ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PECATLAH SAYA.., KALAU TAK SUKA CARA SAYA BEKERJA - ADUN PKR PULAU PINANG

Monday, 15 January 2018

PECATLAH SAYA.., KALAU TAK SUKA CARA SAYA BEKERJA - ADUN PKR PULAU PINANG


"Pecatlah saya kalau memang tak suka dengan cara saya bekerja" itu luahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Arifin selepas diasak PKR dan kerajaan negeri yang tidak selesa dengan tindakannya memberi ulasan berhubung isu projek terowong dasar laut kepada BH, Jumaat lalu.


Dr Norlela yang juga Ahli Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) negeri berkata, tindakan PKR dan Kerajaan DAP Pulau Pinang mendesaknya mengemukakan saman kepada BH ekoran artikel berkenaan, antara lain disifatkan tidak masuk akal.

Selain itu, katanya, artikel disiarkan BH berhubung projek mega dianggar bernilai RM6.3 bilion itu langsung tidak terpesong daripada maksud asal dan desakan mengemukakan saman kepada akhbar ini disifatkan sebagai serangan peribadi oleh PKR dan Kerajaan DAP Pulau Pinang.

"Benda ini (projek terowong dasar laut) adalah rekod umum yang dinyatakan dalam Laporan PAC negeri, membabitkan sejumlah wang yang begitu besar dan kepentingan awam. Justeru, tiada keperluan untuk kerajaan negeri atau PKR minta saya 'diamkan' perkara ini.

"Saya sendiri tak tahu apa yang mereka (PKR dan kerajaan negeri) nak geramkan dengan laporan itu sampai minta saya saman BH. Saya memang tak ada masa nak layan desakan mereka ini," katanya ketika menghubungi BH, sebentar tadi.

Jumaat lalu, Norlela dilapor berkata, isu kos kajian kebolehlaksanaan projek mega yang dibuat dalam bentuk pampasan tanah itu, sebelum ini pernah dibangkitkan beliau bersama beberapa ADUN, termasuk daripada DAP ketika beberapa persidangan DUN lalu.

"Perkara ini juga pernah dibawa pada mesyuarat PAC Pulau Pinang, bertujuan menuntut penjelasan lebih terperinci daripada kerajaan negeri. Ketika itu, sebagai ahli PAC, kita persoalkan mengapa kos kajian kebolehlaksanaan projek ini terlalu mahal.

"Adakah pembayaran dibuat itu munasabah dengan kadar kerja yang dilakukan syarikat perunding dilantik.

"Malah, anggota PAC, termasuk dalam kalangan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) ketika itu turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri mengikut garis panduan dan pekeliling berhubung penjimatan kos dikeluarkan Perbendaharaan Negeri sebelum memutuskan pembayaran kajian berkenaan," katanya.

Pada masa sama, Norlela menyifatkan desakan dikemukakan PKR dan kerajaan DAP Pulau Pinang itu melanggari slogan kebebasan bersuara yang sering dilaungkan pentadbiran kerajaan negeri dan perjuangan parti.

"Dalam hal ini, saya rasa sebenarnya PKR dan kerajaan negeri sengaja nak cari isu dengan saya. Bagaimanapun, tiada desakan secara langsung dikemukakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng ketika kami bertemu dalam satu program baru-baru ini.

"Mungkin desakannya itu hanya disalurkan kepada Majlis Pimpinan Negeri (MPN) kerana saya tahu beliau kurang gemar dengan saya selepas beberapa tindakan saya yang tidak menyebelahinya atau kerajaan negeri, sebelum ini," katanya.

No comments:

Post a Comment