ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SHABERY CHEEK BIDAS ANGGOTA PARLIMEN DAP TIDAK FAHAM ISU KENEGARAAN

Wednesday 19 November 2014

SHABERY CHEEK BIDAS ANGGOTA PARLIMEN DAP TIDAK FAHAM ISU KENEGARAAN



KUALA LUMPUR,-- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada Rabu menegur seorang Anggota Parlimen pembangkang kerana kecetekan pemahamannya terhadap pengetahuan kenegaraan dan isu-isu semasa.

Semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini, beliau membetulkan kenyataan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) ketika mengemukakan soalan tambahan yang meminta kerajaan memberi penekanan terhadap Hari Kebangsaan yang disambut pada 16 Sept.

"Saya rasa Yang Berhormat tidak faham apa itu Hari Merdeka dan Hari Kebangsaan. Saya rasa sedih. Kita ada sambutan Hari Merdeka dan sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept.

"Sehingga sekarang, ada Yang Berhormat yang masih keliru mana Hari Merdeka, mana Hari Malaysia. Itu menggambarkan pandangan dan sikap ahli-ahli yang berhormat dari parti Yang Berhormat," katanya.

Selepas itu, Lim mengajukan soalan tambahan kepada Ahmad Shabery bertanya sama ada cukai barang dan perkhidmatan (CBP) akan dikenakan ke atas sambutan Hari Merdeka tahun depan.

Soalan itu sekali lagi menerima teguran Ahmad Shabery yang menyoal Lim bagaimana hendak menuntut bayaran CBP daripada orang awam yang mahu menyertai sambutan Hari Merdeka di Dataran Merdeka.

"Saya rasa Yang Berhormat dalam keadaan ketidakfahaman yang sangat serius tentang soal CBP dan kenegaraan," kata Ahmad Shabery yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57.

Dalam jawapannya kepada soalan asal Lim, Ahmad Shabery berkata kos sambutan Hari Merdeka pada 2010 ialah sebanyak RM13.9 juta, 2011 (RM14.1 juta), 2012 dan 2013 (RM20 juta) dan 2014 (RM17 juta).

Katanya seramai 400,000 hingga 500,000 orang awam menyertai acara-acara yang diadakan sepanjang sambutan tahun ini manakala keseluruhan jumlah tajaan daripada sektor swasta ialah RM10 juta.

Beliau juga menyangkal dakwaan Lim kononnya kos lebih rendah bagi sambutan tahun ini iaitu sebanyak RM17 juta kerana kerajaan mahu 'tone down' (mengurangkan) sambutan berikutan dua insiden pesawat Malaysia Airlines pada Mac dan Julai lepas.

Ahmad Shabery menjelaskan peruntukan bagi sambutan Hari Merdeka tahun ini telah ditetapkan pada tahun lepas, tanpa mengetahui akan berlakunya insiden kehilangan penerbangan MH370 dan nahas penerbangan MH17.

Menurutnya kemeriahan sambutan boleh dibuat tanpa melibatkan kos tambahan daripada kerajaan, misalnya melalui sumbangan dan sokongan sektor swasta.

Katanya ini termasuk inisiatif pengusaha panggung swasta sejak tahun lepas untuk memainkan lagu Negaraku di pawagam sepanjang tempoh sambutan itu.

"Saya dapati ramai yang sokong perkara ini. Tetapi ia dikritik oleh Yang Berhormat DAP dari Kuching (Chong Chieng Jen)," katanya merujuk kepada kenyataan Chong dalam Twitter beliau pada 16 Sept lepas yang mengkritik inisiatif itu sebagai "absolute disgrace and ridiculous" (penghinaan dan tidak masuk akal).

Ahmad Shabery berkata kerajaan juga mengamalkan pembelanjaan berhemah dalam menyambut hari-hari penting patriotik negara.

Beliau juga memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan mengekalkan tradisi sambutan untuk beberapa acara-acara utama Hari Merdeka.

"Misalnya, perarakan di Dataran Merdeka kerana ada sejarahnya. Dataran Merdeka bukan untuk kita membuat demo-demo (demonstrasi) yang tak sepatutnya tetapi itu tempat yang mulia untuk sambutan kemerdekaan. Itu antara perkara yang ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment