ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PERTEMBUNGAN TIGA PENJURU PRK #PENGKALANKUBOR

Saturday 13 September 2014

PERTEMBUNGAN TIGA PENJURU PRK #PENGKALANKUBOR

13kubor3z_cropped.transformed
Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN), Mat Razi Mat Ail; Wan Rosdi Wan Ibrahim daripada Pas dan seorang calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pengumuman calon-calon tersebut dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN tersebut, Mohd. Sobri Ramli selepas proses penamaan calon di bilik gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat selesai.
Proses penamaan calon tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini biarpun ribuan penyokong BN dan Pas membanjiri kawasan tersebut.
Proses mengundi untuk pilihan raya tersebut akan diadakan pada 25 September ini.
Yang turut hadir mengiringi Mat Razi ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin dan Timbalan Presiden MCA,Datuk Wee Ka Siong.
Calon Pas pula diiringi oleh Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu; Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Mat Akim.
Bagaimanapun, tidak kelihatan pemimpin tertinggi DAP di kawasan tersebut.
Mat Razi yang lebih dikenali dengan ‘Ustaz Mat Razi’ adalah bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat dan Pengasas Pondok Simpangan.
Wan Rosdi pula seorang kontraktor binaan dan Setiausaha Pas Kawasan Tumpat.
Kerusi Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor kosong selepas penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia akibat kanser hati pada 20 Ogos lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Noor Zahidi dari BN menang dengan majoriti 1,736 undi untuk menewaskan Saharun Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Izat bukhary Ismail Bukhary (Bebas) yang hanya menerima 65 undi.
DUN Pengkalan Kubor mempunyai 24,039 pengundi berdaftar di mana 51.84 peratus atau 12,462 orang daripadanya adalah lelaki.
Platform BN jelas isu royalti
Barisan Nasional (BN) akan memanfaatkan kempen sepanjang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor bagi menjelaskan kedudukan sebenar isu royalti petroleum kepada rakyat negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembangkang terutama Pas dijangka memainkan isu tersebut sekali lagi untuk memfitnah BN dan mewujudkan rasa benci rakyat Kelantan terhadap Kerajaan Persekutuan.
“Kita tahu ini akan jadi isu utama, dia akan naikkan papan besar (isu royalti), kita pun akan naikkan papan lebih besar daripada itu untuk jelaskan kepada rakyat di mana kedudukan sebenar. Kita tak takut.
“Mereka sepatutnya ambil tindakan lain yang wajar, bukan setakat mencabar dari segi politik, tetapi meneliti sebaik-baiknya. Kita kerajaan BN tidak menipu rakyat Kelantan, tetapi tuduhan Pas yang berkali-kali menunjukkan BN bersalah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri proses penamaan calon PRK DUN Pengkalan Kubor di Pusat Penamaan Calon, Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, di sini hari ini.
Utusan Melayu

No comments:

Post a Comment