ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SUAMI DAYUS : TERGAMAK PUKUL, SEPAK ISTERI

Sunday 21 September 2014

SUAMI DAYUS : TERGAMAK PUKUL, SEPAK ISTERI


KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki layak digelar suami dayus apabila tergamak memukul dan menyepak isterinya hanya kerana tidak membenarkan mangsa bekerja, dalam satu kejadian di sebuah rumah di Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun dan bekerja sebagai jurujual menjadi mangsa belasah si suaminya selepas enggan mendengar kata-kata lelaki itu yang menghalangnya untuk pergi bekerja.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, pertengkaran antara pasangan itu bermula apabila suspek berusia 24 tahun menghalang mangsa yang ketika itu ingin keluar bekerja.

Beliau berkata, mangsa merayu kepada suspek agar membenarkannya keluar kerana sudah terlewat dan permintaan itu menyebabkan suspek semakin naik angin.

“Tidak cukup dengan maki hamun, suspek turut memukul mangsa sambil menyuruh isterinya berhenti kerja.

“Namun, mangsa tetap berkeras tidak mahu berhenti kerja dan jawapan diberikan wanita itu menyebabkan suspek semakin naik hantu apabila bertindak memukul kepala, tangan dan kaki tanpa mengendahkan rayuan mangsa,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, semalam.

Wan Abd Aziz berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami sakit di kepala, tengkuk dan belakang badan akibat dipukul dan ditendang suspek.

Katanya, mangsa yang tidak dapat menahan kesakitan akibat dibelasah suspek mengambil keputusan menghubungi dan meminta majikannya memaklumkan perbuatan suaminya kepada polis.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk rujukan bagi proses penceraian kerana tidak sanggup menjadi mangsa suaminya.

“Malah, mangsa turut memaklumkan yang dia berasa tidak selamat untuk terus bersama suaminya kerana kerap dipukul.

“Identiti suspek sudah dikenal pasti dan usaha memburunya giat dijalankan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.

No comments:

Post a Comment