ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SEBANYAK RM155JUTA DIBELANJA BANGUNKAN #PENGKALANKUBOR SEJAK TAHUN 2001

Tuesday 16 September 2014

SEBANYAK RM155JUTA DIBELANJA BANGUNKAN #PENGKALANKUBOR SEJAK TAHUN 2001


Sejak tahun 2001, bermula dengan Rancangan Malaysia ke-8 (RMK-8) sehingga RMK-10 yang akan berakhir tahun depan, kerajaan pusat telah membelanjakan lebih RM155 juta untuk pelbagai projek pembangunan fizikal dan sosial di kawasan Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor.

Tanpa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di kawasan itu, Pengkalan Kubor hanyalah sebuah kawasan yang ketinggalan dari pelbagai aspek.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Kelantan Datuk Makhtar Mustapha berkata, sebanyak 36 buah projek pembangunan telah dilaksanakan oleh kerajaan pusat dalam tempoh 13 tahun.

Katanya, penduduk di Pengkalan Kubor harus menghargai jasa kerajaan pusat kerana walaupun negeri itu ditadbir oleh PAS, kerajaan pusat tetap menyediakan peruntukan bagi projek-projek insfrastruktur awam dan asas.

Jumlah itu tidak termasuk peruntukan khas bagi DUN yang diwakili oleh Barisan Nasional (BN) berjumlah RM19.92 juta antara tahun 2004 hingga September tahun ini.

"Kerajaan pusat telah membelanjakan sebanyak RM20.09 juta bagi tempoh sembilan tahun bagi pelbagai projek pembangunan, termasuk pembinaan jalan raya, surau dan masjid, institusi agama, jambatan, dewan dan kemudahan-kemudahan lain," kata beliau Isnin.

Makhtar berkata di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula, sebanyak RM10 juta disediakan bagi tempoh lapan tahun untuk meningkatkan kemudahan awam.

Katanya peruntukan projek-projek pembangunan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pula berjumlah RM123,000.

"Pengkalan Kubor turut menikmati tujuh projek berimpak tinggi yang keseluruhan berjumlah RM147 juta yang telah siap dibina dan mampu memberi kesan yang memberangsangkan kepada sosio-ekonomi penduduk setempat," katanya.

Menurut Makhtar lagi projek berimpak tinggi yang dilaksanakan termasuk pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berjumlah RM67 juta, Jalan Kesban Pengkalan Kubor (RM58 juta), Pengkalan Kastam (RM12 juta) dan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan produk berasaskan ikan (RM5 juta).

Katanya, ada antara peruntukan tersebut terutama dalam tempoh dua tiga tahun lalu adalah atas usaha gigih wakil rakyatnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar yang terpilih selama tiga penggal.

"Sumbangan beliau merangkumi aspek fizikal dan rohani. Aspek fizikal merangkumi projek-projek pembangunan infrastruktur sementara projek rohani merangkumi pembinaan masjid dan surau selain sumbangan untuk program keagamaan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mukim Bendang Pak Yong, Arifin Awang Chik berkata terlalu banyak pembangunan di kawasan ini telah dilaksanakan oleh kerajaan pusat.

Katanya, semasa Noor Zahidi menjadi wakil rakyat, beliau begitu prihatin terhadap masalah penduduk setempat dan bersungguh-sungguh mencari jalan untuk menyelesaikan masalah mereka.

Arifin berkata, sumbangan penting wakil rakyat itu termasuk 'membawa' MRSM ke Pengkalan Kubor, membina masjid, dan membina dan membaik pulih jalan raya.

"Apabila tiba musim banjir di Pengkalan Kubor, Allahyarham pasti tidak tidur malam kerana memikirkan cara membantu rakyat. Kemudian apabila banjir sudah surut pasti jalan raya akan rosak dan Allahyarham akan memastikan jalan raya diperbaiki segera," katanya.

Arifin berkata, terdapat dua lagi projek yang tidak sempat disempurnakan Allahyarham Noor Zahidi iaitu membina laluan alternatif air Sungai Golok di Rantau Panjang bagi mengatasi masalah banjir di Pengkalan Kubor.

"Satu lagi beliau mahu membawa masuk syarikat Telco untuk membina menara pemancar untuk meningkatkan akses komunikasi dan talian telefon di Pengkalan Kubor," katanya.

Beliau berkata, penduduk Pengkalan Kubor sangat berpuas hati dan menghargai sumbangan yang telah dilaksanakan kerajaan persekutuan di kawasan itu setakat ini terutama ketika hayat Noor Zahidi.

Bagaimanapun, Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor kali ini akan menentukan kelangsungan legasi Noor Zahidi dan pembangunan yang telah dibawanya ke kawasan tersebut.

Seramai 24,039 pengundi Pengkalan Kubor akan menjadi penentu pada 25 Sept ini sama ada mahu meneruskan legasi Noor Zahidi atau sebaliknya.

Pada PRK itu calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail menghadapi pertandingan tiga penjuru antara calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lepas, Nor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.
AgendaNews -15/9/2014

No comments:

Post a Comment