ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: DUA JENAZAH KUMPULAN KEEMPAT SELAMAT TIBA DI KLIA

Tuesday 9 September 2014

DUA JENAZAH KUMPULAN KEEMPAT SELAMAT TIBA DI KLIA

9 SEPT: Dua lagi jenazah rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi MH17 tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada jam 8.28 pagi tadi menerusi penerbangan MH19 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol, Belanda.
Kumpulan keempat jenazah mangsa MH17 itu adalah Tambi Jiee, 49, dan Benjamin Lee Jian Han, 1.
Keranda Tambi dan Benjamin yang diliputi bendera Jalur Gemilang diturunkan daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) tepat jam 8.35 pagi dengan diiringi lapan anggota pengiring Tentera Diraja Malaysia yang lengkap berseragam putih ke kenderaan jenazah dengan penuh adat istiadat ketenteraan sambil diperhatikan dengan perasaan sebak oleh ahli keluarga.
jenazah kumpulan keempat
Jenazah Tambi Jee diusung dahulu diikuti mayat Benjamin
Selesai majlis penghormatan terakhir kepada jenazah, tempoh bertafakur selama seminit diumumkan tepat jam 8.44 pagi.
Jenazah Tambi kemudian diterbangkan ke Kuching, Sarawak dengan pesawat TUDM C130, manakala mayat Benjamin dibawa ke Pusat Penjagaan Xiao En di Cheras.
Sebelum ini jenazah ibu Benjamin, Ng Shi Ing yang merupakan pensyarah Universiti Malaysia Sabah dan saudaranya Ng Lye Ti, 30, sudah selamat dibawa pulang ke Malaysia sebelum ini.
Hadir sama menyambut ketibaan jenazah pada Istiadat Penghormatan Penerimaan Jenazah Tragedi MH17 itu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai serta beberapa menteri Kabinet dan ahli keluarga mangsa.
Dengan penerimaan kedua-dua mayat mangsa MH17 berkenaan, seramai 35 mangsa MH17 telah berjaya dibawa pulang termasuk dua warga Belanda (Paul Goes dan Fan Shun Po).
Sehingga kini, seramai 199 penumpang MH17 sudah dikenal pasti, dengan 99 mangsa masih dalam proses pengecaman.
Daripada 43 rakyat Malaysia mangsa tragedi MH17, 34 mangsa yang terdiri daripada 20 penumpang dan 14 anak kapal sudah dikenal pasti, manakala sembilan lagi masih dalam proses pengecaman.
Selain 43 warga Malaysia, pesawat itu turut membawa penumpang warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.
Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari AmsterdamAmsterdam ke Kuala Lumpur terhempas selepas ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.


No comments:

Post a Comment