ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MESYUARAT DEWAN TERTINGGI BN BINCANG PERSIAPAN PRU14

Friday 5 January 2018

MESYUARAT DEWAN TERTINGGI BN BINCANG PERSIAPAN PRU14


Persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan perjuangan menjuarai isu-isu rakyat antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) Rabu malam, kata pemimpin parti-parti komponen.

Bagaimanapun, mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyentuh soal agihan kerusi kepada setiap komponen parti dan senarai muktamad calon BN, menurut mereka.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata mesyuarat tersebut berjalan lancar namun segala perincian mengenai jumlah kerusi yang bakal diagihkan kepada komponen akan ditentukan kemudian.

"Tiada tarikh pilihan raya dibincangkan...secara umum mengenai persediaan (bagi pilihan raya). Nanti kita bincang lagi, kita ada masa lagi," kata Menteri Pertahanan tersebut.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata senarai calon bagi semua parti komponen telah diserahkan kepada Najib dan terpulang kepada beliau untuk memuktamadkannya.

Liow, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata parti komponen BN lebih bersatu dan bersedia dengan rapi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Teo Chee Kang berkata isu berkenaan rakyat dan pilihan raya dibangkitkan dan dibincangkan dalam suasana baik, harmoni dan secara konsensus.

Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Entulu Belaun pula berkata mesyuarat turut menekankan soal kebersamaan BN dalam menghadapi PRU14 termasuk persiapan yang perlu dibuat setiap parti komponen.

Senada dengannya, pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Maximus Ongkili berkata komponen parti bersepakat untuk bekerja kuat bagi memastikan kemenangan BN pada PRU14.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

No comments:

Post a Comment