ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: HAJI MAT RAZI DAH MULA BEKERJA WALUPUN BELUM ANGKAT SUMPAH

Saturday 27 September 2014

HAJI MAT RAZI DAH MULA BEKERJA WALUPUN BELUM ANGKAT SUMPAH


Wakil rakyat BN bagi kerusi DUN Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail memulakan tugas pada hari pertama dengan bertemu penduduk di sekitar kawasan itu seawal pukul 9 pagi Jumaat.

Terdahulu, beliau mengunjungi ibunya, Habsah Ismail, 65, di Kampung Simpangan bagi memohon restu sebelum memulakan tugasnya.

Mat Razi turut mengambil peluang beramah mesra dengan peniaga di Pasar Kampung Geting selama kira-kira 30 minit.

Bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat itu ketika ditemui berkata, isu kebajikan, pembangunan ekonomi dan kemudahan infrastruktur akan menjadi fokus utamanya selain menyambung perancangan wakil rakyat terdahulu, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar.

"Tumpuan membantu golongan miskin dan anak yatim juga akan diberikan kerana sebagai pengundi di DUN Pengkalan Kubor, mereka turut menyumbang kepada kemenangan BN (semalam) menerusi undi yang dibuat.

"Insya-Allah, saya akan berusaha membawa kemajuan di DUN Pengkalan Kubor supaya rakyat di sini tidak kecewa kerana sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi signal untuk turut membantu," katanya.

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor semalam, BN berjaya mempertahankan kerusi yang dikuasai sejak tiga penggal berturut-turut tersebut dengan jumlah majoriti lebih besar iaitu 2,635 undi.

Mat Razi memperoleh sejumlah 9,961 undi manakala pencabarnya, Wan Rosdi Wan Ibrahim daripada Pas mendapat 7,326 undi dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary, 38 undi.

Mengulas lanjut, Mat Razi berkata, segala bentuk usaha yang mahu dilaksanakan akan dibincang bersama Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd. Rosdi Abdul Aziz terlebih dahulu.

"Itu (berbincang dengan parti) bukan bermakna saya tiada idea. Saya lebih suka bermusyawarah. Sudah menjadi prinsip saya. Saya lebih suka berbincang, apapun perlu bermusyawarah bagi mendapatkan pandangan orang lain sebelum buat keputusan," katanya

No comments:

Post a Comment