ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: RANCANGAN KHALID SETERUSNYA DIMAKLUMKAN SELASA INI !!!

Sunday 21 September 2014

RANCANGAN KHALID SETERUSNYA DIMAKLUMKAN SELASA INI !!!


khalid
 21 SEPT: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan mengulas mengenai bakal pengganti beliau yang dijadualkan mengangkat sumpah di Istana Alam Shah, Klang, Selasa ini.

Malah, Abdul Khalid juga enggan memberi sebarang komen berhubung proses penyerahan tugas jawatan tertinggi pentadbiran negeri Selangor itu.
“Tiada…kita sudah setuju tidak boleh buat komen sehingga Selasa (majlis angkat sumpah),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Shah Alam City Ride’ anjuran Tourism Selangor di Dataran Kemerdekaan di Shah Alam.
Menteri Besar itu juga enggan mengulas lanjut ketika ditanya perancangan beliau seterusnya apabila mengakhiri tugas secara rasmi kelak.
“(Perkara itu) akan diumumkan selepas Selasa,” jawabnya ringkas.
Persoalan mengenai siapa pengganti Abdul Khalid masih belum terjawab sehingga kini walaupun pihak Istana Selangor pada Khamis lepas, telah mengesahkan bahawa Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu akan diadakan pada Selasa ini di Istana Alam Shah.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani semalam dilaporkan berkata nama menteri besar yang baharu akan diumumkan selewat-lewatnya Isnin ini bergantung kepada perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Nama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa Mohamad Azmin Ali dan ADUN Cempaka Iskandar Abdul Samad disebut-sebut sebagai calon yang dikatakan bakal mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor yang ke-15 itu.
Menurut laporan media tempatan, Sultan Sharafuddin telah berkenan menerima menghadap Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor dan seorang lagi Exco Selangor daripada PAS yang juga Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi secara berasingan pada awal minggu ini.
Pertemuan itu adalah bagi membolehkan baginda menilai kesesuaian mereka untuk memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran Selangor itu dan merupakan sebahagian daripada langkah-langkah akhir untuk memutuskan siapakah calon terbaik yang mampu menggantikan Abdul Khalid.
Sementara itu, Abdul Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Klang turut enggan memberi sebarang komen ketika diminta mengulas cubaan terakhir PKR untuk memohon menghadap Sultan Selangor.
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula dalam satu kenyataan semalam memberitahu parti itu mengambil pendirian bahawa kedudukan sokongan majoriti Adun Pakatan Rakyat di Selangor terhadap Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berubah.
“Oleh demikian, PKR merafak sembah memohon limpah perkenaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk menghadap bagi mendapatkan nasihat dan ehsan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam keadaan sokongan majoriti adalah jelas dan tidak berubah.
PKR akan terus menjunjung kedaulatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor yang dinaungi Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” kata Saifuddin.

No comments:

Post a Comment