ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PPS DIMINTA PATUH ARAHAN KDN - POLIS

Wednesday 5 November 2014

PPS DIMINTA PATUH ARAHAN KDN - POLIS


GEORGE TOWN:Semua anggota pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) perlu mematuhi arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengisytiharkan pertubuhan itu menyalahi undang-undang

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, berikutan itu, polis meminta anggota PPS menyerahkan semua kelengkapan dan peralatan mereka seperti vest dan baju dengan logo PPS kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam kadar segera.

"Jika gagal berbuat demikian polis boleh ambil tindakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Bacaan Ikrar Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, Rabu.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff dalam kenyataan pada Selasa berkata, Menteri Dalam Negeri mengisytiharkan PPS Pulau Pinang sebagai sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966.

PPS yang ditubuhkan kerajaan negeri pimpinan DAP lima tahun lepas dilaporkan mempunyai 296 kumpulan yang beroperasi di bawah 40 kawasan dengan memperoleh sumber kewangan daripada kerajaan negeri.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, Pejabat Peguam Negara masih membuat penelitian berhubung kertas siasatan penahanan 157 anggota PPS Pulau Pinang pada 31 Ogos lepas.

"Kami masih menunggu arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya iaitu sama ada mendakwa mereka atau sebaliknya," katanya.

Pada 31 Ogos lepas, 155 anggota PPS, termasuk pengerusinya, Phee Boon Poh yang juga anggota Exco kerajaan negeri, ditahan kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan aktiviti selepas didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Delima RSN Rayer ditahan sehari selepas itu, manakala Timbalan Pengerusi PPS merangkap Anggota Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik ditahan pada 4 September.
mStar

No comments:

Post a Comment