ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PM PAKATAN HARAPAN DIDAKWA AKAN JADI BONEKA DAP

Thursday 11 January 2018

PM PAKATAN HARAPAN DIDAKWA AKAN JADI BONEKA DAP


Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (kiri) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Pasir Raja hari ini. Turut hadir Ketua UMNO bahagian Dungun Datuk Din Adam (kanan)DUNGUN, 8 Jan (Bernama) -- Seorang anggota Majlis Tertinggi UMNO hari ini berkata sesiapa yang akan menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang hanya akan menjadi boneka DAP.

Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata situasi itu bakal terjadi berdasarkan agihan kerusi oleh Pakatan Harapan semalam.

Pengagihan kerusi kepada tiga lagi parti komponen Pakatan Harapan iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Keadilan Rakyat, (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) adalah di kawasan yang parti-parti itu akan kalah, katanya.

"Akhirnya nanti DAP yang akan jadi parti dominan dan jika Pakatan Harapan menang pilihan raya umum perdana menteri yang dilantik akan jadi boneka DAP dan mengikut sahaja polisi parti itu," kata Shamsul Anuar yang juga pengerusi Biro Kebajikan UMNO dan Anggota Parlimen Lenggong.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada kira-kira 100 mangsa banjir di Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor bersempena Program UMNO JOM BANTU RAKYAT 2.0 di sini. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Dungun Datuk Din Adam dan Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Besi Roslee Daud.

Pakatan Harapan semalam menamakan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri dan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14.

Ia turut mengumumkan pengagihan kerusi Parlimen akan ditandingi parti komponen iaitu PPBM (52), PKR (51) DAP (35) dan Amanah (27), keseluruhannya 165 kerusi di Semenanjung Malaysia.

Shamsul Anuar turut menarik perhatian bahawa Dr Mahathir dilaporkan hanya akan menjadi perdana menteri sementara sebelum Pakatan Harapan melantik Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik sahaja beliau dibebaskan daripada penjara.

"Bayangkan jika betul, tidakkah suami isteri akan jadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri."

"Ini bukan amalan dan tidak pernah berlaku dalam negara kita. Ini bukan main-main. Kita kena pilih pemimpin yang berwibawa, yang bertaraf antarabangsa. Sebab itu tawaran Pakatan Harapan itu sama sekali tidak boleh diterima oleh rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment