ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: February 2016

Sunday 28 February 2016

PAN ; SAMA SEPERTI PARTI SERPIHAN PAS YANG LAIN

MARANG – Kemunculan parti Amanah tiada bezanya dengan kemunculan parti-parti serpihan Pas sebelum ini seperti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim).

Malah, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Mohd Nassurudin Daud menyifatkan masa depan Amanah lebih suram berbanding penubuhan Berjasa dan Hamim yang diterajui oleh bekas menteri besar Kelantan dan bekas presiden Pas itu.

Menurutnya, sejarah politik di negara ini juga telah membuktikan penubuhan parti serpihan Pas seperti Berjasa dan Hamim tidak mampu untuk kekal lama tetapi Pas dilihat terus utuh sebagai parti pembangkang utama di negara ini hingga kini.

“Bekas menteri besar Kelantan, keluar dari Pas tubuh Berjasa. Bekas presiden Pas (pula) meninggalkan Pas menubuhkan Hamim. Tetapi kita tetap kekal.

"Kalau ditubuhkan bekas Presiden pun tidak kekal, apakan pula Amanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ketika berucap pada Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.3 sebelum majlis himpunan berkenaan dirasmikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kampung Padang Mengkuang di sini, malam kelmarin.

Beliau yang merupakan Exco Kerajaan Kelantan turut menasihati ahli Amanah kembali kepada Pas kerana Amanah hanya keluar dari Pas untuk bergabung dengan DAP yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan hudud di negeri Kelantan.
“Amanah dalam bahasa Arab dengan maksud hancur. Sebab itu saya nasihatkan supaya kembali kepada Pas.

"Amanah keluar daripada Pas untuk bergabung dengan DAP. Sedangkan DAP bukan hanya tidak bersetuju bahkan menentang pindaan Hudud di Kelantan,” katanya.

Saturday 27 February 2016

PENGGANTUNGAN JAWATAN MUHYIDDIN IKUT PROSEDUR UMNO - TENGKU ADNAN



Keputusan sebulat suara Majlis Tertinggi (MT) UMNO menggantung Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden UMNO adalah mengikut prosedur yang ditetapkan.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata usul untuk menggantung Muhyiddin itu dikemukakan secara konsensus dan dibincangkan lebih dua jam oleh anggota MT dengan keputusan yang dibuat mengikut perlembagaan UMNO.

"Apa yang tak ikut SOP (Prosuder Operasi Standard)? Kita dah beritahu dia (Muhyiddin), janganlah buat apa-apa perkara seperti yang dia telah buat macam berceramah di Kelab Sultan Sulaiman dan di tempat-tempat lain..

"Apa SOP yang dia nak...saya tak faham? Perlu ingat, kita gantung dia, bukan buang dia sebagai ahli (UMNO). Kita gantung jawatan dia kerana jawatan dia ini sepatutnya membantu presiden...," jelas beliau di sini, hari ini.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa MT UMNO melanggar prosedur tata tertib parti berhubung penggantungan jawatannya itu.

Ditanya sama ada tindakan itu sepatutnya dibuat oleh Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Adnan berkata beliau yakin lembaga itu juga akan mengambil tindakan sama.

"Saya berkeyakinan bahawa Lembaga Disiplin boleh mengambil tindakan untuk pecat dia, itu terpulang kepada Lembaga Disiplin. Kita pun dah hantar laporan ke Lembaga Disiplin," katanya.

Semalam, MT UMNO sebulat suara membuat keputusan menggantung jawatan Muhyiddin berkuat kuasa serta merta sehingga pemilihan MT akan datang.

Tugas-tugas timbalan presiden akan dijalankan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu, Tengku Adnan merasmikan Karnival Makanan Warisan 1Malaysia sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2016  di Taman Tasik Titiwangsa di sini.

Karnival itu, yang menempatkan lebih 100 gerai jualan makanan tradisi dan 20 buah trak makanan, berlangsung bermula semalam hingga esok.

Friday 26 February 2016

MENANGIS LAH DI DUNIA SEBELUM MATI !!!

Detik waktu bersama kelahiran seorang bayi dihiasi tangisan . Nyaring berkumandang menyaring segala suara yang menyapa telinga ibu. Lonjak hatinya memuncak gembira penawar sakit dan lesu. Lalu bermulalah sebuah kehidupan yang mewarnai bumi berpenakan hati, berdakwatkan air mata.


Air mata adakalanya penyubur hati, penawar duka. Adakalanya buih kekecewaan yang menyempit perasaan , menyesak kehidupan. Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor diperlimpahan. Namun setitis air mata kerana takutkan ALLAH persis permata indahnya gemerlapan. Penghuni Syurga ialah mereka yang banyak dukacitanya di dunia.

Menangis

Tidak berkumpul dua perkara dalam satu masa. Barangsiapa gembira di dunia akan berdukacita di akhirat. Barangsiapa yang banyak dukacitanya di dunia akan gembira di akhirat.


Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang. Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang.


Alangkah sempitnya kuburku, keluh seorang Abid.


Alangkah sedikitnya hartaku, kesal si hartawan.


Dari mata yang mengitai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus, mengalirlah air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung Hari Akhirat yang dirasakan dekat, mengalirkan air mata insaf mengharap kemenangan.


“Penghuni Syurga itulah orang-orang yang menang.”(al- Hasr: 20)



Tangis adalah basahan hidup, justeru ; Hidup dimulakan dengan tangis, dicelahi oleh tangis dan diakhiri dengan tangis. Manusia sentiasa dalam dua tangisan. Sama ada yang membawa untung atau merugikan.


Thursday 25 February 2016

USTAZ KAZIM STABIL SELEPAS RAWATAN ANGIOGRAM KEDUA

IPOH – Pendakwah Datuk Mohd Kazim Elias kini berada dalam keadaan stabil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pakar KPJ di sini, selepas menjalani rawatan angiogram kedua semalam.

Abangnya Datuk Mohd Najmuddin Elias berkata rawatan itu dilakukan susulan nasihat doktor pakar kerana saluran kedua jantung Mohd Kazim sudah 99 peratus tertutup dan saluran ketiga pula tertutup 50 peratus.

“Pada mulanya, sebagai ketua keluarga, saya tidak bersetuju rawatan itu dilakukan kerana keadaan adik saya agak kritikal kerana baru sahaja menjalani rawatan angiogram pertama di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Doktor pakar di HUSM memberitahu rawatan angigoram kedua boleh dibuat selepas enam minggu namun, melihatkan keadaan adik saya, doktor di sini sarankan rawatan itu dijalankan segera bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya kepada pemberita di hospital itu hari ini.

Beliau berkata rawatan angiogram kedua itu dilakukan pada 5 petang tadi dan sejam kemudian Mohd Kazim ditempatkan di wad ICU.

Mohd Kazim dimasukkan ke HUSM selepas mengadu penat dan sakit dada ketika sedang berceramah di pekarangan bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan Sri Gunong, Bator, Bachok kira-kira 9.30 malam Jumaat lepas.

Sehubungan itu, Mohd Najmuddin yang juga Pegawai Penerangan Hal Ehwal Agama Islam Pejabat Menteri Besar Perak meminta mereka yang mengenali Mohd Kazim supaya tidak menziarahinya buat sementara waktu bagi membolehkannya menjalani rawatan dan pemulihan secukupnya.

“Doktor juga memaklumkan Ustaz Kazim tidak boleh membaca surat khabar kerana apabila baca, pemikirannya akan menganggu kesihatan, apatah lagi kalau kita datang untuk berbual atau bertanya menyebabkan fikirannya terganggu dan tempoh untuk sembuh akan memakan masa,” katanya.

Menurutnya Mohd Kazim mengalami masalah jantung berikutan sakit kencing manis, yang dialaminya sejak 10 tahun lepas, agak teruk selain sering meluangkan masa dengan ramai orang.

“Beliau banyak menerima udangan untuk berceramah termasuk di Singapura, Brunei, Thailand dan Australia tanpa mengira hal kesihatannya dan sumbangan yang diterimanya digunakan untuk Pusat Islam Al-Barakah yang dikendalinya.

“Tarikh dia berceramah di Sabah baru-baru ini, waktu itu adalah tarikh temu janjinya dengan doktor untuk pemeriksaan kencing manis tetapi dia tidak mahu menangguhkan program walaupun ketika itu beliau telah merasai simptom penyakit itu,” katanya.

Berikutan keadaan adiknya itu, Mohd Najmuddin berkata beliau akan menggantikan tempat Mohd Kazim buat sementara waktu.

“Saya bersetuju untuk menggantikan beliau pada program ceramah yang telah dipersetujui. Saya berhajat membantu adik saya kerana semua sagu hati dari orang ramai dan penganjur akan disumbangkan kepada Pusat Islam Al-Barakah,” katanya. 
AstroAwani

Wednesday 24 February 2016

KEDUDUKAN DEVAN MASIH SELAMAT


TEKA-teki kedudukan K Devan sebagai jurulatih Kelantan terjawab dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mengesahkan posisinya masih selamat.

Annuar berkata, masih terlalu awal untuk melakukan pertukaran memandangkan saingan musim ini baru sahaja bermula.

"Setakat ini, Devan berjaya menjalankan tugas dengan baik sebagai jurulatih," kata beliau ketika ditemui pemberita selepas pertemuannya dengan Penerangan UMNO Johor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Penasihat Kehormat Kafa, Datuk Seri Dr Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr Vida mengenai prestasi hambar skuad bimbingan Devan setakat ini.

Dr Vida sebelum ini mempersoalkan prestasi semasa pasukan itu berikutan gagal menampilkan impak dalam tiga aksi awal musim ini.    

Setakat ini, Kelantan hanya menghasilkan dua gol selepas tiga perlawanan dan sekadar menang tipis 1-0 ke atas UKM FC pada saingan Piala FA.

Bagi Annuar, kenyataan Dr Vida itu adalah teguran biasa yang dialami semua persatuan bola sepak.

"Tak apa, kadang kala beliau beri pandangan yang lazimnya tidak diberi oleh penaja tapi beliau bukan sahaja penaja tapi juga peminat.

"Kalau Dr Vida nak tegur sikit itu tak ada apa, saya fikir Devan (setakat ini) dah jalankan tugas dengan baik. Kelantan tak bolos satu gol pun lagi, Kelantan tak kalah satu perlawanan pun lagi, kenapa perlu panik begitu awal," katanya.

Kelantan setakat ini mengutip tiga mata dalam Liga Super selepas seri 0-0 dengan Perak dalam perlawanan pembukaan musim ini sebelum menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-0 pada aksi kedua dan diikuti kemenangan dalam Piala FA.
Bernama

Tuesday 23 February 2016

TINDAKAN LGE PECAT DUA ADUN PKR TIDAK MATANG




KUALA LUMPUR – Pemuda PKR hari ini membidas tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menggugurkan 2 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR daripada agensi dan anak syarikat kerajaan negeri Pulau Pinang, menyifatkannya tidak matang.

Ketua penerangannya, Haidhar Auni Dzolkapli berkata, Lim sepatutnya menghormati perjanjian bersama ditandatangani gabungan pembangkang, Pakatan Harapan, yang terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Tindakan Lim ini mencerminkan satu sifat yang tidak matang dalam pemerintahan beliau. Beliau sepatutnya menghormati perjanjian bersama Pakatan yang ditandatangani ketiga-tiga parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga menyifatkan pengguguran 2 Adun tersebut – Adun Kebun Bunga Cheah Kah Peng dan Adun Bukit Tengah Ong Chin Wen – sebagai bukti Lim seorang yang berat sebelah.

“Tindakan pengguguran ini melambangkan pimpinan Lim sebenarnya berat sebelah dan bersifat autokrat,” katanya.

Lim semalam dilaporkan memecat 2 Adun PKR yang memegang jawatan pengarah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) berikutan kegagalan mereka menyokong pentadbiran kerajaan negeri dalam isu tebus guna tanah di Pulau Pinang.

Pemuda PKR juga mempertahankan kenyataan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengecam keputusan dibuat pimpinan kerajaan DAP tersebut.

“Pemuda PKR setuju dengan kenyataan Azmin yang menyelar Lim, yang kerajaan Pakatan seharusnya meraikan perbezaan pendapat,” kata Haidhar.

Beliau juga menggesa supaya pimpinan pusat campur tangan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda negeri tersebut.

“Harus kita ingat, musuh utama kita adalah Umno dan Barisan Nasional dan elakkan kita serang sesama kita.

“Sebaiknya kita fokus tentang permasalahaan rakyat daripada kita bermain politik semata mata,” katanya.

Azmin sebelum ini berkata, PKR tidak gembira dengan penyingkiran 2 wakilnya di Pulau Pinang daripada Penang Hill Corporation dan Invest Penang and Island Golf Properties Bhd, anak syarikat kepada syarikat pelaburan kerajaan negeri Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Azmin berkata, PKR menghantar surat kepada kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung perkara itu.

Dua Adun berkenaan ialah antara 5 yang dilarang mengundi terhadap usul dibawa BN berhubung pengambilan tanah ketika persidangan DUN November lalu.

Bagaimanapun, PAS tidak hairan dengan tindakan Lim itu memandangkan nasib sama pernah menimpa bekas ahli PAS Iszuree Ibrahim yang dipecat daripada jawatan dalam majlis perbandaran pada 2014 selepas mengkritik Lim, kata Pengerusi Lajnah Asas Tani Dan Alam Sekitar PAS Muhammad Sanusi Md Nor.
 M.Insider

DR VIDA HILANG SELERA SENTUHAN K DEVAN


Kedudukan K Devan selaku pengendali Kelantan seharusnya semakin 'panas' berikutan penaja utama skuad itu, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman sudah mempersoalkan mengenai prestasi semasa jaguh Pantai Timur itu.

Ia susulan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PDPTRW) dilihat masih gagal mencapai sasaran dan harapan tinggi Dr Hasmiza dan seluruh penyokong yang diletakkan ke atas bahu Devan dan anak buahnya.

Tindakan Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr Vida yang memuat naik gambar bekas jurulatih Kelantan, Bojan Hodak di Instagram miliknya yang dipetik daripada Facebook penyokong juga mencetuskan tanda tanya buat seluruh peminat PQPTRW.

Namun, masih belum dapat dipastikan sama ada Hodak bakal kembali ke Kelantan atau sebaliknya dengan Dr Vida ketika dihubungi BH Sukan semalam menjelaskan pihaknya masih mencari punca sebenar skuad Devan gagal mempamerkan aksi lebih menyerlah.

"Ia hanya baru permulaan. (Kita) sedang mencari punca. Alasan lapuk termasuk pemain import memerlukan masa tidak boleh diterima.

"Mereka (pemain import) profesional dan tiada alasan. Pemain tempatan beraksi dengan baik," kata Dr Vida yang difahamkan kini berada di China.

Menerusi kenyataan dimuatnaik bersama gambar Hodak dalam Instagramnya yang dipetik dari salah satu Facebook penyokong PQPTRW pula, Dr Vida mengemukakan beberapa soalan kepada peminat Kelantan selepas skuad itu hampir diaibkan UKM FC pada saingan Piala FA, Sabtu lalu.

"Penyudah 1-0, Apa anda rasa? Terlalu yakin? Devan? UKM yang agresif? Jangan libatkan Bojan dulu, kita bincang senario terkini dan ambil iktibar," kata Dr Vida menerusi Instagram miliknya.

BH Sukan semalam melaporkan lapan jurulatih termasuk Devan mungkin berada dalam kedudukan panas selepas pasukan bimbingan mereka gagal menyerlah pada peringkat awal musim ini.

Selepas tiga perlawanan, anak didik Devan hanya mampu menjaringkan dua gol setakat ini, malah sekadar menang tipis 1-0 ke atas `pelajar universiti', UKM FC dalam aksi Piala FA.

Bagaimanapun Devan, ketika dihubungi, enggan mengulas lanjut mengenai luahan Dr Vida dan kedudukannya.

bharian

KEK PERKAHWINAN BATU !!!


WEDDING Cake Rock adalah pembentukan geologi luar biasa terletak di utara Pantai Marley berhampiran Bundeena dalam Taman Negara Diraja, di New South Wales, Australia.

Batu pasir putih mempesonakan itu mempunyai permukaan sempurna dengan sudut 90 darjah dan bahagian atas yang rata, seolah-olah seperti dikemaskan dengan pisau. Segelintir masyarakat juga melihat ia sebagai blok tauhu atau keju.

Batuan yang diberi nama kek perkahwinan batu ini adalah antara satu daripada pembentukan batu kapur yang terdapat di sepanjang trek di Royal Coastal Walk sepanjang 26 kilometer dekat Royal National Park.

Landskap batu itu terdiri daripada lembah curam dan rabung dengan pemandangan panorama lautan.

Tahun lalu, Taman Negara New South Wales melaporkan peningkatan purata jumlah pelancong daripada 2,000 sebulan kepada lebih 10,000. Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan kerana dikhuatiri batu itu tidak lagi dapat menampung pengunjung yang ramai.
amusingplanet

Monday 22 February 2016

PINDAAN AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998 DIBENTANG MAC INI



Cadangan pindaan Akta Komunikasi danMultimedia 1998 dijangka dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat, yang bermula 7 Mac depan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata pindaan itu yang bertujuan menambahbaik akta berkenaan, merangkumi beberapa perkara termasuk yang berkaitan hukuman dan penalti. 

"Sekarang kalau kita lihat kadar hukuman hanya diletakkan dalam RM50,000 mungkin selepas ini kita tingkatkan sehingga RM500,000 atau lebih. 

"Selain penalti, beberapa perkara lain juga turut disentuh terutamanya yang melibatkan pembangunan industri dan komunikasi multimedia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Perdana Zafran di sini, Ahad malam. 

Hadir sama Pengerusi Dewan Perdana Zafran, Datuk A. Kohilan Pillay. Jailani berkata kajian mengenai pindaan akta berkenaan dibuat sejak Mac tahun lepas, melibatkan perbincangan dengan lebih 350 pemegang kepentingan termasuk pemain industri seperti Google dan Yahoo.

Bernama

LAPORAN POLIS DIBUAT TERHADAP USTAZ MENGHINA POLIS TRAFIK



Satu laporan polls dibuat terhadap seorang ustaz yang mengeluarkan kenyataan menghina dan mengaibkan pasukan polls trafik dalam ceramahnya yang tersebar di media sosial sejak kelmarin.

Menerusi klip video berdurasi 50 saat itu, ustaz terbabit menggunakan kata-kata kesat dalam ceramahnya seperti bodoh dan bahlul, selain menuduh anggota trafik makan gaji haram kerana tidak solat Jumaat dan 'sibuk' membuat operasi sekatan jalan raya dan perangkap had laju.



Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa, berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam. 

"Siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Terkelas (UST) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghina dan mengaibkan," katanya kepada BH.

Sementara itu, Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nadzri Hussain, berkata dakwaan ustaz itu kononnya anggota trafik tidak menunaikan solat Jumaat adalah tidak berasas.

Contohnya di ibu negara, katanya, walaupun sibuk mengendalikan kawalan trafik dan lalu lintas, la tidak menghalang mana-mana pegawai dan anggota trafik menunaikan solat Jumaat. 

"Setiap warga trafik di ibu negara tidak pernah diarahkan untuk menjalankan tugas penguatkuasaan seperti operasi sekatan jalan raya dan perangkap had laju trafik ketika waktu solat Jumaat.

"Meskipun ramai pegawai dan anggota beragama Islam yang menjaga aliran trafik, mereka tidak pemah mengabaikan kewajipan sebagai seorang Islam. 

"Malah, kita menempatkan pegawai dan anggota wanita atau mereka yang bukan beragama Islam untuk penugasan di pondok trafik dan kaunter membuat laporan berhubung kejadian kemalangan dan saman," katanya.
Berita Harian

TAK SEMPAT JAMAH AYAM GUNTING


TUMPAT - Seorang budak lelaki maut manakala adiknya parah selepas motosikal ditunggangi bapa mereka kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 8.5 Jalan Tumpat-Pengkalan Kubor dekat Kampung Telaga Lanas, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, Muhammad Aqif Farhan Muhamad Shamsani, 7, pembonceng maut semasa mendapatkan rawatan di Hospital Tumpat. Adiknya, Alieysha Mysara, 5, koma akibat cedera parah di kepala dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Bapa mereka, Shamsani Muhamad, 31, pekerja pelantar minyak cedera di kepala, patah paha dan betis kini dirawat di HUSM, Kubang Kerian.

Ibu saudara dua beradik itu, Normala Muhammad, 42, berkata, ketika kejadian, mereka tiga beranak ke kedai untuk membeli ayam goreng.

“Arwah yang beria-ia nak makan ayam gunting (ayam goreng), mereka tiga beranak naik motosikal ke kedai di seberang jalan hanya kira-kira 300 meter saja dari rumahnya di Kampung Ketil,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, motosikal ditunggangi Shamsani terlibat nahas.

Menurutnya, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Muhammad Aqif Farhan kerana ALLAH lebih menyayanginya.

“Sebelum itu (pada hari kejadian), arwah meragam bila ayahnya tak mahu pergi beli ayam gunting tu. Setelah berkali-kali minta dibawa ke kedai itu, ayahnya turutkan juga... arwah membonceng di belakang, manakala adiknya duduk di hadapan,” katanya.

Jenazah murid SK Pengkalan Kubor 1 itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketil kira-kira jam 1 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintenden Zaharudin Rasip mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Toyota Vios dipandu wanita warganegara Thailand dalam perjalanan menghala ke Kota Bharu dan motosikal ditunggang seorang lelaki bersama dua anaknya dari arah bertentangan.

“Tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit masuk ke laluan bertentangan. Disebabkan jarak terlalu dekat, berlaku perlanggaran walaupun kereta terbabit cuba mengelak,” katanya sambil memberitahu pemandu kereta tidak cedera.
SH

SEMBAHYANG JUMAAT POLIS DAN TENTERA YANG BERTUGAS

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-14 yang bersidang pada 22-23 Oct 1985 telah membincangkan Sembahyang Jumaat Polis dan Tentera yang Bertugas.
Muzakarah telah memutuskan bahawa adalah harus bagi Polis dan Tentera meninggalkan Sembahyang Jumaat kerana menjalankan tugas-tugas keselamatan yang dikira uzur syarie kerana mereka terpaksa bertugas dengan syarat tidak meninggalkan sembahyang Jumaat 3 kali berturut-turut.

Sunday 21 February 2016

BAPA RAYU BANTU CARI ANAK PEREMPUAN HILANG

DUNGUN: Bekas pesara kerajaan merayu anak perempuannya, Wan Syazlin Wan Zainuddin, 19, yang menghilangkan diri dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan sejak 5 Februari lalu, supaya segera pulang ke pangkuan keluarga.
Wan Zainuddin Wan Isa, 56, dari Kampung Telaga Mas, Paka, berkata anak keempat daripada tujuh beradik itu sepatutnya pulang ke rumah pada 7 Februari setelah dibenarkan cuti selama 10 hari bermula 4 Februari sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
"Kali terakhir saya menghubungi anak saya pada 4 Februari...saya tanya, bila nak balik, dia cakap nak balik rumah menaiki bas pada 7 Februari... pada hari itu (7 Februari), saya tunggu tetapi dia tak muncul-muncul hingga ke malam.
"Saya cuba menghubunginya, namun tidak dapat dan saya lihat kali terakhir aplikasi WhatsApp Syazlin aktif adalah pada 6 Februari," katanya.
Wan Zainuddin percaya Syazlin sudah meninggalkan POLISAS pada petang 5 Februari, berdasarkan rekod buku catatan keluar masuk politeknik berkenaan.
"Saya suruh abangnya cari dia di POLISAS dan berdasarkan rekod buku catatan, Syazlin sudah tinggalkan POLISAS pada petang Jumaat (5 Februari). Apabila tanya kawannya, mereka beritahu kali terakhir Syazlin dilihat di perhentian bas berdekatan pada Jumaat.
"Pelbagai cara sudah saya lakukan untuk menjejaki anak saya termasuk meminta bantuan rakannya, namun sehingga kini belum berhasil dan laporan polis juga sudah dibuat pada 8 Februari di Balai Polis Paka," katanya.
Wan Zainuddin yang risau keselamatan anaknya, merayu kepada orang ramai untuk membantu mencari Syazlin.
"Saya merayu kepada sesiapa yang melihat Syazlin supaya menghubungi saya di talian 013 9337670. Saya berharap sangat anak saya pulang dalam keadaan selamat," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.
"Laporan itu telah dibawa ke Kuantan untuk tindakan dan siasatan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kerana kes berlaku di sana," katanya.
BERNAMA

AZMIN KRITIK KEPUTUSAN BEKU PENGAMBILAN PEKERJA BANGLADESH

PETALING JAYA – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengkritik keputusan mengejut kerajaan Persekutuan membekukan pengambilan pekerja Bangladesh ke negara ini.

Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata beliau juga tidak terkejut dengan keputusan itu kerana merasakan kerajaan tidak mempunyai hala tuju yang jelas mengenai langkah tersebut.

“Inilah sikap kerajaan Persekutuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Ia adalah sebuah kerajaan yang flip-flop, merumuskan satu dasar tanpa melakukan kajian terperinci dan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan dan pemain utama dalam industri,” kata Azmin kepada pemberita.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong pada Ahad.

“Ini menujukkan persoalan mengenai kepimpinan. Kepimpinan lemah yang tidak mempunyai visi yang jelas atau kekuatan untuk memulihkan keadaan ekonomi negara yang semakin teruk,” kata Azmin.

Pada Jumaat, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk membekukan pengambilan semua pekerja asing ke Malaysia termasuk dari Bangladesh.

Ia dilakukan sehari selepas Malaysia menandatangani perjanjian dengan Bangladesh untuk membawa masuk pekerja dari negara itu untuk tempoh tiga tahun.
mstar

AMANAH PARTI 'KACAU DAUN' !!!


KOTA BHARU - Pas Kelantan mengingatkan Parti Amanah Negara (Amanah) supaya tidak terlalu bercita-cita tinggi kerana jelas tidak berupaya merampas Kelantan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Amanah hanya wujud sebagai pihak ‘kacau daun’ dan hanya memberi ruang kepada pihak lawan Barisan Nasional (BN)  untuk menakluk negeri ini.

“Lagipun Amanah tidak akan bertahan lama sama ada di Kelantan malah di luar Kelantan dan ia hanya wujud atas rasa kecewa dari pimpinannya yang juga dari Pas.  Perjuangan mereka juga rapuh dan tiada hala tuju,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob hadir majlis pelancaran jentera Pas Kelantan sempena PRU-14 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di Pengkalan Chepa di sini semalam.

Sebelum ini Presiden Amanah, Muhammad Sabu ketika berceramah di negeri ini menyatakan keyakinan parti itu  mampu mengambil alih Pas Kelantan kerana rakyat negeri ini bijak dalam membuat percaturan politik.

Dalam pada itu, Mohd Amar berkata, Pas Kelantan menyerahkan nasib bekas Naib Presiden, Datuk Husam Musa yang secara lantang mengkritik parti terbabit kepada jawatankuasa tatatertib bagi sebarang tindakan lanjut.

“Kita tunggu sebarang tindakan daripada jawatankuasa terbabit untuk sebarang keputusan. Segalanya ditentukan pihak berkenaan dan kita hanya tunggu maklumat susulan memandangkan aduan telah dilaporkan," katanya.

Ditanya mengenai masa depan Husam dalam Pas, Mohd Amar berkata, kini terserah kepada parti selain Husam sendiri sendiri dalam menentu hala tuju perjuangannya.

“Kita tidak dapat meramalkan apa yang akan berlaku pada masa depan dan masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian atau keputusan lagipun isu beliau dalam parti masih belum selesai lagi,” katanya.
SH

HENTI SEBAR BERITA PALSU KESIHATAN USTAZ KAZIM


KOTA BHARU - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi meminta masyarakat tidak menyebarkan berita palsu mengenai kesihatan  pendakwah, Datuk Kazim Elias.

Beliau yang melakukan lawatan ke atas ustaz Kazim pagi ini di Hospital Universiti Sains Malaysia  (HUSM) Kubang Kerian berkata,  pendakwah itu akan menjalani rawatan Coronary Angiography bagi memastikan jantung beliau benar-benar sihat.

“Sejurus tiba dari Perak pagi ni terus bergegas ke HUSM Kubang Kerian untuk menziarahi Datuk Ustaz Kazim Elias di Unit Kardiologi Invasif.

“Nampak beliau begitu ceria menerima kehadiran saya dan alhamdulillah menurut doktor pakar keadaannya amat stabil dan bertambah baik.

"Justeru hentikanlah menyebarkan berita-berita mengarut yang palsu lagi berbaur fitnah mengenai keadaan beliau,” katanya dalam entri Facebooknya, hari ini.

Kazim dimasukkan ke HUSM kelmarin setelah mengadu sakit dada selepas tujuh minit menyampaikan kuliahnya anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di Bachok jam 9.30 malam.

Bagaimanapun,  semalam terdapat berita palsu yang menyatakan pendawah tersebut meninggal dunia selepas menedapat rawatan di hospital terbabit.

Asyraf  memohon agar masyarakat mendoakan agar ALLAH menyembuhkan Kazim dan mengurniakan kesihatan berpanjangan bagi membolehkan pendakwah itu terus istiqomah dan bersemangat menyemarakkan agenda dakwah dalam negara.
SH

Saturday 20 February 2016

KWSP UMUM KADAR DIVIDEN 6.40 PERATUS BAGI TAHUN 2015



Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 6.40 peratus bagi 2015 dengan pembayaran keseluruhan berjumlah RM38.24 bilion.

Sebanyak RM5.98 bilion diperlukan untuk membayar setiap satu peratus kadar dividen bagi tahun berkenaan, iaitu peningkatan 10.13 peratus berbanding RM5.43 bilion pada 2014, katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. 

Peningkatan itu seiring dengan pertumbuhan aset pelaburan KWSP kepada  RM684.53 bilion setakat 31 Dis 2015 manakala pendapatan kasar tumbuh 13.18 peratus kepada RM44.23 bilion berbanding RM39.08 bilion pada 2014. 

"Pendapatan pelaburan kasar yang dicapai adalah menerusi strategi kepelbagaian merentasi kelas aset di beberapa negara dan pasaran. 

"Walaupun kolerasi dalam kalangan pasaran-pasaran global adalah tinggi, strategi kepelbagaian ini membuka peluang kepada kami untuk menjana keuntungan dan mengenal pasti pelaburan berpotensi pada pentaksiran menarik," kata Pengerusinya Tan Sri Samsudin Osman. 

Beliau berkata langkah kepelbagaian dalam pasaran modal dan mata wang membolehkan KWSP mengaut pulangan signifikan daripada sumber bukan ringgit yang merangkumi 48 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP sepanjang tahun berkenaan. 

"Sebagai dana simpanan persaraan, pelaburan kami sentiasa bertumpu kepada usaha untuk mendapatkan pulangan pendapatan jangka panjang yang mampan berbanding pulangan jangka pendek, dan kami berbesar hati mengumumkan kadar dividen 6.40 peratus yang menunjukkan prestasi membanggakan sekalipun berdepan cabaran," katanya. 

Lebih penting lagi katanya, KWSP berupaya mencapai dua sasaran pelaburan strategik iaitu sekurang-kurangnya 2.5 peratus dividen nominal setiap tahun seperti yang diperuntukkan di bawah Akta KWSP 1991, dan sekurang-kurangnya dua peratus dividen sebenar untuk purata tiga tahun berturut-turut. 

Bagi 2015, Samsudin berkata dividen sebenar untuk purata tiga tahun berturut-turut ialah 4.05 peratus iaitu 205 mata asas lebih tinggi daripada sasaran. 

Bagi tahun dalam semakan, ekuiti terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan pada 58.81 peratus, iaitu sebanyak RM26.01 bilion atau peningkatan 13.54 peratus daripada RM22.91 bilion pada 2014.  

Menurut kenyataan itu portfolio ekuiti luar negara memainkan perana utama dengan menyumbang lebih 50 peratus kepada pendapatan pelaburan ekuiti 2015.

Sementara itu, pelaburan KWSP dalam instrumen tetap terus memberi pendapatan yang stabil dengan aset kelas ini yang merangkumi sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) dan bon sama taraf, serta pinjaman dan bon, menyumbang 35.40 peratus daripada RM44.23 bilion pendapatan pelaburan kasar pada tahun berkenaan. 

Hartanah dan infrastruktur menyumbang RM1.70 bilion, naik 22.23 peratus daripada 2014, manakala portfolio luar negara bagi kelas aset ini yang diceburi sejak 2010, menunjukkan prestasi memberangsangkan dari tahun ke tahun. 

"Program pelaburan luar negara KWSP berstruktur yang dilaksanakan secara rasmi pada 2006, menyumbang 48 peratus kepada jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan sebanyak RM44.23 bilion untuk tahun ini walaupun pendedahan hanya 25 peratus daripada jumlah aset pelaburan, sekali gus mengatasi prestasi aset domestik," kata Samsudin. 

Selaras perancangan pelancaran skim simpanan patuh syariah pada 2017, pendedahan KWSP dalam pelaburan patuh syariah yang meliputi pelbagai kelas aset setakat ini melebihi 40 peratus daripada aset keseluruhan. 

KWSP juga memastikan semua pelaburan termasuk aset bukan syariah, adalah beretika dan tidak terlibat dengan sebarang pelaburan yang berkaitan antaranya sektor perjudian, alkohol/arak, dan senjata ketenteraan. 

Mengulas iklim ekonomi pada 2016, Samsudin berkata tahun ini akan lebih mencabar.  

"Kombinasi ketidakpastian kadar pertumbuhan dan kemerosotan harga komoditi menyaksikan kejatuhan indeks utama termasuk FBM KLCI sejak awal tahun.  

"Ini merupakan iklim yang sangat berbeza dengan separuh pertama 2015 dengan pelaburan global kami mampu mengimbangi kesan kelembapan pasaran domestik,"katanya. 

Ketidaktentuan pasaran mata wang juga bermakna akan menyukarkan KWSP untuk mengulangi prestasi cemerlang aset global 2015. 

"Bagaimanapun, kami akan terus melindungi dan meningkatkan nilai simpanan ahli dengan memberi pulangan yang stabil dan konsisten dalam jangka panjang, selaras dengan had risiko yang bersesuaian," kata beliau.

Bernama