ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: DIPAKSA BERLUTUT, KEPALA DIHANTUK PADA DINDING GARA-GARA BERGADUH DENGAN ANAK CIKGU

Tuesday 9 September 2014

DIPAKSA BERLUTUT, KEPALA DIHANTUK PADA DINDING GARA-GARA BERGADUH DENGAN ANAK CIKGU

Gambar Hiasan
Kuala Terengganu – Sudahlah dipaksa berlutut, kepala pula dihantuk pada dinding beberapa kali. Itu harga terpaksa dibayar murid tahun enam sebuah sekolah rendah, di sini, Ahmad Faiz Iskandar Ahmad Badrul, 12, yang mahu meminta maaf selepas bergaduh dengan anak guru Pendidikan Jasmani Kesihatan (PJK) sekolahnya, kelmarin.

Guru terbabit dikatakan bertindak di luar dugaan apabila sanggup membelasah mangsa di depan guru lelaki lain semata-mata mempertahankan anaknya yang bergaduh dengan mangsa.

Bapa mangsa, Ahmad Badrul Mat Taha, 38, berkata, sebelum kejadian pada 1.30 petang itu, anaknya dikatakan berkelahi dengan anak guru berkenaan ketika seminar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Taman Rekreasi Batu Burok di sini, bertujuan membantu murid menghadapi peperiksaan itu hari ini.

Menurutnya, murid yang bergaduh dengan anaknya kemudian melaporkan kejadian itu kepada bapanya yang memanggil anaknya ke bilik guru.

“Anak saya yang mahu meminta maaf terus ke bilik guru sebelum dipaksa berlutut sebelum rambutnya ditarik dan kepala dihantuk pada dinding di bilik guru lelaki berkenaan.

“Akibat kesakitan, anak saya hanya mampu menangis sekuat hati dan meminta dilepaskan guru lelaki berusia 30-an itu. Guru yang hilang kawalan itu hanya berhenti ‘membelasah’ selepas beberapa guru lelaki lain menghalangnya daripada berterusan membelasah anak saya,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, kelmarin.

Peniaga kedai makan itu berkata, dia menerima berita kejadian selepas diberitahu isterinya yang terkejut melihat kepala anaknya bengkak ketika menjemputnya pulang dari sekolah.

“Tanpa berlengah, saya terus ke sekolah mendapatkan penjelasan. Guru itu mulanya berdolak-dalik walaupun guru lain sudah melihat kejadian sebenar,” katanya.

Menurutnya, guru besar sekolah yang sudah mengetahui kejadian itu menyerahkan kepadanya sama ada mahu membuat laporan polis atau sebaliknya.

“Pada masa ini, saya hanya menunggu laporan perubatan di HSNZ,” katanya.

Saya sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada jam 8.30 malam untuk mengambil tindakan terhadap guru terbabit “Anak saya seorang daripada 16 murid terbaik sekolah itu dan saya risau kecederaan di kepalanya mungkin menyebabkan fikiran anak saya terganggu ketika menghadapi UPSR nanti.

“Bagi saya, walaupun pergaduhan membabitkan anak guru itu, namun dia (guru berkenaan) tidak boleh bertindak sedemikian, sebaliknya boleh merujuk kes kepada guru disiplin untuk diambil tindakan kepada anak saya, bukannya menghukum sendiri kesalahan murid,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu Hashim Mohd Zin berkata, pihaknya sudah menerima laporan pihak sekolah dan menjelaskan guru yang terbabit dengan kejadian itu akan dikenakan tindakan tatatertib seperti tertakluk dalam peraturan, lapor Hmetro.

No comments:

Post a Comment