"Barangsiapa yang merendahkan dirinya maka Allah سبحانه وتعالى akan mengangkat kedudukannya, darjatnya. Seseorang itu apabila dengan kemaafan maka Allah akan menambahkan kemuliaan dan dengan tawadhuk Allah سبحانه وتعالى akan mengangkat darjatnya."
"Ada orang mengatakan; "Saya tidak tawadhuk kerana nanti orang ingat saya mengaku kalah nanti orang ingat saya dhoif nanti orang ingat saya lemah."Tidak! Tidak! Logik akalnya itu bertentangan dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ."
"Semakin kita merendah diri, semakin kita merendah hati maka semakin Allah akan melihat dan mengangkat darjat dan kedudukan seseorang. Di dalam hadis yang mahsyur daripada Rasulullah ﷺ; "Barangsiapa yang tawadhuk kerana Allah سبحانه وتعالى maka Allah akan mengangkatnya, Allah akan meninggikannya."
"Salah satu definisi sifat tawadhuk adalah remukan hati, perasaan yang terdapat dalam diri manusia bahawa dirinya adalah orang yang paling hina. Dirinya adalah yang paling rendah. Dirinya yang paling bawah daripada sekalian makhluk Allah سبحانه وتعالى."
"Dia melihat bahawa tidak ada sesiapa yang lebih rendah daripada dirinya. Dia juga melihat sesiapa sahaja lebih mulia daripada dirinya. Dia melihat semua orang lebih mulia daripada dirinya. Sifat tawadhuk berhajat kepada perasaan memandang kepada semua orang bahawa semua orang adalah lebih tinggi kedudukan, lebih hebat ,lebih diredhai oleh Allah سبحانه وتعالى."
"Akan tetapi dalam masa yang sama dirinya juga berusaha untuk membaiki hatinya untuk mencapai darjat dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah سبحانه وتعالى. Barangsiapa yang merasakan dirinya telah sempurna maka dia akan berada dalam kejatuhan demi kejatuhan. Dia berada di dalam kemuncak kemunduran apabila dia merasakan dirinya berada di atas.
"Dia merasakan dirinya telah sempurna dan dia melihat orang lain semuanya kecil maka pendapat orang lain tidak lagi digunakan tapi dia merasakan pendapatnya adalah yang paling betul sekali. Dia merasakan kefahamannya adalah yang paling betul sekali dan dia melihat semua orang kecil dan kecil kerana sifat yang berlawanan yang berada di dalam dirinya iaitu sifat takabbur."
"Sifat takabbur adalah sifat iblis kerana takabbur itu iblis dilaknat oleh Allah سبحانه وتعالى sehingga dijatuhkan kedudukannya, diusir dan dikutuk oleh Allahسبحانه وتعالى sehingga dikeluarkan dengan penuh kehinaan. Demikian kehinaan sifat takabbur maka lawannya itu sifat tawadhuk."
"Sifat tawadhuk itu adalah sifat Rasulullah ﷺ dan ianya adalah sifat Para Nabi, Para Rasul, Kekasih-Kekasih Allah, orang-orang soleh yang mana setiap orang yang memakaikan dirinya dengan sifat tawadhuk maka dia akan memandang walaupun anjing kurap sekalipun tidak lebih rendah daripada dirinya."
"Dia merasakan dirinya yang lebih rendah. Demikian Ulama Tasawwuf mengatakan; "Barangsiapa yang memandang anjing kurap itu lebih hina daripada dirinya maka dia masih ads sifat takabbur dalam dirinya." Bermakna jika seseorang itu memandang dirinya lebih hebat, lebih mulia daripada anjing kurap maka masih ada sifat takabbur dalam dirinya."
"Maka hakikat sifat tawadhuk itu adalah tidak merasakan dirinya telah mencapai kepada sifat tawadhuk kerana tawadhuk itu adalah satu sifat yang sempurna, sifat yang mulia, sifat yang tinggi. Kita perlu berusaha untuk mendapatkan sifat tawadhuk tetapi bagaimana daya upaya kita untuk mencapai sifat tawadhuk sekali-kali tidak boleh seseorang itu mengaku mengatakan; "Saya sudah tawadhuk. Saya sudah merendah diri. Saya sudah mencapai sifat tawadhuk dalam diri."
"Kerana seseorang yang mengaku dalam dirinya sahaja; "Aku dah tawadhuk. Aku dah rendah diri. "Bermakna dia belum mencapai sifat dan hakikat kepada sifat tawadhuk itu kerana hakikat tawadhuk ini adalah dia tidak akan merasakan dirinya sudah mencapai kesempurnaan."
"Dia akan pergi dan pergi terus tenggelam di dalam kebesaran dan kehebatan Allah سبحانه وتعالى. Allah Yang Maha Tinggi. Allah Yang Maha Sempurna. Di dalam kalangan makhluk tiada siapa yang lebih sempurna melainkan kekasih-Nya, Baginda Rasulullah ﷺ."
اللَّهُمَّ صَل
ِّ وسَلِّم وبَارِك عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، الفاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ، والخاتِم لِمَا سَبَقَ، نَاصِرِ الحقِّ بَالحَقِّ، والهادي إلى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ، صلَّى اللهُ علَيهِ وعَلَى آلِهِ وصحبِهِ، حَقَّ قَدْرِهِ ومِقْدَارِهِ العَظِيم.
(Dipetik daripada facebook Ustaz Iqbal Zain)
No comments:
Post a Comment