ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PRK #PENGKALANKUBOR : SPR MINTA SEMUA PARTI PATUHI UNDANG-UNDANG

Wednesday 24 September 2014

PRK #PENGKALANKUBOR : SPR MINTA SEMUA PARTI PATUHI UNDANG-UNDANG


TUMPAT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta semua parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor Khamis supaya mematuhi undang-undang dan menghentikan kempen masing-masing tepat 12 tengah malam Rabu.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, mereka harus mengikut undang-undang supaya perjalanan proses pilihan raya berjalan lancar, aman dan tenang.

"Bagi PRK N01 Pengkalan Kubor, tempoh berkempen yang bermula pada 13 September 2014 akan berakhir pada pukul 12 tengah malam 24 September dan sebarang aktiviti berkempen selepas itu tidak dibenarkan," katanya dalam sidang media di Majlis Semakan Isi Peti Undi di sini, Rabu.

Katanya, seramai 435 petugas SPRM akan membuat pemerhatian sepanjang tempoh pengundian dan juga sehingga proses pengiraan undi selesai.

"Sekiranya terdapat pihak yang berdegil, kita akan merobohkan tempat berkempen itu dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya.

Abdul Aziz berkata, SPR membuka 11 pusat mengundi dengan 45 saluran mengundi membabitkan 11 buah sekolah esok bagi PRK itu bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.



Sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 1, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2, Sekolah Menengah Ugama (A) Meheliah Geting, Sekolah Kebangsaan Geting (1), Sekolah Kebangsaan Simpangan, Maktab Rendah Sains MARA Tumpat, Sekolah Kebangsaan Bunohan, Sekolah Kebangsaan Sri Neting, Sekolah Kebangsaan Bendang Pa' Yong, Sekolah Kebangsaan Teluk Jering dan Sekolah Menengah Kebangsaan Geting.



Seramai 23,929 orang pengundi biasa akan mengundi esok dan SPR menjangkakan lebih 70 peratus akan keluar menjalankan tanggungjawab itu.

Abdul Aziz berkata, pengundi dinasihatkan membuat semakan maklumat masing-masing lebih awal bagi memudahkan mereka mengundi Khamis.

PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian Datuk Noor Zahidi Omar daripada Barisan Nasional (BN) pada 20 Ogos lepas.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas IzatBukhary Ismail Bukhary.

No comments:

Post a Comment