ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PRK #PENGKALANKUBOR : KETIADAAN PEMIMPIN PAS DAN PR KETIKA MAJLIS UMUM CALON TIMBULKAN PERSOALAN

Friday 12 September 2014

PRK #PENGKALANKUBOR : KETIADAAN PEMIMPIN PAS DAN PR KETIKA MAJLIS UMUM CALON TIMBULKAN PERSOALAN

Tumpat – Ketidakhadiran pimpinan PAS pusat termasuk presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Mohamed Sabu, Naib Presiden, Salahuddin Ayob, Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa menimbulkan tanda tanya.
Selain itu tiada kelibat wakil pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam majlis pengumuman calon yang mewakili Pakatan Rakyat (PR) malam tadi juga menimbulkan persoalan.
Walaupun kerusi tersebut secara rasminya diberi laluan oleh PKR melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini untuk ditandingi PAS, namun ketiadaan pimpinan tertinggi PR dilihat kurang menceriakan suasana malam tadi.
Persoalan tersebut diajukan kepada Pengarah Strategik Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli.
“Dia (Hadi) tidak ada… saya dimaklumkan dia baru tiba dari Jakarta mungkin tak berupaya untuk sampai malam ini tapi InsyaAllah penamaan calon dia akan hadir.
“Ya, kita mewakilkan kepada PAS Kelantan dan yang penting kita dapat perkenalkan calon kita itu. (Ini) baru permulaannya, InsyAllah serangan akan bermula pada 12 hari seterusnya,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menjelaskan, pimpinan PAS pusat termasuk presidennya di jangka akan bersama calon pada hari penamaan calon, Sabtu ini.
Menurut Dr Hatta, PAS melantik bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah sebagai pengarah jentera pilihanraya PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor dan dibantu oleh ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran Mohd Zaki Ibrahim.
Mengulas mengenai strategi PR pada pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor, Dr Hatta memaklumkan pihaknya akan berusaha mendekatkan calon dengan penduduk setempat.
Selain itu pihaknya juga akan berusaha mendapatkan sokongan pengundi yang pernah mengundi PAS suatu ketika dulu.
Katanya hasil tinjauan dan pandangan masyarakat setempat mendapati rakyat Pengkalan Kubor lebih menerima calon dari PAS dan peluang ini akan digunakan sebaik mungkin untuk meraih sokongan pengundi.
Katanya PAS juga akan menyerapkan jentera PKR dalam satu pasukan bagi memastikan kemenangan di kerusi DUN Pengkalan Kubor.
PAS mempertaruhkan kontraktor yang juga setiausaha PAS kawasan Tumpat, Wan Rosdi Wan Ibrahim, 57 tahun bertanding pada pilihanraya kecil DUN Pengkalan Kubor.
Wan Rosdi yang menetap di Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat dilahir dan dibesarkan di Tanah Merah, Kelantan merupakan anak kepada Bekas Ketua Muslimat PAS Kawasan Tanah Merah.
Pencalonan tersebut diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob yang merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pekan.
Sebelum ini, nama Wan Rosdi turut disebut bersama Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar sebagai calon PAS.
Setakat ini, PRK Dun Pengkalan Kubor bakal menyaksikan perlawanan satu lawan satu antara calon PAS dan Barisan Nasional.

No comments:

Post a Comment