ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PKR, DAP TIADA HAK PAKSA PAS - NIK AZIZ

Tuesday 9 September 2014

PKR, DAP TIADA HAK PAKSA PAS - NIK AZIZ



KOTA BHARU 9 Sept - Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menyelar tindakan PKR dan DAP memaksa Presiden PAS menarik balik keputusan tidak menyokong pencalonan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.

Tegas Nik Aziz, kedua-dua parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh PAS dan jangan sesekali memaksa PAS melakukan perkara yang tidak dipersetujui.

"Tidak ada hak orang lain (PKR dan DAP) paksa parti lain (Pas) buat sesuatu. Keputusan yang dibuat Presiden Pas maka tidak ada hak untuk orang suruh tarik balik," katanya.

Beliau mengulas tindakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad yang mahu Abdul Hadi menarik balik kenyataannya yang mendakwa Wan Azizah tidak berkebolehan menjadi Menteri Besar Selangor.

Tambah bekas Menteri Besar Kelantan itu, PKR dan DAP perlu sedar bahawa kedua-dua mereka hanya menumpang perjuangan PAS menentang UMNO selama ini.

"Kita adalah tiga parti (PAS, PKR dan DAP) yang berpakat melawan UMNO dan Pas adalah 'kakak tua' (abang), Pas dibawa masuk ke Kelantan pada 1951 oleh (Allahyarham) Ustaz Amaluddin Darus, saya sendiri masuk Pas tahun 1957 dan mula bergiat.

"Orang lain menumpang, DAP mari kemudian, PKR menumpang kemudian, orang Pas ada pengalaman yang begitu banyak sebelum daripada orang lain dan terima bermacam-macam dugaan, jadi Datuk Presiden (Abdul Hadi) buat kenyataan dan kenyataan ini daripada keputusan majlis-majlis (mesyuarat) sebelum ini," katanya.

Kenyataan Abdul Hadi semasa Majlis Dialog dan Penjelasan Isu-isu Semasa di Marang Jumaat lalu yang menyentuh beberapa isu termasuk melibatkan kemelut perebutan jawatan Menteri Besar Selangor serta hubungan dengan PKR dan DAP membuatkan beberapa pemimpin pembangkang sanggup menyerang Presiden Pas secara terbuka.

Antara lain yang turut mempertikai Abdul Hadi termasuk Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua yang telah mengkritik kepimpinan Abdul Hadi dalam Pas dan kebolehannya semasa menjadi Menteri Besar Terengganu.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz melahirkan rasa syukur kerana tindakan Pas menghantar tiga nama calon Menteri Besar kepada Sultan Selangor diterima dengan baik.

Dalam masa yang sama, beliau turut terkejut apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menganggap PKR dan DAP sebagai biadab dan derhaka.

Bagaimanapun Nik Abdul Aziz yang memberi reaksi kagum dengan keputusan Sultan Selangor itu turut kelihatan berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan melalui Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani pagi ini.

"(Allahuakbar)! Memang Raja ini Raja... Raja ialah Raja..Raja 'is' Raja..," kata Nik Abdul Aziz.

RakyatNews

No comments:

Post a Comment