ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: {UPDATE} KANAK-KANAK 11 TAHUN MAUT TERJATUH BUMBUNG

Sunday, 28 September 2014

{UPDATE} KANAK-KANAK 11 TAHUN MAUT TERJATUH BUMBUNG

Foto

Muar: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut selepas terjatuh dari bumbung berhampiran tangki air Kuarters Polis Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Nurul Elies Natasha Abdul Aziz meninggal dunia di tempat kejadian selepas terjatuh dari tingkat atas bangunan sembilan tingkat. 
Mangsa yang tinggal di Blok F2 bersebelahan bangunan itu dikatakan pergi ke bangunan berkenaan bersama ibu untuk menghadiri majlis pertunangan penghuni di situ. 

Bagaimanapun, mangsa dikatakan keluar bermain bersama rakan-rakannya sebelum tergelincir.

Mangsa yang meninggal dunia selepas cedera parah di kepala dan badan dikebumikan di Jeli, Kelantan, pagi tadi.

{UPDATE}
Nurul Elies Natasha terjatuh dari tingkat sembilan Kuarters Kem Batalion 6 PGA Bakri. (Gambar kecil) Siling yang pecah dipijak mangsa.
MUAR – Seorang murid sekolah rendah maut, selepas terjatuh dari tingkat sembilan Kuarters Kem Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, Nurul Elies Natasha Abd Aziz, 11, bersama beberapa rakannya bermain sorok-sorok di kawasan berkenaan, sementara ibu bapanya dan kanak-kanak lain pula menghadiri majlis di blok itu.

Kejadian malang itu dipercayai berlaku apabila siling dipijak mangsa pecah. Difahamkan, Nurul sempat berpaut pada kayu siling dan tepi blok, sebelum terjatuh serta terhempas dua kali di atas tanah dan longkang kecil.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, kejadian itu disedari seorang penduduk yang melalui kawasan berkenaan apabila terlihat tubuh seorang kanak-kanak berada dalam longkang.

“Nurul yang masih bernafas lemah dengan pendarahan pada bahagian hidung diangkat dan diletakkan di atas lantai.

“Keadaan menjadi kecoh apabila ramai jiran mula mengerumuni kawasan itu dan tidak lama kemudian mangsa meninggal dunia,” katanya, semalam.

Jiran terbabit berkata, kawasan itu menjadi tempat permainan kanak-kanak di situ, tetapi tidak pernah berlaku kejadian seumpama itu.

Nurul merupakan anak sulung daripada tiga-beradik dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Parit Zin, Bakri, yang terletak dua kilometer dari kuarters itu.

Seorang rakan sekelas mangsa, Nursyazwani Najwa Roszman, 11, berkata, Nurul dilihat kurang bercakap berbanding kebiasaannya ketika bertemu di sekolah pada sebelah pagi kelmarin.

“Dia seorang yang peramah. Saya terkejut dengar dia jatuh," katanya.

Usaha Sinar Harian untuk menemu bual ibu bapa mangsa tidak berjaya kerana difahamkan mereka pulang ke kampung di Jeli, Kelantan bagi urusan pengebumian mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya,” katanya.

No comments:

Post a Comment