ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PRK #PENGKALAN KUBOR : PR UMUM CALON KHAMIS INI

Saturday 6 September 2014

PRK #PENGKALAN KUBOR : PR UMUM CALON KHAMIS INI


TUMPAT: Walaupun masih belum dimuktamadkan, PAS malam tadi mula mencanangkan kepada pengundi di Pengkalan Kubor bahawa parti itu bakal meletakkan calon pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan pada 25 September ini.

Sebelum majlis ceramah dimulakan, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu merasmikan Markas Besar PRK PAS di sini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar, dan ADUN Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim.

Malah Mohamad, ketika ditemui selepas itu, berkata parti akan mengumumkan calon yang bakal bertanding di DUN itu pada 11 September iaitu sehari selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan calonnya.

Beliau, bagaimanapun berkata PAS akan mengadakan rundingan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memuktamadkan parti manakah yang bakal bertanding pada PRK DUN itu.

"Apa sahaja keputusan nanti kita terima walaupun PAS memang berhasrat bertanding di DUN ini," katanya sambil menambah parti itu akan akur keputusan pucuk pimpinan Pakatan Rakyat nanti.

Ketika berceramah, Kamaruddin yang juga Yang Dipertua PAS Bahagian Tumpat mendakwa PAS mendapat sokongan akar umbi yang mahukan parti itu bertanding bagi menggantikan PKR yang sebelum ini beberapa kali kalah di tangan BN pada beberapa pilihan raya umum yang lalu.

Beliau berkata, PAS perlu mengambil semula DUN berkenaan bagi melengkapkan kemenangan di semua empat DUN dalam kawasan Parlimen Tumpat.

Selain DUN Pengkalan Kubor, tiga lagi DUN dalam Parlimen itu ialah Pasir Pekan yang diwakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Wakaf Baharu (EXCO PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi) dan Kelaboran (Mohd Zaki).

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN, akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham yang mewakili BN mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 September ini sebagai tarikh penamaan calon manakala hari pengundian pada 25 September.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment