ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PENGAKUAN ISTERI GERSANG

Saturday 30 August 2014

PENGAKUAN ISTERI GERSANG


SUDAH hampir setahun suaminya berkhidmat di sebuah negara di kutub utara. Tinggallah Zamira (bukan nama sebenar) bersama tiga anaknya di ibu kota meneruskan kehidupan seperti biasa.

Faktor tidak biasa dengan cuaca terlalu sejuk membuatkan Zamira memilih membesarkan anak-anak di negara tercinta sahaja. Jika sebelum ini dia hanya menjadi suri rumah sepenuh masa, Zamira juga memilih untuk bekerja bagi menghilangkan rasa bosan di rumah.

Wanita berusia 31 tahun ini akhirnya berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan di sebuah syarikat telekomunikasi. Anak-anaknya berusia lingkungan lima hingga lapan tahun juga sudah mula ke sekolah, dek kerana cita-cita tertangguh dahulu, Zamira turut mendaftarkan diri sebagai pelajar sambilan di sebuah universiti tempatan mengambil jurusan pentadbiran perniagaan.

Hidup Zamira memang penuh dengan aktiviti, setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 7 malam dia akan berada di pejabat. Bila balik pula dia menguruskan kelengkapan anak-anak untuk ke sekolah esok hari dan hujung minggu pula Zamira menghadiri kelas menuntut ilmu di peringkat ijazah.

“Suami memang ada menyarankan saya memenuhi masa supaya saya tidak akan rasa bosan dan merinduinya. Memang semenjak bercinta kami tidak pernah berenggang dan langsung tidak pernah berpisah walau untuk sehari. “Jadi setelah suami ditugaskan ke luar negara sesuatu yang amat sukar bagi saya melepaskannya. Atas sebab itu saya disuruh suami menyambung pelajaran dan bekerja supaya ada rakan-rakan yang dapat menghiburkan hati," cerita Zamira di awal pertemuan kami. 

Mujurlah juga Zamira mempunyai seorang pembantu rumah yang baik hati dan jujur jadi Zamira tidak mempunyai tekanan memikirkan keadaan rumah dan anak-anaknya di rumah. Dek kerana jauh, suami Zamira hanya akan pulang ke tanah air kira-kira lima bulan sekali. Kerinduan Zamira dan anak-anak pada suami dilepaskan semata-mata menerusi internet atau panggilan video.

“Hampir setahun suami berkhidmat di sana saya semakin boleh mengadaptasi kehidupan tanpanya. Kalau dulu saya tidak boleh memandu, kini saya sudah berjaya memiliki lesen memandu dan suami juga membelikan saya sebuah kereta mewah semata-mata untuk menggembirakan hati saya yang berkorban menjaga anak-anak sepanjang peninggalannya ke luar negara. “Semakin seronok saya bergaya dengan kereta dan kerjaya yang memerlukan interaksi dengan orang ramai.

Hingga pada satu hari saya bertemu dengan seorang pelanggan lelaki yang berusia dalam 30 tahun. Pada awalnya hubungan sekadar pelanggan, lama-lama kami berkawan pula. Dia mengajak saya keluar minum dan tanpa ragu saya menerima pelawaan," imbas Zamira. Biarpun sibuk dengan pelbagai aktiviti, Zamira mengakui jiwanya begitu kosong tanpa teman yang bernama lelaki.

Bila semakin lama suaminya di luar negara, perasaan kebergantungan menjadi semakin nipis dan Zamira kini sungguh berdikari. “Walaupun baru dua kali keluar minum dengan Irfan (bukan nama sebenar), saya tidak mampu menidakkan rasa hati. Saya tahu saya mula sukakannya, bukan bermakna saya mahu bercerai dengan suami, tapi saya menganggap Irfan teman di kala sunyi semata-mata dan tidak lebih dari itu.

“Irfan bukanlah jejaka persis hero tempatan tapi bagi saya dia mempunyai daya tarikan tersendiri. Walaupun dia lebih muda dua tahun dari saya, kematangannya terserlah. Pengetahuan amnya juga luas, dari perbualan dengannya saya tahu dia seorang yang kuat membaca. “Paling saya tertarik dengannya ialah sikapnya yang sungguh mengambil berat. Satu hari kereta saya rosak, Irfan pantas datang menghulur bantuan, perasaan saya padanya semakin hari semakin kuat hinggakan saya lebih banyak berSMS dengannya daripada suami sendiri," akui Zamira.

Dua bulan berlalu selepas mengenali Irfan, Zamira merasakan kehidupannya sungguh ceria. Jiwanya rasa seakan gadis yang baru mula mengenali erti cinta, satu perasaan yang mengujakan Zamira setiap hari dan dia bersemangat ke pejabat semata-mata untuk makan tengah hari bersama Irfan. Tersedar dari khayalan Kemesraannya dan Irfan menyebabkan Zamira ada terdetik di hati untuk berkahwin dengan Irfan. Dia mula merancang strategi mencari alasan berpisah dengan suami.

Hinggalah pada satu hari anak sulung Zamira diserang demam denggi, betapa paniknya Zamira kerana terpaksa menguruskan anaknya di hospital seorang diri. “Di hospital melihat begitu ramai orang sakit, sayu pula hati saya. Makin saya terharu melihat pengorbanan seorang ibu yang menjaga anak dan suami yang sakit di hospital. Begitu tabah ibu itu yang usianya seakan kakak saya sahaja. Berkongsi cerita dengan kakak tersebut, umpama menyedarkan saya daripada khayalan sendiri. “Ketika itu saya mula mengenang kesilapan diri, betapa jauh saya terlanjur walau tidaklah sampai berdua-duaan dengan Irfan di tempat sunyi tapi saya merasa seakan besar beban dosa yang saya tanggung.

“Ketika menjaga anak di hospital, Irfan ada beberapa kali menghubungi tapi saya tiada hati untuk menjawabnya. Kepada suami saya adukan kegusaran hati tentang anak yang sakit dan akhirnya saya sedar kekhilafan diri. “Saya mengelak berhubung dengan Irfan dan akhirnya saya memilih untuk berhenti kerja. Saya menukar nombor telefon dan memutuskan hubungan dengan Irfan walaupun di laman sosial. Sementara menunggu notis berhenti, anak saya juga semakin sihat dan pembantu rumah saya juga mahu berhenti kerja kerana akan bernikah. 

“Bagaikan satu hikmah yang terbaik disusun yang maha pencipta, saya akhirnya kembali kepada fitrah seorang isteri. Biarpun sudah berhenti kerja dan menguruskan rumah tangga saya rasa puas kerana dapat berbakti untuk suami. “Suami saya tidak pernah mengetahui tentang apa yang telah terjadi dan menerima keputusan saya dengan hati terbuka, itulah yang terbaik untuk kami," ujarnya mengakhiri bicara.

No comments:

Post a Comment