1. Dalam kitab Al Ahkam Al Sultaniyyah Wa Al Wilayah Al Diniyyah karangan tokoh pemikiran politik Islam Abu Hassan Aliy bin Muhammad bin Habib Al Basri Al Baghdadi atau Imam Mawardi menyebut perihal perlantikan Ketua Negara dalam permulaan di bab pertama lagi.
2. Ini adalah kerana pemilihan Ketua Negara sangat signifikan dalam Islam demi menjaga maslahat agama dan kestabilan masyarakat dan negara.
3. Sehingga dalam riwayat menyebut ketika kewafatan Baginda Nabi saw, sebahagian besar para sahabat sanggup meninggalkan janazah Nabi saw untuk diuruskan oleh keluarga Baginda saw dan mereka bergegas menuju ke Thaqifah Bani Saadah bagi menyelesaikan urusan perlantikan Khalifah menggantikan Rasulullah saw.
4. Para ulamak berpendapat bahawa urusan melantik Ketua Negara hukumnya adalah wajib berdasarkan dalil syari'e.
5. Selain dinyatakan dalam kitab tersebut tentang kaedah perlantikan, antara lain menyebut berkenaan ciri-ciri atau kriteria seorang Ketua Negara (al Imam). Disenaraikan oleh Al Mawardi 7 kriteria Ketua Negara yang salah satu daripadanya adalah Al Nasab.
6. Dalam hal ini Imam Al Mawardi membawa hujah peristiwa Thaqifah Bani Saadah menerusi ucapan Saidina Abu Bakar As Siddiq yang menyebut hadis Nabi saw yang bermaksud "Khalifah hendaklah daripada kalangan Quraisy" iaitu Golongan Muhajirin.
7. Beliau memberikan alasan adalah kerana golongan Muhajirin merupakan golongan pertama memeluk Islam dan disamping adalah golongan yang paling berpengaruh di antara masyarakat Arab tanpa menafikan sumbangan bakti golongan Ansar yang mencalonkan Saad bin Ubadah yang asalnya daripada kalangan kaum Khazraj. Kerisauan Saidina Abu Bakar apabila Saad Bin Ubadah dilantik akan menyebabkan perpecahan umat Islam khasnya antara Golongan Ansar.
8. Sehinggalah Saidina Abu Bakar As Siddiq menyebut satu ungkapan bagi meredakan suasana pemilihan tersebut dengan katanya, "Kami adalah Umara' (Ketua) dan Kamu adalah Wuzara' (Menteri Pembantu)". Ungkapan ini diterima dengan berlapang dada oleh ketua Golongan Ansar Saad bin Ubadah lalu Saidina Umar ibn Khattab terus mengangkat tangan Saidina Abu Bakar dan membaiahnya sebagai Khalifah.
9. Adapun perihal Wuzara' (Menteri Pembantu), Imam Mawardi membahaskan perihal ini dalam bab kedua dalam kitabnya. Kedudukan Wuzara' dalam Islam juga tidak kurang pentingnya berdasarkan ayat Al Quran mengisahkan Nabi Musa dan Harun as. FirmanNya dalam surah Taha ayat 29-32.
وَاجْعَلْ لِي وَزِيرًا . مِنْ أَهْلِي
هَارُونَ أَخِي. اشْدُدْ بِهِ أَزْرِي
وَأَشْرِكْهُ فِي أَمْرِي
Maksudnya, "Dan jadikanlah untukku seorang menteri dari keluargaku, iaitu Harun. Teguhkanlah dengan dia kekuatanku.."
10. Imam Mawardi juga membahagikan wuzara' (Menteri Pembantu) kepada 2 iaitu Tafwidh dan Tanfiz serta meletakkan kriteria kedua-duanya agar jelas memperlihatkan fungsi dan kedudukan masing-masing dalam sistem pemerintahan.
11. Kriteria yang amat jelas berkenaan Wizarah Tafwidh ini ialah kriterianya hampir sama dan juga lebih ketat seperti perlantikan Al Imam (Ketua Negara) disebabkan keperluannya untuk berijtihad dan memerlukan keluasan ilmu yang tinggi sesuai dengan konteks kefahaman Islam. Berbeza dengan Wizarah Tanfiz (Menteri Perlaksana) , maka syarat lebih ringan kerana bidang tugasnya terbatas kepada keputusan yang dibuat oleh Ketua Negara dan pentadbirannya.
12. Imam Mawardi menyatakan bahawa Wizarah Tafwidh diisyaratkan mereka yang beragama Islam sahaja manakala Wizarah Tanfiz dibenarkan dari kalangan yang bukan beragama Islam.
13. Merujuk kepada realiti semasa di Malaysia khasnya dan seluruh negara umat Islam di serata dunia, dimana kedudukan masyarakat dalam sesebuah negara umat Islam sudah bersifat kepelbagaian kaum dan agama. Malah kedudukan polarisasi agama dan kaum sudah wujud sejak zaman pemerintahan Nabi saw di Madinah lagi.
14. Kedudukan Islam dalam fasal 3 perlembagaan di negara ini serta penghormatan hak masyarakat bukan Islam turut dinaratifkan menggambarkan bahawa sejak merdeka seluruh rakyat negara ini telah mengakui dan mengasimilasi realiti sebenar kedudukan Islam dan juga pemerintahan berasaskan Islam serta peranannya.
15. Iaitu negara Malaysia adalah sebuah negara yang majoriti penduduk asalnya adalah berbangsa Melayu beragama Islam dan Islam telah mendasari sistem kehidupan sejak zaman berzaman. Pada yang sama menerima dan menerima dan memberi hak kepada kaum dan agama lain untuk bebas beragama sebagaimana hak agama Islam yang diperkukuhkan sebagai dasar negara.
16. Maka, pandangan PAS menepati fiqh Islam apabila Tuan Guru Presiden mengemukakan luahan perihal perlantikan Ketua Negara mestilah dari kalangan yang beragama Islam. Ini termasuk berbangsa Melayu beragama Islam merujuk pandangan Imam Mawardi dalam menghujahkan peristiwa perlantikan Saidina Abu Bakar As Siddiq yang mengutamakan bangsa Quraisy sebagai Khalifah. Iaitu bangsa Arab yang paling "influan" dan berpengaruh pada masa itu.
17. Begitu juga pandangan Tuan Guru Presiden PAS dalam mengemukakan pandangan Islam dalam perlantikan Wuzara' menepati Fiqh Islami malah ianya merupakan idealisme yang lebih baik berbanding mana-mana idea parti politik. Apabila Tuan Guru Presiden menyatakan bahawa Islam bersedia untuk memberikan ruang kepada mereka yang berbeza ideologi Islam sekalipun untuk bersama dengan kerajaan pemerintahan Islam sebagai Wizarah (Menteri Pembantu) selama mereka menerima dasar Islam yang menepati fungsi kesyumulannya. Mana-mana kerajaan dan pemerintahan dalam dunia ini pun tidak mampu melakukannya dengan memberikan contoh sistem di Amerika dan negara Eropah.
18. Malang sekali media proksi politik menghalalkan cara, mereka sanggup memperbodohkan diri mereka dengan menipu fakta di siang hari di hadapan orang ramai sekaligus merendahkan maruah dan martabat kewartawanan serta ahli politik kononnya golongan cerdik pandai yang bakal mewarisi pemerintahan negara.
19. Kalau begini sikap mereka, tiada sebesar habuk pun mereka layak mendakwa diri mereka ahli politik yang bakal memimpin negara dan menentukan hala tuju rakyat dan negara ini. Mereka telah merosakkan sistem dan prinsip asas penyebaran maklumat dan berita serta memusnahkan kepercayaan rakyat terhadap mereka.
20. Rakyat negara ini wajib menolak golongan politik Machiavelli sebegini daripada menguasai sistem dalam negara kerana jiwa dan matlamat mereka sangat tersasar dan rakyat Malaysia usah dipertaruhkan demi cita-cita politik mereka.
21. PAS menyeru dan mengajak rakyat negara ini kembali kepada sistem negara berperlembagaan yang telah disepakati bersama sejak merdeka. Sistem yang meletakkan Islam sebagai dasar bernegara pada yang sama amat menghargai kaum dan agama lain untuk hidup aman dan harmoni.
Oleh : Muhammad Najhan Bin Halim
Penulis adalah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
No comments:
Post a Comment