ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: DEBARAN #PENGKALANKUBOR ......

Thursday 25 September 2014

DEBARAN #PENGKALANKUBOR ......



Berbeza dengan enam pilihanraya kecil yang diadakan selepas pilihanraya umum ke 13 lalu,suasana di Pengkalan Kubor memang agak lain macam sikit.

Ini kerana perang kempen di penjuru paling Utara di Kelantan yang terletak dalam daerah Tumpat ini tenggelam dek kerana kehangatan 'tembak menembak' dalaman Pakatan Rakyat kerana isu Menteri Besar Selangor.

Gara-gara cacamarba dalam Pakatan Rakyat itu maka ini kali pertama menyaksikan jentera PAS turun bersendirian tanpa bantuan PKR dan DAP untuk berentap dengan BN.

Kini selepas 13 hari berkempen...debaran bermula pagi Khamis bila 24,039 pengundi di Dewan Undangan Negeri ini bersesak untuk buat perhitungan masing-masing di pusat-pusat pembuangan undi.

BN meletakan harapannya pada Mat Razi Mat Ail manakala PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim.Calon Bebas yang turut mahu cuba nasib ialah Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Berbagai ramalan berlegar.Apakah BN mampu mempertahankan satu-satu DUN yang dimenanginya dalam daerah Tumpat?

Majoriti Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar yang menjadi wakil rakyat BN kawasan ini selama tiga penggal di Pengkalan Kubor pada PRU 13 ialah 1,736 undi.

PAS sudah tentu mahu merampas kerusi DUN ini bagi melengkapkan kesemua empat DUN dibawahnya.

Selain DUN Pengkalan Kubor, tiga lagi DUN dalam daerah Tumpat ialah Pasir Pekan yang diwakili Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, Wakaf Baharu (Exco PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi) dan Kelaboran (Mohd Zaki).

Parlimen Tumpat pula dipegang oleh Datuk Kamaruddin Jaafar juga PAS.

Sejak Rabu yang merupakan hari terakhir tempoh berkempen ditetapkan SPR kedua-dua BN dan PAS telah memperlahankan kempen masing-masing.

BN hanya bergerak dari rumah ke rumah manakala PAS tumpu untuk memujuk pengundi sasaran.
Tiada lagi ceramah 'grand finale' selepas ceramah PAS di kampung Geting Selasa malam yang membariskan tokoh-tokoh utama PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sepanjang kempen ramai juga yang tercari-cari kalau nampak batang hidung tokoh-tokoh PKR .Namun tiada. Dua orang Naib Presiden PKR , Tian Chua dan Shamsul Iskandar Md Akin hanya tunjuk muka pada hari penamaan calon sahaja.
DAP pula langsung tidak tunjuk muka.Mengambil kira semangat solidariti Pakatan Rakyat yang kebiasaan ditunjukkan semasa setiap pilihanraya kecil jumlah pengundi Cina yang kecil yakni cuma  234 orang (0.96 peratus) di kawasan ini tidak boleh dijadikan alasan.

Semua orang tahu selain DAP cukup marah pada PAS kerana tidak menyokong pencalonan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk jawatan Menteri Besar Selangor.

Di pihak BN, MCA berkempen all out dan antara yang turun padang ialah Timbalan Presiden Datuk Dr Wee Ka Siong.
"BN mendahului dari semua segi dalam pilihanraya ini..." itu kata Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Rafii kepada Agendadaily.
Beliau yakin BN akan mempertahankan kerusi DUN itu sekalipun tidak dapat memberikan anggaran majoriti.
"Menang tetap menang, tapi berapa majoriti itu bergantung kepada peratusan keluar mengundi,"ujar beliau yang lebih seminggu berkampung di Pengkalan Kubor.
Berbeza dengan kawasan lain di Kelantan, Pengkalan Kubor mempunyai pengundi tetap BN yang lebih ramai dan membentuk sokongan majoriti.
Perpecahan dalaman PAS Kelantan dikatakan memberi kesan pada jentera parti itu di Pengkalan Kubor.
Sungguhpun di atas Pengkalan Kubor ini termasuk dalam kawasan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob yang merupakan YDP PAS Tumpat, namun perkara tersebut tidak diterjemahkan dengan sokongan jentera.
"Jentera PAS tidak turun full force kali ini kesan dari perpecahan dalaman PAS Kelantan," kata Pengerusi Eksklusif Ilham Centre Hisomuddin Bakar kepada Agendadaily.
Ilham Centre merupakan badan yang membuat kajian lapangan dalam pilihanraya.
"Corak kempen PAS di Pengkalan Kubor gagal menonjolkan bahawa mereka merupakan kerajaan negeri yang memerintah Kelantan sejak 24 tahun lalu, ia memberi kesan kepada mood pengundi terutamanya pengundi atas pagar,"ujar beliau.
Menurut Hisomuddin, dua 'agensi' yang berperanan membawa pulang pengundi luar PAS, Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan) dan Persatuan Anak Kelantan Darul Naim Selangor dan K.Lumpur (Persada) juga tidak bergerak untuk membantu PAS di Pengkalan Kubor.
"PAS bergantung sokongan daripada pengundi luar dan pengundi dua warganegara, jika mereka tidak balik dan mengundi PAS, ia akan memberi kesan yang besar kepada parti tersebut,"jelas beliau.

No comments:

Post a Comment