ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MB TERENGGANU NAFI PEMBABITAN CAA RESOURCES DALAM PERLOMBONGAN DI BUKIT BESI

Monday 24 November 2014

MB TERENGGANU NAFI PEMBABITAN CAA RESOURCES DALAM PERLOMBONGAN DI BUKIT BESI


KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini menafikan pembabitan syarikat CAA Resources dalam aktiviti perlombongan bijih besi di Bukit Besi, Dungun.

Katanya dakwaan yang menyatakan syarikat CAA Resources kononnya membuka semula lombong bijih besi awal tahun ini dan mengeluarkan bijih sebanyak 500,000 tan setahun itu adalah tidak benar sama sekali.

Ahmad Razif menegaskan kerajaan negeri Terengganu tidak pernah meluluskan kawasan lombong kepada syarikat itu dan hasil carian rekod daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati syarikat itu tidak diperbadankan di negara ini.


"Syarikat itu juga tidak pernah berurusan dengan mana-mana jabatan kerajaan terutama Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) atau Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri (LTAW) yang diamanahkan untuk mengawal tanah lombong di Bukit Besi.

"Dakwaan kononnya tiada kajian penilaian impak alam sekitar (EIA) dilakukan juga adalah tidak benar, kerana untuk sesebuah syarikat mendapat pajakan lombong, terdapat 38 perkara yang perlu dipatuhi mengikut Enakmen Mineral Terengganu 2002 melibatkan enam jabatan kerajaan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Enam jabatan itu ialah Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Perhutanan negeri, Jabatan Bekalan Air dan PTG.

Sidang media khas itu diadakan berikutan satu artikel yang dikeluarkan sebuah akhbar luar negara pada Jumaat lalu bertajuk 'Chinese Interests Look toMalaysia For Cheap Iron Ore, And Profits'.

Turut hadir ialah Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Azhar Abdul Hamiddan Pengarah PTG negeri, Mohamad Nor Ibrahim.

Ahmad Razif berkata kandungan artikel itu kemudian diterjemah ke dalam Bahasa Melayu dan disiarkan dalam beberapa blog serta media sosial dengan analisis berunsur fitnah dan beliau meminta semua pihak supaya berhenti menyebarkan perkara itu.

"Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebarkannya," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata mengikut rekod PTG, sebanyak 571,282.35 tan bijih besi telah dikeluarkan sepanjang tahun lalu oleh enam syarikat manakala sepanjang tahun ini pula, hanya 327,724.16 tan bijih besi dikeluarkanoleh lima syarikat.

Kerajaan negeri tegasnya memperoleh sebanyak RM1,6 juta iaitu lima peratus royalti hasil pengeluaran bijih besi dari Ogos tahun lalu hingga sekarang manakala melalui LTAW pula, setiap satu tan yang dikeluarkan akan dikenakan cajsebanyak RM30.

"Dasar kerajaan negeri sebelum ini membenarkan syarikat lombong untuk mengeksport keluar bahan mentah, namun berkuat kuasa April lalu, satu dasar baharu diperkenalkan iaitu mana-mana syarikat yang mahu melombong bijih di Terengganu perlu memprosesnya di negeri ini sahaja.

"Setakat ini Perwaja Steel Sdn Bhd sudah mempunyai kilang sendiri manakala sebuah lagi kilang milik Eastern Steel Sdn Bhd (di Kemaman) kini dalam pembinaan dan siap 80 peratus," katanya.

Ketika ini, sebanyak tujuh kawasan lombong seluas 871 hektar dibuka di Bukit Besi.
BERNAMA

No comments:

Post a Comment