ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: "PAKAR BEDAH LAKSANAKAN POTONG TANGAN"

Thursday 4 January 2018

"PAKAR BEDAH LAKSANAKAN POTONG TANGAN"


Kerajaan Kelantan akan menggunakan khidmat pakar bedah bagi hukuman potong tangan terhadap penjenayah yang disabitkan dengan kesalahan mencuri apabila hukum hudud dilaksanakan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata khidmat golongan terbabit mereka diperlukan dalam zaman moden ini tanpa menggunakan algojo bagi mengelak kerosakan terhadap anggota badan lain.

Beliau berkata, keadaan berbeza dengan zaman dulu apabila hukuman potong tangan dilakukan begitu saja hingga boleh menyebabkan kecederaan pada lengan.

"Ulama berpendapat, zaman moden ini perlu menggunakan khidmat pakar bedah supaya hukuman hanya membabitkan pergelangan tangan dipotong dan tidak mencederakan lengan.

"Kita mengenal pasti kaedah bersesuaian dan lebih praktikal kerana mereka tidak memerlukan kursus, cuma panduan dan penjelasan dari segi agama terutama mengenai paras tangan yang perlu dipotong," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat Khas Tahun Baharu 2018 dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Mohd Amar berkata, kerajaan negeri akan menjadikan pelaksanaan hudud di Qatar, Arab Saudi dan Acheh, Indonesia, sebagai contoh melaksanakan hukuman terbabit di Kelantan.

Beliau berkata, pelbagai maklumat diperoleh mengenai kebaikan dan sistem pelaksanaan hudud di negara terbabit yang dikatakan memberi kesan positif.

"Kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta setiap tahun selepas Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac 2015, bagi menjalankan seminar, bengkel dan lawatan ke negara terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohamad, berkata walaupun undang-undang terbabit diluluskan, bukan mudah membuktikan kesalahan sesuatu kes membabitkan hukum hudud kerana ada beberapa pengecualian dilakukan.

"Contohnya, nak sampai peringkat potong tangan ini bukan senang kerana satu kesalahan itu ada banyak pengecualian.

"Bukan semuanya dipotong tangan kerana mungkin pesalah dalam keadaan terdesak, kelaparan atau apa-apa masalah yang menyebabkan terpaksa mencuri," katanya.
Berita Harian

No comments:

Post a Comment