ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: ADUN PAS "DERHAKA" DAKWA, TINDAKAN KUTUK DAN KECAM TAK PATUT WUJUD DALAM PARTI ISLAM !!!

Tuesday 2 September 2014

ADUN PAS "DERHAKA" DAKWA, TINDAKAN KUTUK DAN KECAM TAK PATUT WUJUD DALAM PARTI ISLAM !!!


Shah Alam – ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib berkata usul mengecam dan mengutuk beliau serta ADUN Morib, Hasnul Baharuddin yang diluluskan Dewan Ulama PAS Selangor tersasar daripada prinsip kebenaran dan keadilan yang selama ini dipegang PAS.

Beliau turut pertikaikan keputusan itu dibuat tanpa memanggil dirinya dan Hasnul untuk membela diri.

Saari dan Hasnul sebelum ini didakwa membelakangkan parti dengan menyatakan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Tindakan mereka itu menyaksikan Azizah berjaya memperoleh sokongan majoriti ADUN untuk mengenepikan Tan Sri Khalid Ibrahim bagi menerajui Selangor.

“Hukum jatuh tanpa memberi ruang untuk membela diri dan membuktikan ketepatan tindakan kutuk dan kecam. Budaya ini tak patut wujud dalam sebuah parti Islam.

“Saya ingatkan para ulama yang berilmu, mendukung Al-Quran dan Sunnah, mendukung prinsip keadian, agar menyemak kembali adakah ia wajar perkara itu wujud dalam PAS,” katanya.

Saari bagaimanapun menegaskan beliau bersedia dengan sebarang tindakan susulan yang bakal diambil parti melalui jawatankuasa itu.

“Jika ia (rujukan tindakan) diterima untuk dibahas dan menetapkan usul diterima, maka jawatankuasa disiplin akan bertindak mengikut prosedur yang ada seperti panggil, beri notis, beri tarikh untuk adakan perbicaraan atau siasatan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau turut ditanya mengapa tidak memberikan penjelasan secara sukarela kepada pimpinan parti sehingga membiarkan keadaan menjadi semakin buruk.

“Kita mendapat nasihat rakan-rakan peguam. Kena buat prosedur teratur. Selagi tidak ada keputusan rasmi daripada parti, maka tidak jadi kesalahan apa yang saya lakukan.

“Rakan-rakan lama dalam jawatankuasa dan kawasan mengatakan saya sebagai pembelot, khianat, lompat parti lawan… Tidak ada keputusan dan isu disiplin adalah keputusan PAS Pusat,” demikian tegasnya.

Sementara itu Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman menempelak ADUN Hulu Klang Saari Sungib yang mendakwa usul mengecam dan mengutuk beliau dan ADUN Morib Hasnul Baharuddin bukan budaya yang diamalkan parti Islam itu.

“Pesan pada mereka (Saari dan Hasnul), budaya ingkar arahan parti juga tidak wujud dalam PAS. Ia sudah jelas, kedua-dua mereka bertindak pandai sendiri. Tiga belas ADUN lain masih boleh ikut arahan parti. Nak pembelaan apa? Arahan sudah jelas,” tambahnya ketika dihubungi sebagai mengulas kenyataan Saari itu.

Khairuddin menegaskan usul mengecam dan mengutuk itu diluluskan selepas dua langkah susulan terhadap Saari dan Hasnul menemui jalan buntu.

Terdahulu PAS memberi tempoh masa 24 jam kepada dua ADUN berkenaan untuk menarik semula sokongan terhadap Wan Azizah, diikuti cubaan menghantar wakil parti untuk bertemu Saari dan Hasnul.

“Sehingga hari ini, walaupun ada usul dibuat di peringkat pusat, negeri atau dewan terhadap tindakan mereka (Saari dan Hasnul), tetapi mereka masih nak pertahankan tindakan mereka. Hal ini tidak berdisiplin.

“Jika mereka rasa tindakan mereka betul, jangan salahkan orang lain tertutama dewan-dewan lain yang akan mengusulkan (kutuk dan kecam). Dan saya jangkakan akan banyak lagi dewan-dewan lain mengusulkan tindakan disiplin terhadap dua ADUN,” katanya lanjut.

Dalam kenyataan media Dewan Ulama PAS Selangor semalam, tindakan lanjut terhadap Saari dan Hasnul akan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat mengikut Fasal 82, Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011.

Dalam pada itu juga, baki 13 ADUN PAS yang lain tidak akan menandatangani akuan tersebut setelah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memberitahu tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Tinggal dua hari lagi sebelum PAS Pusat memuktamadkan senarai nama tiga calon menteri besar yang baharu.
SuaraTV

No comments:

Post a Comment