ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PAS KELANTAN YAKIN KEKAL PRU 14

Monday 29 September 2014

PAS KELANTAN YAKIN KEKAL PRU 14


Takiyuddin Hassan
KOTA BHARU – Mungkinkan PRU14 akan mengubah kerajaan Pas Kelantan yang sebelum ini menjadi kepercayaan utama rakyat Cik Siti Wan Kembang ini?

Itulah persoalan yang timbul  selepas PRK Pengkalan Kubor berakhir Khamis lalu menyaksikan kejutan apabila BN  menang  besar dengan pertambahan majoriti  hampir 1,000 undi berbanding PRU13 tahun lalu.

Lantaran itu juga, banyak reaksi penganalisis mahupun pemimpin PR sendiri yang menyatakan kebimbangan Pas bakal kehilangan Kelantan pada PRU14 nanti jika trend pengundian di Pengkalan Kubor berterusan pada PRK 14 nanti.

Mengulas perkara itu,  Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan  berkata, PRK Pengkalan Kubor tidak boleh dijadikan kayu ukur kepada kepercayaan rakyat Kelantan terhadap kepimpinan Pas.

Malah, katanya, ia langsung tidak mematahkan semangat kepimpinan yang ada untuk memastikan PRU14 nanti tercipta kejayaan baru bagi Pas di Dun itu.

“Ini hanya PRK sahaja, tambahan pula Pengkalan Kubor adalah kawasan BN, saya lihat masih ada lagi kekurangan di Dun tersebut, dengan kebajikan rakyat dan pembangunan yang masih belum dibangunkan, maka kami akan bekerja keras lagi selepas ini, tiada unsur kelemahan Pas di sini, kami sentiasa optimis untuk berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang memberi amaran Pas Kelantan akan jatuh ke tangan BN jika peralihan undi 4.5 peratus terhadap parti itu dan PR turut berlaku di kawasan lain.

Terdahulu sebelum ini,  Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat juga didakwa membayangkan perkara yang sama selain turut menyatakan sokongan terhadap Pas Kelantan menurun sehingga ke 50 peratus, sebagaimana kajian yang telah dilakukan oleh jawatankuasa pusat parti itu.

Malah, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kemenangan BN di Pengkalan Kubor akan dijadikan contoh untuk parti itu menawan Kelantan dalam PRK14 nanti.

Dalam pada itu. Takiyuddin yang juga Penasihat  Jentera Operasi  Pas PRK Pengkalan Kubor berkata, walaupun Pas kalah, pihaknya akan merancang dan memastikan pemerintahan Pas Kelantan dikekalkan.

“Kita tidak ada masalah dengan pandangan-pandangan mana-mana pihak, kita mempunyai persiapan sendiri, perancangan yang kukuh dan usaha yang telah diaturkan, bagi saya, kenyataan (Lim Kit Siang)  hanya pandangan peribadi.

“Apa yang penting, saya tegaskan sekali lagi, Pas tidak sesekali lemah dengan kekalahan tersebut, kita sedikit pun tidak tergugat dengan pandangan-pandangan yang dilontarkan, walaupun saya mengakui pelbagai kemungkinan boleh berlaku pada PRU14 nanti, tapi kami tidak akan mengalah, kami sentiasa bersiap sedia dan berusaha untuk buat yang terbaik,” katanya.

No comments:

Post a Comment