ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: AZMIN ALI MB SELANGOR YANG BAHARU

Monday 22 September 2014

AZMIN ALI MB SELANGOR YANG BAHARU



Seperti yang diduga wayang PKR konon berkeras sangat tetap hendak Presiden PKR yang juga ADUN Kajang ,Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai Menteri Besar Selangor sudah tamat.

Parti itu tekan brek dan gostan sebulat suara memberi restu kepada Timbalan Presiden yang juga ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali pegang jawatan itu.

Azmin petang Isnin sudah terima surat rasmi dari Istana Selangor untuk datang angkat sumpah di Istana Alam Shah,Kelang 10.30 pagi esok Selasa.

Sebelum ini timbul tandatanya apakah Azmin akan ' dapat kebenaran'  PKR atau tidak untuk terima lantikan Menteri Besar kerana PKR hingga Ahad masih berkeras mahu Wan Azizah.

Azmin telah menghadiri satu mesyuarat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Wan Azizah di ibupejabat PKR di Tropicana dekat Petang Jaya lewat petang.

Selepas habis mesyuarat mereka kelihatan ceria.Malah Anwar senyum simpul ketika bergambar dengan Azmin situ.

Azmin kemudian beritahu PKR telah beri restu sebulat suara kepadanya.

Sekitar 9 malam Wan Azizah mengeluarkan satu kenyataan rasmi memberitahu beliau terima dengan hati terbuka keputusan Sultan Selangor memilih Azmin Menteri Besar.

Serentak dengan itu Presiden PKR itu umum beliau tarik diri dari pencalonan jawatan berkenaan.

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH WAN AZIZAH

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Presiden KEADILAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam reformasi
Saya menerima dengan hati yang terbuka keputusan yang telah dibuat oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor yang memperkenankan YB Tuan Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.
Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada 29 ahli Dewan Negeri Selangor dari KEADILAN, DAP dan PAS yang telah memberikan sokongan kepada saya sejak 14 Ogos 2014 dan membolehkan Pakatan Rakyat kekal sebagai kerajaan di Selangor. Saya menghargai kesepakatan 29 ahli Dewan Negeri Selangor ini yang meletakkan kepentingan menjaga mandat rakyat mengatasi kepentingan peribadi mereka.
Atas semangat itu, saya telah membuat keputusan untuk menarik diri dari pencalonan sebagai Menteri Besar Selangor. Saya telah mencadangkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) agar YB Tuan Mohamed Azmin Ali, Ahli Dewan Negeri Kawasan Bukit Antarabangsa diangkat sebagai calon Menteri Besar Selangor. Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat pada hari ini telah juga sebulat suara bersetuju dengan cadangan itu.
Saya mengambil keputusan ini demi kepentingan rakyat atas kesedaran bahawa krisis ini perlu diselesaikan secepat mungkin. Saya yakin bahawa KEADILAN telah kekal mempertahankan prinsip demokrasi raja berpelembagaan. Walaupun proses perlantikan ini pada hemat saya tidak menepati peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, saya percaya tumpuan perlu dikembalikan kepada usaha membela rakyat di Selangor.
Oleh itu, saya telah menyatakan pandangan saya kepada pimpinan parti mengenai beberapa program khusus yang perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk mengangkat martabat dan kebajikan rakyat Selangor.
DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
22 September 2014

No comments:

Post a Comment