ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: {UPDATE TERKINI} : JALAN UTAMA DI TERENGGANU DITUTUP AKIBAT BANJIR

Thursday, 20 November 2014

{UPDATE TERKINI} : JALAN UTAMA DI TERENGGANU DITUTUP AKIBAT BANJIR


KUALA TERENGGANU - Beberapa jalan utama sekitar tiga daerah di Terengganu mula ditutup kepada kenderaan setelah dinaiki air antara 0.3 hingga satu meter.

Jurucakap bilik gerakan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Terengganu berkata Kuala Terengganu adalah daerah yang terjejas teruk dengan lima laluan ditutup setakat pukul 3 petang ini.

Laluan tersebut ialah simpang tiga ke Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Sultan Zainal Abidin; Jalan Kubang Tangga; Jalan Bukit Berangan-Bukit Nenas; jalan utama berdekatan pasaraya Hock Kee Seng; dan laluan Gong Badak ke Tok Jembal.

"Jalan pantai dari Pak Tuyu ke Batu Rakit pula ditutup sejak awal pagi tadi setelah runtuh kerana saluran air bawah tanah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Di Marang, simpang susur masuk ke Lebuhraya Pantai Timur di Bukit Payong ditutup kepada semua kenderaan ringan setelah dinaiki air setinggi 0.4 meter.

Satu lagi jalan utama yang ditutup dekat Hulu Terengganu iaitu jalan Kuala Berang ke Sungai Tong berdekatan Kampung Kuala Ping yang dinaiki air setinggi 0.5 meter dan ditutup kepada semua kenderaan.

Sementara itu, Pengarah JKR negeri Terengganu Datuk Shafii Mohamad berkata pihaknya sentiasa memantau keadaan jalan utama di seluruh negeri dan akan membaiki segera kerosakan yang kritikal.

Beliau berkata JRR akan menampal segera permukaan jalan yang rosak, berlubang dan pecah akibat banjir bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Di jalan-jalan yang sudah ditutup pula, petugas JKR telah pun memasang papan tanda amaran sebagai langkah berjaga-jaga agar pengguna jalan raya tidak keliru dan mengikut arahan yang dikeluarkan untuk menggunakan jalan alternatif," katanya kepada pemberita.

Orang ramai juga disaran merancang perjalanan dan berhubung dengan bilik gerakan JKR negeri Terengganu di talian 09-6274277 untuk mengetahui perkembangan terkini kerana jalan yang ditutup akan dibuka semula kepada laluan sekiranya sudah selamat digunakan.

Sementara itu, penduduk di sekitar Kampung Batu Rakit di Kuala Nerus cemas setelah laluan jalan pantai ke kampung tersebut terputus sepanjang 10 meter kira-kira jam 4 pagi dipercayai akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu. 

Penolong Pengarah Jalan JKR negeri, Ir Zulamri Abu Bakar berkata buat masa ini laluan tersebut ditutup buat sementara waktu dan penduduk boleh menggunakan jalan alternatif untuk keluar masuk.

"Ini merupakan jalan sekunder dan penduduk boleh menggunakan laluan alternatif untuk melakukan kerja harian mereka dan kita akan memantau keadaan jalan ini kerana ia akan merebak lagi berdasarkan pemantauan awal yang dilakukan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Seorang penduduk Kampung Pantai Batu Rakit, Zamri Sulong, 30, berkata dia hanya menyedari jalan berkenaan runtuh kira-kira pada pukul 7 pagi.

"Saya agak terkejut apabila mendapati laluan ini runtuh dan ia juga membahayakan keselamatan penduduk. Kejadian ini sedikit menyukarkan penduduk kampung kerana ini memang laluan utama penduduk untuk menjalankan aktiviti harian," katanya kepada Bernama.

Mazlan Mustafa, 46, pula berkata kejadian ini kali pertama berlaku di laluan tersebut. 

"Sebelum ini, apabila musim banjir tidak pula jadi jalan runtuh dan kejadian ini menyebabkan bekalan air dan elektrik turut terputus bagi memastikan kerja-kerja pembaikan dapat dilakukan," katanya. - Bernama

Banjir Terengganu makin buruk, 4,813 dipindahkan

Anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) memindahkan penduduk Taman Murni Permai, Tok Jembal selepas kawasan itu dilanda banjir di Kuala Nerus, hari ini.  - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU - Banjir di Terengganu bertambah buruk malam ini apabila 4,813 orang dipindahkan berbanding 3,863 orang petang tadi.

Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Roslina Ngah dalam kenyataannya berkata sehingga 9 malam ini, dua lagi pusat pemindahan banjir dibuka masing-masing di daerah Setiu dan Besut menjadikan jumlah keseluruhan pusat pemindahan yang dibuka kini ialah 38 buah.

"Di daerah Setiu, pusat pemindahan yang baru dibuka ialah Balai Raya Kampung Jelapang yang menempatkan 16 mangsa dari lima keluarga.

"Di Besut pula, pusat pemindahan yang baru dibuka ialah Surau Kampung Pengkalan Kubur yang melibatkan 43 mangsa dari 14 keluarga," katanya. 

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat banjir di negeri ini dengan menghubungi bilik gerakan bencana negeri di talian 09-6316021 atau melayari laman web etindakan.terengganu.gov.my. - Bernama

No comments:

Post a Comment