ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: #PENGKALANKUBOR
Showing posts with label #PENGKALANKUBOR. Show all posts
Showing posts with label #PENGKALANKUBOR. Show all posts

Sunday, 28 September 2014

KEJAYAAN DI PENGKALAN KUBOR JADI MOTIVASI BN KELANTAN

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail dilantik UMNO negeri sebagai ikon wakil rakyat negeri Kelantan ekoran kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Khamis lepas.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan majoriti undi besar yang diperoleh Mat Razi sebanyak 2,635.
Tokpa rendah diri
“Kita nak bina kekuatan UMNO dan kemenangan ini satu prestasi yang amat membanggakan. Kita akan jadikan kemenangan ini sebagai satu motivasi untuk kita menang dan mentadbir Kelantan.
“Di sini adanya jentera yang mantap, gerak kerja yang tersusun, kerjasama yang erat…kita nak jadikan sebagai kaedah bekerja di sini untuk kita bekerja di tempat lain di Kelantan ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jentera Barisan Nasional (BN) PRK itu.
Mustapa yang juga Pengerusi BN Kelantan turut berkata, akan membimbing Mat Razi agar sentiasa merendah diri dan bertawaduk supaya sentiasa disenangi rakyat.
“Saya pandu beliau untuk jadi wakil rakyat yang disenangi dan yang penting jangan ada beza taraf dengan masyarakat.
BN Kelantan
“Dia juga perlu rajin, rajin dalam setiap hal, rajin bertemu penduduk, kita nak jadikan beliau seorang yang khidmatnya terpuji, perwatakannya jadi ikon kepada semua di Kelantan,” Kata Mustapa.

Dalam pada itu, Mat Razi menyambut perlantikan itu dengan berkata, ianya perkara yang berat namun akan menimba pengalaman rakan-rakan yang telah lama menjadi wakil rakyat sambil mencuba sebaik mungkin memastikan BN berjaya merebut Kelantan pada pilihan raya umum ke 14 nanti.
mat razi
“Saya akan cuba sedaya upaya untuk bersama-sama rakan yang lain kerana fokus utama adalah untuk menambah bilangan kerusi BN dalam DUN Kelantan dan kembali memerintah Kelantan pada PRU-14,” katanya.

Khamis lalu, Mat Razi yang memperoleh 9,981 undi diumumkan pemenang pada PRK DUN Pengkalan Kubor mengalahkan calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim yang mendapat 7,326 undi dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail 38 undi.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tumpat mempertahankan kerusi Barisan Nasional bagi DUN itu dengan majoriti 2,635 undi berbanding penyandang DUN itu, Allahyarham Noor Zahidi Omar yang mendapat majoriti 1,736 undi pada pilihan raya umum ke-13.

Saturday, 27 September 2014

HAJI MAT RAZI DAH MULA BEKERJA WALUPUN BELUM ANGKAT SUMPAH


Wakil rakyat BN bagi kerusi DUN Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail memulakan tugas pada hari pertama dengan bertemu penduduk di sekitar kawasan itu seawal pukul 9 pagi Jumaat.

Terdahulu, beliau mengunjungi ibunya, Habsah Ismail, 65, di Kampung Simpangan bagi memohon restu sebelum memulakan tugasnya.

Mat Razi turut mengambil peluang beramah mesra dengan peniaga di Pasar Kampung Geting selama kira-kira 30 minit.

Bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat itu ketika ditemui berkata, isu kebajikan, pembangunan ekonomi dan kemudahan infrastruktur akan menjadi fokus utamanya selain menyambung perancangan wakil rakyat terdahulu, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar.

"Tumpuan membantu golongan miskin dan anak yatim juga akan diberikan kerana sebagai pengundi di DUN Pengkalan Kubor, mereka turut menyumbang kepada kemenangan BN (semalam) menerusi undi yang dibuat.

"Insya-Allah, saya akan berusaha membawa kemajuan di DUN Pengkalan Kubor supaya rakyat di sini tidak kecewa kerana sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi signal untuk turut membantu," katanya.

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor semalam, BN berjaya mempertahankan kerusi yang dikuasai sejak tiga penggal berturut-turut tersebut dengan jumlah majoriti lebih besar iaitu 2,635 undi.

Mat Razi memperoleh sejumlah 9,961 undi manakala pencabarnya, Wan Rosdi Wan Ibrahim daripada Pas mendapat 7,326 undi dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary, 38 undi.

Mengulas lanjut, Mat Razi berkata, segala bentuk usaha yang mahu dilaksanakan akan dibincang bersama Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd. Rosdi Abdul Aziz terlebih dahulu.

"Itu (berbincang dengan parti) bukan bermakna saya tiada idea. Saya lebih suka bermusyawarah. Sudah menjadi prinsip saya. Saya lebih suka berbincang, apapun perlu bermusyawarah bagi mendapatkan pandangan orang lain sebelum buat keputusan," katanya

Friday, 26 September 2014

PAS AKUI KEKALAHAN, SUDAH DIJANGKA TIDAK MENANG


Tumpat – PAS mangakui telah menjangka kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor ekoran penurunan peratus keluar mengundi berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Pengarah Operasi Induk PAS PRK Pengkalan Kubor, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata peratus mengundi pada PRK itu ialah 72.8 peratus berbanding 78.9 peratus pada PRU-13.
“Sebagaimana yang kita jangkakan, ia (penurunan peratusan) akan meninggalkan kesan kepada PRK ini dan kami menerima (kekalahan) dengan hati terbuka,” katanya kepada pemberita di Tumpat.
Bernama melaporkan Tuan Ibrahim berkata faktor hari pengundian pada hari bekerja menyebabkan pengundi berdaftar DUN itu yang berada di luar kawasan tidak balik mengundi dan ia menyumbang kepada penurunan peratusan mengundi.
“Kami ucapkan tahniah kepada calon BN (Barisan Nasional) dan pikul amanah yang telah diberikan oleh rakyat sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, yang hilang wang pertaruhan pada PRK itu apabila hanya meraih 38 undi, berkata beliau tidak kecewa dengan kekalahan keduanya itu.
Beliau berkata rakyat Pengkalan Kubor sebenarnya terpengaruh dengan janji-janji pilihan raya.
“Saya tidak kecewapun kalah buat kali kedua ini tetapi saya khuatirkan nasib penduduk di Pengkalan Kubor yang lalai akan janji-janji yang ditaburkan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada PRU lalu, Izat Bukhary memperoleh 65 undi dan ketika ditanya undi yang terus merosot pada PRK ini, beliau berkata pengundi telahpun membuat pilihan.
“Saya tidak mahu ulas sangat perkara ini, biarlah. Pada masa yang sama juga, saya reda dengan keputusan itu,” katanya

SAINGAN SENGIT TAPI UNIK DI PENGKALAN KUBOR





PUJIAN dan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) dan PAS yang berjaya mengekalkan kempen lunak dan harmoni sepanjang tempoh berkempen selama 12 hari.
Kini, semua mata tertumpu kepada tiga calon, Mat Razi Mat Ail (BN), Wan Rosdi Wan Ibrahim (PAS) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Hari ini, seramai 23,929 pengundi akan menjadi 'raja' untuk memangkah siapa yang difikirkan layak  bekerja dan mendengar suara hati mereka.

Tiada istilah peluang sudah tertutup untuk ketiga-tiga calon ini selagi peti undi tidak dibawa ke pusat pengiraan selepas pukul 5 petang Khamis.

Tanpa mengambil kira calon Bebas, secara keseluruhannya dapat dikatakan bahawa pertempuran di antara BN dan PAS kali ini sangat sengit tetapi unik.


Mat Razi (kanan) menjadi taruhan BN untuk mempertahankan kerusi Pengkalan Kubor.
Sehingga tamat tempoh berkempen, sama ada BN atau PAS, masing-masing tidak berani menyatakan keyakinan mereka untuk menang walaupun kedua-duanya menyimpan harapan tinggi.


Persaingan kali ini dianggap unik dan menarik apabila ramai yang mengakui bahawa pihak yang akan menentukan kalah-menang PAS dan BN adalah warganegara Malaysia berketurunan Siam yang menetap di Pengkalan Kubor, serta pengundi luar.


Walaupun jumlah pengundi masyarakat Siam hanya 1,638 orang, membentuk golongan pengundi kedua terbesar (6.81 peratus) selepas Melayu, ia dikatakan akan memberi pengaruh besar dalam menentukan siapa sebenarnya yang akan 'terkubur' di Pengkalan Kubor.


Ini kerana, masyarakat Melayu di Pengkalan Kubor yang membentuk majoriti dengan 22,120 jumlah pengundi (92.02 peratus) di sini rata-rata sudah mempunyai parti pilihan masing-masing.


Margin peratusan pengundi atas pagar pula amat kecil di sini, manakala pengundi Cina hanya berjumlah 238 orang, India dan bumiputera Sarawak masing-masing 25.


PAS sudah punya penyokong setia dan tegarnya, terutama di Kampung Geting dan Kedai Geting yang merupakan kawasan perkampungan nelayan yang menjadi kubu kuat PAS sejak dahulu lagi.


Dua kawasan ini diletakkan di bawah kategori Zon A di mana ia menjadi antara kawasan pengundi paling ramai, masing-masing berjumlah 3,355 dan 1,524.


Khabarnya, golongan ini berpegang erat dengan prinsip, 'PAS adalah agama' dan pemahaman mereka ini  sukar dikikis walau penjelasan demi penjelasan dan bantuan demi bantuan  dihulurkan kerajaan Pusat sejak sekian lama.


Dalam erti kata lain, mereka tidak menolak pembangunan atau bantuan yang diberikan kerajaan BN, namun menolak BN menerusi kertas undi.


BN Selesa


Bagi BN pula, mereka dikatakan sudah selesa di 10 Pusat Daerah Mengundi (PDM) seperti Pengkalan Kubor, Kampung Ketil, Kampung Teluk Jering, Simpangan, Tujoh, Bunohan, Telaga Bata, Jubakar Darat dan Kampung Bendang Pak Yong.


Di kawasan ini, BN juga tidak berdepan masalah 'pengundi tak setia' kerana rekod cemerlang yang telah diterjemahkan oleh wakil rakyat tiga penggalnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar.


Apa yang diharapkan pengundi hanyalah kesinambungan perkhidmatan daripada wakil rakyat baharu jika calon BN diumumkan menang.

Cara calon Bebas menarik undi penduduk di Pengkalan Kubor.
Dalam konteks pengundi Siam, BN dilihat mempunyai banyak kelebihan berbanding PAS.


Berdasarkan rekod tiga Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini iaitu pada 2004, 2008 dan 2013, undi yang diberikan masyarakat Siam kepada BN menunjukkan peningkatan yang begitu ketara.


Ini berlaku kerana mereka dilihat lebih selesa dengan politik dan dasar BN berbanding dasar PAS yang tidak memberikan apa-apa kepentingan kepada mereka.


Dari sudut lain, masyarakat Siam yang majoritinya bekerja sebagai petani berpuas hati dengan langkah kerajaan Pusat menjaga kebajikan mereka. 


Sebagai contoh, memberi bantuan baja untuk mereka bercucuk tanam.


Namun, ada juga yang berpendapat bahawa sesetengah masyarakat Siam di sini  menghormati Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan cenderung untuk terus memberi sokongan kepada PAS.


Undi Luar, Besar Tapi Samar


Mengenai pengundi luar, walaupun jumlah mereka ramai iaitu kira-kira 2,000 orang, tetapi sukar dicongak oleh BN atau PAS, menjadikannya berterusan samar-samar.


Jika dilihat kepada angkanya, ia merupakan satu jumlah besar yang tidak patut diketepikan, baik oleh BN, mahu pun PAS.


BN dan PAS boleh berharap agar pengundi luar pulang mengundi, tetapi agak bahaya jika mereka bergantung kepada undi mereka untuk menang.

Calon PAS.

Dalam hal ini, tiada siapa dapat pastikan berapa ramai yang benar-benar akan pulang mengundi.


Masalah timbul apabila kumpulan pengundi ini dikatakan berdepan beberapa kekangan untuk pulang mengundi, termasuklah masalah untuk mengambil cuti dan terpaksa mengambil cuti dua kali untuk pulang pada Hari Raya Haji minggu depan.


Mahu Menang


Walau sengit mana sekali pun saingan pilihan raya kali ini, apa yang pasti kedua-dua parti mempunyai alasan tersendiri untuk menang.


Selain mahu mempertahankan kerusi yang disandangnya selama tiga penggal, kemenangan di Pengkalan Kubor adalah penting bagi BN untuk membuktikan parti itu relevan dan terus diterima rakyat.


Bagi PAS pula, mereka tentunya mahu menang setelah puas berusaha memujuk rakan sekutu mereka PKR supaya menyerahkan kerusi Pengkalan Kubor untuk ditanding calon mereka.


Jika tewas, tentu sahaja PAS akan malu besar.
mStar

Thursday, 25 September 2014

KEPUTUSAN RASMI PRK N01 PENGKALAN KUBOR


TUMPAT: Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor dengan majoriti lebih besar iaitu sebanyak 2,635 undi.

Calonnya, Mat Razi Mat Ail, mendapat 9,991 undi, berbanding calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim yang memperolehi 7,326 undi.

Calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary mendapat 38  undi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, BN menang dengan majoriti 1,736.Pengumuman keputusan rasmi dilakukan oleh Pegawai Pengurus PRK Pengkalan Kubor Mohd Sobri Ramli di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Biji Wangsa di sini, kira-kira pukul 9 malam Khamis.

Selain Mat Razi, hadir sama ketika pengumuman keputusan adalah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pimpinan tertinggi Umno dan BN.

Mat Razi, 48, merupakan pengasas sekolah pondok di Simpangan dan bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat serta Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Tumpat.

Dengan kemenangan ini, beliau akan meneruskan perjuangan Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, yang membawa kecemerlangan BN dan kemajuan di DUN berkenaan.

Noor Zahidi menjadi wakil rakyat di DUN Pengkalan Kubor selama tiga penggal.

Pemilihan kali ini menyaksikan seramai 23,929 pengundi layak membuang undi di DUN tersebut.

SPR membuka 11 pusat mengundi dengan 45 saluran mengundi membabitkan 11 buah sekolah untuk proses pengundian bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Sehingga proses pengundian ditutup, seramai 73 peratus pengundi telah keluar mengundi.Seramai 104 daripada 109 pengundi awal telah mengundi awal pada 21 September lalu.

KEPUTUSAN RASMI PRK 
N01 PENGKALAN KUBOR

BN MENANG

Jumlah Undi BN : 9961
Jumlah Undi PAS : 7326
Jumlah Undi Bebas : 38
Majoriti : 2635
Turn Out PRK 2014 : 73.1%

Jumlah Peti Undi Diterima : 47
Jumlah Peti Undi Belum Diterima : 0
Jumlah Keseluruhan Peti Undi : 47

Majoriti PRU 13 : 1736
Turn out PRU 13 : 79.1%

KEPUTUSAN AWAL PRK N.01 PENGKALAN KUBOR


KEPUTUSAN AWAL PRK
N.01 PENGKALAN KUBOR

PENGKALAN KUBOR :   
BN: 1,033 (67.03%)
PAS: 476 (30.89%)
BEBAS : 5 (0.32%)
MAJ : 557

KG KETIL :   
BN: 1,015 (49.25%)
PAS: 1,012 (49.10%)
BEBAS: 4 (0.19%)
MAJ : 3

KG TEBING :  
BN: 502 (44.11%)
PAS: 609 (53.51%)
BEBAS: 2 (0.18%)
MAJ : -107

KG GETING :   
BN: 1,019 (40.66%)
PAS: 1,327 (52.95%)
BEBAS : 3 (0.12%)
MAJ : -308

SIMPANGAN :  
BN: 878 (76.48%)
PAS: 263 (22.91%)
BEBAS : 6 (0.52%)
MAJ : 615

TUJOH : 
BN: 1,081 (51.57%)
PAS: 971 (46.33%)
BEBAS : 6 (0.29%)
MAJ : 110

KG TELAGA BATA: 
BN: 722 (53.92%)
PAS: 607 (45.33%)
BEBAS: 0
MAJ : 115

KG BUNOHAN :  
BN : 783 (70.35%)
PAS: 315 (28.30%)
BEBAS: 3 (0.27%)
MAJ : 468

JUBAKAR DARAT : 
BN : 754 (89.87%)
PAS: 77 (9.18%)
BEBAS: 1 (0.12%)
MAJ : 677

BENDANG PAK YONG : 
BN : 1,108 (54.93%)
PAS: 878 (43.49%)
BEBAS: 5 (0.25%)
MAJ : 231

TELUK JERING :  
BN : 424 (79.55%)
PAS : 107 (20.26%)
BEBAS : 1 (0.19%)
MAJ : 316

KEDAI GETING :   
BN : 532 (43.01%)
PAS: 671 (54.24%)
BEBAS: 2 (0.16%)
MAJ: -139

UNDI AWAL/POS
BN: 96 (91.43%)
PAS: 8 (7.62%)
BEBAS: 0
UNDI ROSAK: 1
MAJ: 88 

Jumlah pengundi : 24,039
Turn out : 17,674 (73.52%)
Undi BN :  9,948 (56.28%)
Undi PAS:  7,322 (41.43%)
Undi BEBAS:  38 (0.21%)
MAJORITI : 2,626 (14.86%)


DEBARAN #PENGKALANKUBOR ......



Berbeza dengan enam pilihanraya kecil yang diadakan selepas pilihanraya umum ke 13 lalu,suasana di Pengkalan Kubor memang agak lain macam sikit.

Ini kerana perang kempen di penjuru paling Utara di Kelantan yang terletak dalam daerah Tumpat ini tenggelam dek kerana kehangatan 'tembak menembak' dalaman Pakatan Rakyat kerana isu Menteri Besar Selangor.

Gara-gara cacamarba dalam Pakatan Rakyat itu maka ini kali pertama menyaksikan jentera PAS turun bersendirian tanpa bantuan PKR dan DAP untuk berentap dengan BN.

Kini selepas 13 hari berkempen...debaran bermula pagi Khamis bila 24,039 pengundi di Dewan Undangan Negeri ini bersesak untuk buat perhitungan masing-masing di pusat-pusat pembuangan undi.

BN meletakan harapannya pada Mat Razi Mat Ail manakala PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim.Calon Bebas yang turut mahu cuba nasib ialah Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Berbagai ramalan berlegar.Apakah BN mampu mempertahankan satu-satu DUN yang dimenanginya dalam daerah Tumpat?

Majoriti Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar yang menjadi wakil rakyat BN kawasan ini selama tiga penggal di Pengkalan Kubor pada PRU 13 ialah 1,736 undi.

PAS sudah tentu mahu merampas kerusi DUN ini bagi melengkapkan kesemua empat DUN dibawahnya.

Selain DUN Pengkalan Kubor, tiga lagi DUN dalam daerah Tumpat ialah Pasir Pekan yang diwakili Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, Wakaf Baharu (Exco PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi) dan Kelaboran (Mohd Zaki).

Parlimen Tumpat pula dipegang oleh Datuk Kamaruddin Jaafar juga PAS.

Sejak Rabu yang merupakan hari terakhir tempoh berkempen ditetapkan SPR kedua-dua BN dan PAS telah memperlahankan kempen masing-masing.

BN hanya bergerak dari rumah ke rumah manakala PAS tumpu untuk memujuk pengundi sasaran.
Tiada lagi ceramah 'grand finale' selepas ceramah PAS di kampung Geting Selasa malam yang membariskan tokoh-tokoh utama PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sepanjang kempen ramai juga yang tercari-cari kalau nampak batang hidung tokoh-tokoh PKR .Namun tiada. Dua orang Naib Presiden PKR , Tian Chua dan Shamsul Iskandar Md Akin hanya tunjuk muka pada hari penamaan calon sahaja.
DAP pula langsung tidak tunjuk muka.Mengambil kira semangat solidariti Pakatan Rakyat yang kebiasaan ditunjukkan semasa setiap pilihanraya kecil jumlah pengundi Cina yang kecil yakni cuma  234 orang (0.96 peratus) di kawasan ini tidak boleh dijadikan alasan.

Semua orang tahu selain DAP cukup marah pada PAS kerana tidak menyokong pencalonan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk jawatan Menteri Besar Selangor.

Di pihak BN, MCA berkempen all out dan antara yang turun padang ialah Timbalan Presiden Datuk Dr Wee Ka Siong.
"BN mendahului dari semua segi dalam pilihanraya ini..." itu kata Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Rafii kepada Agendadaily.
Beliau yakin BN akan mempertahankan kerusi DUN itu sekalipun tidak dapat memberikan anggaran majoriti.
"Menang tetap menang, tapi berapa majoriti itu bergantung kepada peratusan keluar mengundi,"ujar beliau yang lebih seminggu berkampung di Pengkalan Kubor.
Berbeza dengan kawasan lain di Kelantan, Pengkalan Kubor mempunyai pengundi tetap BN yang lebih ramai dan membentuk sokongan majoriti.
Perpecahan dalaman PAS Kelantan dikatakan memberi kesan pada jentera parti itu di Pengkalan Kubor.
Sungguhpun di atas Pengkalan Kubor ini termasuk dalam kawasan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob yang merupakan YDP PAS Tumpat, namun perkara tersebut tidak diterjemahkan dengan sokongan jentera.
"Jentera PAS tidak turun full force kali ini kesan dari perpecahan dalaman PAS Kelantan," kata Pengerusi Eksklusif Ilham Centre Hisomuddin Bakar kepada Agendadaily.
Ilham Centre merupakan badan yang membuat kajian lapangan dalam pilihanraya.
"Corak kempen PAS di Pengkalan Kubor gagal menonjolkan bahawa mereka merupakan kerajaan negeri yang memerintah Kelantan sejak 24 tahun lalu, ia memberi kesan kepada mood pengundi terutamanya pengundi atas pagar,"ujar beliau.
Menurut Hisomuddin, dua 'agensi' yang berperanan membawa pulang pengundi luar PAS, Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan) dan Persatuan Anak Kelantan Darul Naim Selangor dan K.Lumpur (Persada) juga tidak bergerak untuk membantu PAS di Pengkalan Kubor.
"PAS bergantung sokongan daripada pengundi luar dan pengundi dua warganegara, jika mereka tidak balik dan mengundi PAS, ia akan memberi kesan yang besar kepada parti tersebut,"jelas beliau.

Wednesday, 24 September 2014

PRK #PENGKALANKUBOR : SPR MINTA SEMUA PARTI PATUHI UNDANG-UNDANG


TUMPAT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta semua parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor Khamis supaya mematuhi undang-undang dan menghentikan kempen masing-masing tepat 12 tengah malam Rabu.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, mereka harus mengikut undang-undang supaya perjalanan proses pilihan raya berjalan lancar, aman dan tenang.

"Bagi PRK N01 Pengkalan Kubor, tempoh berkempen yang bermula pada 13 September 2014 akan berakhir pada pukul 12 tengah malam 24 September dan sebarang aktiviti berkempen selepas itu tidak dibenarkan," katanya dalam sidang media di Majlis Semakan Isi Peti Undi di sini, Rabu.

Katanya, seramai 435 petugas SPRM akan membuat pemerhatian sepanjang tempoh pengundian dan juga sehingga proses pengiraan undi selesai.

"Sekiranya terdapat pihak yang berdegil, kita akan merobohkan tempat berkempen itu dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya.

Abdul Aziz berkata, SPR membuka 11 pusat mengundi dengan 45 saluran mengundi membabitkan 11 buah sekolah esok bagi PRK itu bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.



Sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 1, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2, Sekolah Menengah Ugama (A) Meheliah Geting, Sekolah Kebangsaan Geting (1), Sekolah Kebangsaan Simpangan, Maktab Rendah Sains MARA Tumpat, Sekolah Kebangsaan Bunohan, Sekolah Kebangsaan Sri Neting, Sekolah Kebangsaan Bendang Pa' Yong, Sekolah Kebangsaan Teluk Jering dan Sekolah Menengah Kebangsaan Geting.



Seramai 23,929 orang pengundi biasa akan mengundi esok dan SPR menjangkakan lebih 70 peratus akan keluar menjalankan tanggungjawab itu.

Abdul Aziz berkata, pengundi dinasihatkan membuat semakan maklumat masing-masing lebih awal bagi memudahkan mereka mengundi Khamis.

PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian Datuk Noor Zahidi Omar daripada Barisan Nasional (BN) pada 20 Ogos lepas.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas IzatBukhary Ismail Bukhary.

SPR PUJI KEMPEN PRK #PENGKALANKUBOR BERLANSUNG SECARA AMAN

Pengkalan Kubor
Tumpat – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memuji parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor kerana mematuhi semua arahan suruhanjaya itu.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata kempen PRK itu sejak 13 September berlangsung secara aman walaupun berlaku beberapa masalah kecil yang dapat diselesaikan dengan baik.
“Alhamdulillah, nampaknya semua parti-parti yang bertanding patuh dengan (arahan) SPR, dengan itu saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang beri kerjasama kepada SPR untuk menjaga keamanan sepanjang kempen.
“Jadi, secara keseluruhan sehingga petang ini, saya dimaklumkan bahawa proses kempen yang berjalan di sini begitu aman,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan TV1 Radio Televisyen Malaysia di sini, hari ini.
Abdul Aziz berkata, sehingga petang ini, SPR hanya menerima tiga laporan daripada polis berkaitan poster yang dipasang tidak teratur dan papan tanda gergasi yang melanggar undang-undang.
“Semua masalah itu dapat diselesaikan dengan baik oleh parti-parti bertanding,” katanya.
Beliau berkata, calon yang bertanding juga menghormati lawan mereka dengan tidak mengeluarkan perkataan dan tuduhan yang sangat melampau.
“Jadi, saya berharap calon bertanding dengan penyokong terus menghormati undang-undang dan peraturan etika yang berkaitan dengan kempen,” katanya.
Beliau berkata, SPR menjangkakan keputusan PRK diketahui selewat-lewatnya pada 9 malam pada Khamis ini.
“Semua 11 pusat mengundi berdekatan satu sama lain termasuk pusat penjumlahan undi di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bijiwangsa,” katanya.
Abdul Aziz juga meminta pengundi Pengkalan Kubor itu supaya membuat semakan untuk mengetahui pusat dan saluran mengundi masing-masing.
PRK itu diadakan berikutan kematian Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.
Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mat Razi Mat Ail; calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim; dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PENDUDUK MAHU BN KEKAL DI PRK #PENGKALAN KUBOR



TUMPAT - Rata-rata penduduk mahukan Barisan Nasional (BN) terus kekal di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun itu, Khamis ini, agar pelbagai pembangunan dapat dilaksanakan di kawasan itu.

Calon BN Mat Razi Mat Ail berkata penduduk juga mahukan pemimpin yang mempunyai hubungan dengan kerajaan pusat agar segala masalah dapat diusulkan terus kepada pihak atasan.
   
"Penduduk ingin BN terus kekal bagi membolehkan agenda pembangunan di peringkat akar umbi dapat diteruskan dan mereka mahukan wakil rakyat yang ada hubung kait dengan BN.
   
"Jika ada sebarang permasalahan, segala permohonan akan diusulkan terus ke peringkat tertinggi," katanya dalam sidang akhbar di Pantai Sri Tujoh di sini, hari ini.
   
Mat Razi berkata beliau telah mengunjungi kesemua 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Pengkalan Kubor dalam tempoh berkempen PRK itu.

"Saya dah pergi ke semua PDM dan pemantauan akan disusuli pada hari ini dan juga esok bagi memantapkan lagi persiapan sebelum hari pengundian.
   
"Pagi ini pun saya dah berkunjung ke 15 buah rumah dan ini merupakan strategi penting kerana penduduk sukakan pemimpin yang mendekati rakyat," katanya.
   
Pilihan raya kecil Dun Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mat Razi, calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
   
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar daripada BN pada 20 Ogos lepas.
    
Pada pilihan raya umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.

Sunday, 21 September 2014

1,000 PENGUNDI MUDA LUAR LUAR TUMPAT DIJEJAKI PULANG MENGUNDI

Pemuda UMNO sedang berusaha menghubungi 1,000 pengundi muda berdaftar bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor di Tumpat, Kelantan untuk menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya kecil DUN itu 25 September ini.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya mengenal pasti 1,000 daripada kira-kira 5,000 pengundi muda di kawasan itu berada di luar daerah Tumpat mahupun di luar Kelantan.
khairy fit sabah
“Saya telah mengarahkan jentera Pemuda di semua negeri untuk mengesan seterusnya menghubungi mereka supaya boleh pulang menunaikan kewajipan mengundi kerana rata-rata mereka berada di perantauan untuk mencari rezeki.

“Kita ingatkan jentera jangan berhenti kerana kita masih mempunyai baki empat hari lagi untuk menghubungi mereka dan mengajak mereka pulang mengundi, sekali gus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN),” katanya selepas melancarkan program FitMalaysia-Sabah di Teluk Likas pada Ahad.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, parti berharap golongan muda memberi kepercayaan kepada calon BN sekali gus memberi kemenangan kepada parti.
Ditanya keyakinan BN untuk mengekalkan kerusi DUN itu, Khairy berkata berdasarkan pemantauan, pertandingan dijangka sengit.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Noor Zahidi Omar akibat kanser hati pada 20 Ogos lalu.
Ia membabitkan pertandingan tiga penjuru antara antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Allahyarham Noor Zahidi mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.

TANYA UMNO KENAPA PENGKALAN KUBOR TAK MAJU – TAKIYUDDIN

“Saya tak nak burukkan mana-mana pihak tetapi kalau UMNO kata Pengkalan Kubor tak maju, mundur dan sebagainya, rakyat kena tanya UMNO balik siapa wakil rakyat di sini sejak lebih dua penggal lalu.”
Kata Pengarah Operasi Pilihanraya Pas Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan, kerana terlalu ghairah berkempen nak burukkan Pas, maka pemimpin UMNO terlupa apa yang diburukkan itu terkena batang hidung sendiri.
“Pemimpin UMNO kata jeti nelayan tak dibina sejak sekian lama hingga menyusahkan golongan nelayan memunggah hasil tetapi cuba pemimpin UMNO tanya balik berapa lama BN menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor ini.
“Cakap tak serupa bikin bila sebut kawasan ini tak bersih dan jalan tak elok. Kita tak naklah burukkan bekas wakil rakyat sini, Allahyarham Noor Zahidi Omar tetapi sudahnya, pemimpin UMNO sendiri yang dedah keburukan Allahyarham yang mana boleh sifatkan sebagai amat mengaibkan.
“Jangan sentuh pasal keburukan dan kelemahan pembangunan di DUN Pengkalan Kubor sebab Pas dah beri dua penggal lebih kepada BN untuk membangunkan kawasan ini,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette.
Dalam nada kesal, Takiyuddin berkata, apa juga kelemahan pembangunan di DUN Pengkalan Kubor yang dibawa oleh pemimpin UMNO secara tidak langsung akan membabitkan Allahyarham Noor Zahidi.
“Walaupun berlainan ideologi, Pas sentisa menghormati Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang baik dan kita tidak akan sentuh apa pun yang membabitkan Allahyarham.
“Malangnya UMNO bersama pemimpinnya seperti lupa diri sengaja mencari kelemahan DUN ini untuk menghentam Pas sedangkan ini adalah kawasan yang dimenangi oleh BN sejak pilihan raya umum 2004 seolah-olah Allahyarham tak buat apa-apa untuk Pengkalan Kubor,” ujarnya.
Tambahnya, Pas akan teruskan kempen dengan cara berhemah dan akan menekankan misi-misi terbaik untuk membangunkan Pengkalan Kubor.
Kredit : KLXPress