ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: ULAMA PAS DIMINTA NASIHATI PENYOKONG HENTI FITNAH TERHADAP BN

Sunday 21 September 2014

ULAMA PAS DIMINTA NASIHATI PENYOKONG HENTI FITNAH TERHADAP BN


Ulama atau tok guru PAS diminta menasihatkan anggota parti itu supaya tidak lagi melakukan fitnah terhadap kerajaan dan Barisan Nasional (BN) yang selama ini terbukti berjaya membangunkan negara mengikut acuan Islam.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PAS tidak pernah berhenti membuat fitnah terhadap apa yang kerajaan lakukan untuk rakyat negara ini.

"Saya minta supaya PAS hentikanlah tuduhan memfitnah terhadap apa sahaja yang dibuat kerajaan dan BN untuk rakyat. Cukuplah buat fitnah.

"Saya minta tok guru dalam PAS nasihatkan anggota mereka supaya tidak lagi membuat fitnah terhadap BN dan kerajaan," katanya ketika menyampaikan ceramah pada Majlis Ceramah Perdana di Pusat Khidmat Masyarakat BN Pengkalan Kubor Jumaat.

Turut hadir Pengarah Jentera BN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata antara fitnah besar PAS terhadap kerajaan ialah kononnya kerajaan Pusat tidak menyerahkan royalti petroleum sebanyak RM12 bilion kepada Kelantan.

Sambil menyatakan BN tidak bimbang dengan isu PAS kerana semuanya tidak benar, beliau berkata PAS hanya mengeluarkan fitnah itu untuk mempengaruhi pengundi dan memenangi PRK itu.

"Ada yang percaya apa yang PAS cakap, sebab itu kita terpaksa mempertahankan dengan memperjelaskan perkara yang sebenar," katanya.

Beliau berkata PAS perlu melihat kejayaan negara terutama dalam sektor perbankan Islam yang mendapat pengiktirafan dunia.

"Sebagai contoh lagi bagaimana Tabung Haji menguruskan jemaah haji ke Makkah yang turut disertai anggota PAS sendiri untuk menunaikan haji," katanya.

Menurutnya kerajaan juga berusaha bagi membolehkan negara mencapai kadar pertumbuhan ekonomi 6.4 peratus berbanding negara-negara besar lain.

PRK 25 Sept itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

Pada PRK itu, calon BN Mat Razi Mat Ail akan ditentang calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pada pilihan raya umum ke-13 lepas, Allahyarham Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.
AgendaDaily-19/9/2014

No comments:

Post a Comment