ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: ISU MB SELANGOR : PKR, DAP DIMINTA AKUR TITAH SULTAN

Monday 1 September 2014

ISU MB SELANGOR : PKR, DAP DIMINTA AKUR TITAH SULTAN

alt
KUALA KRAI 1 Sept - Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP diminta menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu setiap parti dalam pakatan pembangkang mencadangkan dua nama untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar Selangor.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, semua pihak harus menghormati titah sultan dalam soal pemilihan Menteri Besar baharu itu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, ini kerana kuasa memilih Menteri Besar sesebuah negeri itu adalah tertakluk sepenuhnya kepada sultan dan ia sudah termaktub dalam perlembagaan.

"Saya berpandangan lebih semua pihak akur dengan titah sultan (mengemukakan lebih daripada dua nama), kerana di dalam perlembagaan sekalipun, kuasa memilih Menteri Besar ini diberikan kepada sultan bukan sahaja di Selangor malah di seluruh negeri.

"Sultan yang layak menentukan sesiapa sahaja menjadi Menteri Besar. Sejarah sebelum ini dapat kita lihat seperti yang berlaku di Terengganu, Pahang dan Perak.

"Saya rasa semua pihak harus sensitif dengan perkara ini dan menghormatinya," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Negara Ke-57 di Padang Kawad Batalion Ketiga Rejimen 506 Askar Wataniah, Kem Sungai Durian, semalam.

Sultan Sharafuddin baru-baru ini menitahkan Pas, DAP dan PKR masing-masing mencadangkan lebih dua nama daripada pakatan pembangkang untuk dipertimbangkan sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun PKR dan DAP tetap berkeras hanya mahu mencalonkan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk dipersembahkan kepada baginda.

Malah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam turut membuat penegasan bahawa keputusan menamakan Wan Azizah sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor yang baharu adalah muktamad.

Mohd. Amar berkata, Pas tetap menghormati titah sultan dan akan mempersembahkan dua nama kepada baginda sebagai calon mengisi jawatan tersebut.

"Kita (Pas) menghormati titah sultan, sebab itu daripada awal lagi kita meletakkan dua nama sebagai calon," katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Mohd. Amar berkata, Pas masih belum membuat persiapan daripada segi calon yang akan bertanding di kawasan berkenaan.

Katanya, walaupun terdapat cadangan daripada akar umbi yang mahu calon daripada Pas diketengahkan pada PRK nanti, namun ia masih belum diputuskan lagi.

"Bila ada suara daripada akar umbi mencadangkan calon Pas bertanding di DUN berkenaan, kita sampaikan kepada PKR dan kita mahu dengar reaksi mereka mengenainya.

"Mungkin akan ada pertemuan selepas ini bagi membincangkan dari hati ke hati dengan PKR mengenai calon sebelum diputuskan nanti," katanya
 
RakyatNews

No comments:

Post a Comment