatan Penjara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadikan Rakyat (PKR) di sini, Jumaat.

Mengulas lanjut Nurul Izzah yang juga  anak sulung Anwar berkata, bapanya perlu hadir ke Parlimen untuk minum teh bersama Yang Di-Pertuan Agong selepas pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 nanti.

"Jangan lupa antara kuasa dan keistimewaan Ketua Pembangkang adalah mempunyai tempat untuk minum teh dengan Agong.

"Tak boleh diganti dengan mana-mana Ahli Parlimen pun. Jadi tiada siapa pun yang nak lepaskan peluang minum teh dengan Agong. Jadi beliau mesti dibenarkan (hadir)," katanya.

Pada sidang media yang sama, Nurul Izzah turut menunjukkan salinan surat jemputan untuk Anwar menghadiri majlis minum teh bersama Yang Di-Pertuan Agong di Parlimen.

Sebelum ini Ahmad Zahid dilaporkan berkata sebarang permohonan bagi membenarkan Anwar hadir sidang Parlimen akan datang perlu dikemukan kepada Jabatan Peguam Negara.

Selain itu Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR berkata Anwar perlu dibenarkan terlibat dalam sesi perbahasan bagi membahaskan titah ucapan Yang Di-Pertuan Agong pada 10 Mac ini.

"Pada 10 Mac rakyat Malaysia mendambakan Datuk Seri Anwar untuk berdiri di tempat lazim beliau di saf hadapan blok Pembangkang dan membahaskan titah Di-Raja.

"Demi kepentingan rakyat, pihak Kerajaan perlu memastikan perbahasan ini boleh berlaku dengan membenarkan Datuk Seri Anwar hadir ke sidang Parlimen," katanya.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun pada 10 Februari selepas panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mendapati beliau bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hukuman tersebut menyaksikan beliau secara automatiknya hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Bagaimanapun Dewan Rakyat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengumumkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh kerana menunggu proses keputusan Yang Di-Pertuan Agong terhadap rayuan pengampunan Diraja yang dibuat oleh ahli keluarganya pada Selasa lalu.
mStar

MAHFUZ BAWA IBU SIRUL KE AUSTRALIA AHAD INI (VIDEO INSIDE)


KUALA LUMPUR 27 Feb - Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar dilaporkan akan membawa ibu serta adik perempuan Sirul Azhar Umar ke Sydney, Australia pada Ahad ini bagi mengadakan pertemuan bersama bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu,

The Malaysian Insider melaporkan, Mahfuz dan ibu Sirul, Piah Samad serta diiringi bersama peguam akan berangkat ke Australia pada Ahad ini pada jam 11 malam.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu sebelum ini dilaporkan berharap Piah dapat bertemu Sirul dan seterusnya membuktikan selama ini beliau sememangnya berkomunikasi dengan bekas polis yang disabitkan dalam kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu itu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, beliau turut ditanya mengenai hebahan palsu yang tersebar melalui pesanan Whatsapp mengatakan beliau memanggil satu sidang media yang akan turut dihadiri ibu Sirul di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur pagi ini.

"Siapa yang sebarkan mesej tu? Saya pun tidak tahu apa-apa," katanya.

Isnin lalu, Sirul dijadualkan mengadakan telesidang secara langsung bersama media Malaysia anjuran PAS pada jam 11.30 pagi, tetapi beliau gagal dihubungi Mahfuz selepas beberapa kali cubaan.

Mahfuz berkata, apabila beliau menelefonnya semula, Sirul memberitahu yang beliau sudah bersiap sedia menunggu panggilan untuk telesidang itu sejak pagi.

Sirul kini berada di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney, selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari berikutan amaran merah dikeluarkan Interpol.

Panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul dan rakan setugasnya bekas Ketua Inspektor Azilah Hadri selepas sabitan bersalah membunuh Altantuya, membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013.

Sirul tidak hadir ke mahkamah ketika hukuman tersebut dijatuhkan dan dipercayai berada di Australia sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mohmad Salleh dilaporkan berkata, menurut rekod imigresen, Sirul ke Australia pada Oktober.
Malaysia Insider

Mahfuz 'Kencing' Wartawan Lagi

Penggiat media hari ini 'dipermainkan' oleh Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar apabila beliau membatalkan sidang media yang dijadualkan berlangsung bersama ibu Sirul Azhar Umar hari ini.

Ketua Sekuriti PAS, Sarifuddin Mohd Yatim yang ditemui pemberita menjelaskan, Mahfuz yang kini berada di Alor Star menafikan menjemput para wartawan menghadiri sidang media.

"Datuk Mahfuz kini berada di Alor Star. Dia (Mahfuz) tak pernah jemput datang buat PC (sidang media)," katanya di ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Kira-kira 30 wartawan yang hadir mempertikaikan pembatalan sidang media selepas menerima jemputan menerusi aplikasi Whatsapp.

Mahfuz pada isnin lalu memberitahu akan mengadakan sidang media untuk menjelaskan pelan terbaru beliau bagi mendapatkan keterangan Sirul yang kini berhadapan hukuman mati diatas pertuduhan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, beliau juga akan memberitahu prosedur membawa ibu Sirul untuk berjumpa anaknya yang kini ditahan pihak berkuasa Australia. - RakyatNews

NIK ABDUH CALON PILIHAN PRK DUN CHEMPAKA


Hasil carian imej untuk nik abduh nik abdul aziz

Ahli politik yang sedang meningkat naik, Nik Abduh Nik Aziz (gambar) dikatakan bakal menjadi taruhan PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka yang kosong berikutan kematian ayahandanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nama Nik Abduh disebut sebagai calon pilihan bagi kerusi Dun tersebut berikutan mesyuarat khas yang diadakan oleh pemimpin bahagian parti pada lewat malam Rabu di Pengkalan Chepa.

Pemimpin berusia 34 tahun yang juga Ahli Parlimen Pasir Emas merupakan seorang pemimpin yang meningkat naik dan beliau dikatakan memiliki populariti tersendiri penyokong di peringkat akar umbi kerana legasi yang ditinggalkan oleh ayahandanya yang meninggal dunia pada 12 Februari lalu.

Bukan itu sahaja, Nik Abduh juga menjadi jurucakap bagi pihak keluarganya ketika ayahandanya sedang sakit.

Hasil carian imej untuk nik amar nik abdullahBagaimanapun, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nik Amar Nik Abdullah, yang juga Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa berkata sehingga kini belum ada keputusan muktamad dibuat mengenainya.

"Di Kelantan, bukanlah menjadi satu satu amalan untuk memberikan dua kerusi kepada pemimpin yang sama melainkan ia kes yang istimewa," katanya.
Bagaimanapun, terdapat pengecualian yang pernah berlaku. Pertama melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut yang dipilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil 2009.

Kedua, kes melibatkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, yang bertanding di kerusi Parlimen Bukit Gantang pada 2009 walaupun beliau merupakan Adun bagi kerusi Dun Pasir Panjang.

Chempaka merupakan salah satu kerusi Dun di bawah kawasan Parlimen Pengkalan Chepa.
mStar

PM DS @NajibRazak KEMUKA SURAT TUNTUTAN KEPADA HARAKAHDAILY BERHUBUNG ARTIKEL FITNAH


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengemukakan surat tuntutan kepada pihak HarakahDaily berhubung kenyataan fitnah dalam artikel berhubung dana 1MDB di laman web itu.

Surat tuntutan itu diserahkan kepada Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakop dan Ketua Pengarang HarakahDaily, Taufek Yahya, 3 petang semalam.

Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, firma guaman yang mewakili Najib, mengemukakan surat tuntutan itu atas kapasiti peribadinya berhubung laporan bertarikh 19 Februari itu.

Menurut surat tuntutan itu yang ditandatangani peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun, artikel itu mempunyai kata-kata berunsur fitnah dengan niat jahat ke atas anak guamnya.

Ia juga menyatakan bahawa segala tuduhan yang dibuat adalah tidak berasas sama sekali, tanpa sebarang bukti kukuh dan adalah amat serius serta dengan niat jahat untuk memburukkan dan merosakkan reputasi dan imej Najib.

Surat tuntutan itu juga menyatakan laporan itu antara lain bertujuan untuk menjatuhkan dan merendahkan maruah dan kredibiliti Najib yang mempunyai imej awam yang baik.

Ia antara lain menuntut HarakahDaily berhenti daripada membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah berhubung isu itu terhadap Najib, 48 jam daripada tarikh notis itu iaitu pada 26 Februari.

Ia juga menuntut pihak HarakahDaily membuat satu permohonan maaf tidak bersyarat dalam bentuk bertulis dan penarikan balik kenyataan berunsur fitnah itu, atas terma-terma yang dipersetujui oleh firma guaman itu bagi pihak Najib, 48 jam daripada tarikh notis itu.

Ia juga menuntut pihak HarakahDaily untuk menyediakan satu akujanji bertulis bahawa saluran lidah rasmi PAS itu tidak akan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah itu atau kenyataan yang serupa dengannya.

Ia menyatakan bahawa sekiranya firma guaman itu tidak menerima sebarang maklum balas dari pihak HarakahDaily berhubung surat tuntutan itu, ia bermaksud pihak itu tidak menafikan penegasan Najib itu dan HarakahDaily juga berniat untuk meneruskan dengan penerbitan kenyataan berunsur fitnah itu.

"Dalam keadaan tersebut, kami mempunyai arahan tegas anak guam kami untuk meneruskan prosiding mahkamah terhadap pihak tuan tanpa sebarang rujukan pihak tuan, termasuklah permohonan memfailkan injunksi bagi menghalang sebarang penerbitan lanjut berhubung isu tersebut," menurut surat tuntutan itu.
- BERNAMA

KES LIWAT II ; KKMM SEDIA ANJUR DEBAT ANTARA MUHAMMAD SHAFEE DAN PRESIDEN MAJLIS PEGUAM

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersedia menganjurkan satu sesi debat antara peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong. 

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pihaknya bersedia memberi ruang kepada kedua-dua pihak berdebat berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Leong yang mempertikaikan badan kehakiman negara terhadap keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

"Tolong tanya kepada Majlis Peguam kalau mereka menyahut seruan ini, bila-bila masa kita boleh anjurkan (debat) dan kita boleh fikirkan apakah kaedah yang baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang media orkestraRTM@Java Jazz Festival di sini,Khamis. 

Muhammad Shafee merupakan pendakwa raya dalam kes liwat Anwar. 

Beliau berkata Majlis Peguam sepatutnya bersama-sama menyanjung dan mempertahankan sistem kehakiman dan bukan mengeluarkan kenyataan yang tidak munasabah dengan mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh mahkamah. 

"Sekiranya mereka masih bertegas dengan mengatakan ini ialah konspirasi politik dan sebagainya, dia (Leong) perlu menunjukkan hujahnya," katanya  

Sebelum ini, Leong dipetik media tempatan sebagai berkata Anwar 'dianiaya, bukan didakwa' apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya. 

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata kementeriannya sedang bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan untuk menetapkan tanda aras baharu kepada hotel bertaraf lima bintang supaya menyediakan kemudahan jalur lebar yang lebih laju. 

Katanya kemudahan jalur lebar di hotel-hotel bertaraf lima bintang diseluruh negara masih ditahap rendah dan KKMM bersedia memberi khidmat nasihat untuk meningkatkan keupayaan jalur lebar di setiap hotel. 

"Ada banyak hotel yang menaik taraf kemudahan infrastruktur dan sebagainya tetapi kemudahan jalur lebar masih diperingkat yang rendah dan mereka kenakan caj yang berbeza terhadap pelancong," katanya. 

Beliau berkata KKMM juga sedang berusaha memastikan setiap hotel di seluruh negara mengutamakan saluran televisyen stesen tempatan berbanding saluran luar negara dalam usaha memartabatkan saluran tempatan.

Mengenai masalah melibatkan stesen televisyen BERNAMA TV, Ahmad Shabery berkata rundingan terhadap isu pemilikan BERNAMA TV masih dijalankan bagi mencari satu pilihan yang terbaik terhadap stesen televisyen itu. 

"Isu pemilikan mesti diuruskan segera sekiranya kerajaan berpendapat bahawa ia perlu mengembalikan stesen ini, ia masih diperingkat rundingan dan saya akan bawa perkara ini ke peringkat Kabinet," katanya. 

BERNAMA TV ditubuhkan pada 2008 bagi menguruskan siaran berita 24 jam dan Bernama memiliki 33 peratus ekuiti dalam BERNAMA TV Synergy Sdn Bhd, syarikat usahasama yang menubuhkan BERNAMA TV. 
BERNAMA

ISU PENGAMPUNAN ANWAR : TIADA SIAPA BOLEH PERSOAL KEPUTUSAN AGONG

KUALA LUMPUR: Tiada siapa berhak mempersoalkan keputusan yang akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong berhubung petisyen pengampunan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata sama ada keputusan yang akan dibuat kelak memihak Ketua Pembangkang itu atau tidak, semua pihak perlu menghormatinya.

"Institusi raja dibenarkan oleh Perlembagaan untuk mendengar dan membuat keputusan berkaitan petisyen pengampunan yang dibuat oleh seseorang individu. Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicaranya tersendiri.

"Apabila keputusan telah dibuat, mana-mana pihak tidak boleh persoalkannya. Adalah tidak adil untuk dipertikaikan," katanya kepada Bernama pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas petisyen pengampunan yang dikemukakan keluarga Anwar kepada Yang di-Pertuan Agong pada Selasa berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anggota Parlimen Permatang Pauh itu.

Pada 10 Feb, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Anwar dan mengekalkan hukuman penjara kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Nik Ahmad Kamal, yang juga Penasihat Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata petisyen pengampunan hanya boleh dikemukakan selepas seseorang individu itu melalui semua proses perundangan di negara ini.

Beliau berkata lazimnya petisyen pengampunan yang dikemukakan seseorang individu bertujuan mengurangkan hukuman atau menghapuskan terus hukuman ke atas dirinya.

"Bagaimanapun ia bergantung kepada petisyen pengampunan itu sama ada mahu hukuman dikurangkan atau dihapuskan hukuman," katanya.

Nik Ahmad Kamal berkata sekiranya petisyen pengampunan itu diluluskan, ia membolehkan Anwar kembali aktif dalam politik sekaligus mengenepikan larangan berpolitik selama lima tahun selepas disabitkan bersalah oleh mahkamah.
Astroawani

RAKAMAN VIDEO RIBUT TERBURUK DALAM SEJARAH MEMBADAI GELANG PATAH


Johor Bahru – Lebih 21 kedai selain empat khemah di surau Perumahan Rakyat Lima Kedai Gelang Patah, Johor rosak selepas dibadai ribut yang berlaku 4.25 petang semalam.

Pengusaha kedai, Kamrandin Din Muhmad, 59, berkata, ketika kejadian dia baru sahaja sampai ke kawasan perumahan sebelum mendapat panggilan telefon memaklumkan kejadian terbabit.

Katanya, difahamka kejadian itu berlaku sekitar 10 minit sebelum angin ribut bertukar haluan dan menyebabkan atap genting serta siling kebanyakan rumah kedai berselerakan.

“Mujur tiada siapa yang cedera dan hampir 10 tahun menetap di sini, inilah kejadian ribut paling teruk menimpa kawasan perumahan ini.

“Saya kerugian kira-kira RM3,000 kerana terpaksa membaiki semula atap dan siling selain berasa kecewa kerana tidak ada wakil rakyat termasuk wakil Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang datang menjenguk,” katanya di sini, hari ini.
HMetro