ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PKR DAN DAP PENCURI SAMBIL MEMBULI !!!

Sunday 28 September 2014

PKR DAN DAP PENCURI SAMBIL MEMBULI !!!

nik abduh croped

Tindakan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak beberapa hari ini terus menjadi panas apabila beberapa pihak bangkit menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.

Ia termasuklah anak Mursyidul Am PAS yang mendakwa Parti Keadilan Rakyat dan DAP kini semakin berubah dan lebih menonjol dengan sikap pembuli.

Kenyataannya yang disiarkan menerusi laman Facebook pada Ahad itu bagai petanda wujudnya pergeseran yang semakin meruncing di kalangan parti dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz itu mendakwa, ada di kalangan pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan bahawa PAS perlu dihukum kerana bertindak bertentangan dengan keputusan Pakatan Rakyat ketika krisis menteri besar di Selangor.

“Mereka berkata PAS akan mati dan ditanam di Selangor.

“Di Sarawak, mereka mengumumkan tidak lagi mahu bersahabat dengan PAS. Kini mereka bersikap sombong apabila memiliki kuasa,” katanya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, DAP mula menonjolkan sikap buruknya ketika mendapat kuasa hanya sepenggal.

“Mereka sering mewar-warkan kegagalan kami, tetapi mereka lupa bahawa PAS juga ada cerita kejayaan tersendiri,” katanya sambil menambah PKR juga tiada bezanya dengan DAP.

“PKR juga mahu membuli kami. Mereka mencuri sambil membuli.

“Sesuatu yang baik apabila PKR berhadapan masalah dalaman, jadi mereka tidak sekukuh DAP, malahan ada di kalangan mereka yang tidak sehaluan, jadi tindakan mereka membuli kami tidak begitu berkesan,” katanya.

Perpecahan mula melanda Pakatan Rakyat sejak krisis Menteri Besar Selangor, apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kepemimpinan ulama parti itu memilih untuk menangani krisis itu dengan cara mereka.

Ia berlarutan apabila empat bekas Exco Selangor yang dilabel sebagai pengkhianat enggan meletak jawatan daripada pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai solidariti kepada pemecatan enam Exco PKR dan DAP.

Sebaik dilantik, Menteri Besar yang baharu, Azmin Ali memutuskan untuk mengurangkan jumlah Exco di kalangan wakil rakyat PAS kepada tiga berbanding empat sebelum ini di mana ia dilihat sebagai hukuman kepada parti berkenaan.

Nik Abduh juga berkata, walaupun menjadi mangsa, PAS masih mampu meneruskan perjuangan dan berjaya melaluinya.

“PAS berjaya dalam banyak pilihan raya dan memerintah beberapa negeri. PAS juga melebarkan sayapnya di mana sahaja ia pergi,” katanya.

Beliau seterusnya turut menasihatkan DAP supaya tidak menjadi pembuli kerana ia akan menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat, seolah-olah cuba ‘membunuh’ parti itu.

“DAP seharusnya tahu bahawa PAS tidak akan mati kerana ada jangka hayat yang panjang.

“Jika PAS mati, siapa yang akan berjuang untuk Islam? PKR? DAP?,” katanya sambil menegaskan bahawa Islam ada nadi parti itu yang memungkinkan ia terus subur.

“PAS akan hanya mati atau disisihkan jika ada pihak yang lebih baik untuk memperjuangkan Islam. Setakat ini, tiada yang seumpama itu muncul. Saya tidak fikir PasMA ada keupayaan untuk menggantikan PAS. Mereka boleh bermimpi di siang hari tetapi jangan jadi pembuli,” katanya merujuk kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang dibentuk beberapa kepemimpinan PAS.

No comments:

Post a Comment