ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PERBAHASAN UCAPAN DASAR PRESIDEN BERSAMBUNG HARI INI

Friday 28 November 2014

PERBAHASAN UCAPAN DASAR PRESIDEN BERSAMBUNG HARI INI


KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO 2014, yang memasuki hari kedua hari ini, bersambung dengan perbahasan usul Ucapan Dasar Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini.

Lapan perwakilan termasuk wakil mahasiswa tempatan dijadual membahaskan usul dalam perbahasan yang bermula jam 8.30 pagi.

Perhimpunan agung, ditangguhkan untuk makan tengah hari dan solat Jumaat, sebelum perbahasan diteruskan dengan usul ekonomi dibentangkan oleh perwakilan Johor, Datuk Dr Adham Baba, yang juga Ketua Bahagian Tenggara.

Wakil Pergerakan Puteri UMNO, Nor Hazreena Mohamad Hashim daripada UMNO Bahagian Batu sebagai penyokong bagi usul berkenaan.

Lima belas perwakilan akan membahaskan usul ekonomi.

Usul agama dan pendidikan pula dibentangkan selepas itu dan dibahaskan 15 perwakilan.

Sejumlah 2,752 perwakilan menghadiri perhimpunan parti Melayu terbesar yang berlangsung selama tiga hari sehingga Sabtu.

Peremajaan Umno perlu 'zuriat' berkualiti - Perwakilan

Proses peremajaan parti memerlukan pemimpin pelapis yang berani, tidak cepat melatah, bersifat terbuka dan sentiasa ingin belajar untuk menambah pengetahuan selok-belok politik.

Wakil Umno Pahang Mohd Shahrir@Shaharir Abdullah berkata golongan pelapis perlu mempunyai ciri-ciri berkenaan kerana mereka akan menghadapi suasana politik negara yang semakin mencabar.

"Anak-anak muda belum pernah merasai pahit getir perjuangan dan 'sepak terajang' politik. Mereka ini perlu dibimbing melalui proses pembelajaran berterusan.

"Jangan cepat melatah, jangan jadi pengecut. Politik ini ada seni yang perlu dan sentiasa dipelajari dari semasa ke semasa," katanya ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Beliau berkata agenda peremajaan parti bukanlah sekadar bermaksud menukar atau mengganti kepimpinan sedia ada secara keseluruhannya sebaliknya dilakukan bagi mengembalikan maruah serta menjamin kelangsungan perjuangan parti pada masa depan.

"Anak-anak muda perlu tunjuk semangat tinggi. Kita nak tengok pemimpin pelapis yang dinamik, berkarisma serta lantang bersuara dan berjuang dalam satu saf bersama 'orang lama'," katanya.

UMNO Perlu Lebih Berhati-Hati Bagi Pastikan Kelangsungan Perjuangan Parti - Perwakilan

UMNO perlu tegas dan lebih berhati-hati apabila menerima isyarat daripada pihak luar bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti terus terpelihara dan kekal relevan pada masa hadapan.

Peringatan itu disampaikan oleh wakil Perak, Datuk Mohd Radzi Manan supaya UMNO tidak lari daripada dasar perjuangannya iaitu untuk membela nasib kaum Melayu.

"Kita kena kenal pasti signal yang diterima... pastikan kita dapat signal yang betul dan baca signal ini dengan nada yang serius bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti tidak dipengaruhi oleh pihak luar," katanya ketika membahaskan ucapan presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kampar menegaskan UMNO perlu mengenal pasti pemimpin yang berkelayakan untuk terus memimpin parti terbesar kaum Melayu itu dan tidak hanya mendengar pandangan segelintir pihak ketika sesi pemilihan.

"Kenal pasti individu yang perjuangkan hak kaum Melayu, jangan kita tunduk pada kaum-kaum lain jika mahu UMNO terus gah dilihat sebagai pembela nasib Melayu," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru parti supaya membuat keputusan berdasarkan musyawarah parti dan tidak membelakangkan kesengsaraan golongan pertengahan dan bawahan.

"Contohnya isu harga minyak naik... minyak naik sehari sebelum Hari Raya Haji, inilah yang kita katakan 'timing failed'. Sepatutnya kerajaan lebih prihatin... jangan dengar nasihat yang salah," tegasnya.

Bercakap mengenai peremajaan parti, Mohd Radzi berkata, Ketua Pemuda dan Puteri harus diberi peluang dalam pentadbiran kerajaan.

"Tukarkan jawatan Ketua Puteri, beri mereka jawatan. Jangan hanya sekadar mencari Ahli Parlimen... Kalau kita tak bagi mereka kenderaan macam mana mereka nak berjalan? Lepas tu mulalah bersuara kata puteri ni tak bergerak, tak berjalan.

"Saya juga seru Pusat buat tindakan positif, tindakan yang lebih berkesan... bukan hanya bercakap dan berjalan tetapi tengoklah yang berada di bawah... kalau kita nak betulkan UMNO, kita kena betulkan dari atas," katanya.

Dalam pada itu, bagi memastikan proses peremajaan parti dapat dilakukan dengan kadar segera, beliau meminta supaya pemuda dan puteri di dalam UMNO supaya bangun dari tidur dan menunjukkan taring mereka sebagai seorang pemimpin.

"Saya minta orang muda bangun tunjuk kewibawaan mereka dahulu... apa yang mereka boleh buat. Buktikan kepada pucuk pimpinan," katanya.

No comments:

Post a Comment