ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: DISEMBER INI STATUS HUDUD KELANTAN

Friday 28 November 2014

DISEMBER INI STATUS HUDUD KELANTAN


KOTA BHARU - Perlaksanaan hukuman hudud di Kelantan memasuki fasa terakhir apabila Jawatankuasa Teknikal Pusat akan mengadakan mesyuarat Disember ini untuk merumus dan mencadangkan kepada kerajaan negeri serta pusat bagi memastikan ia dapat direalisasikan tahun depan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, mesyuarat kali ketiga itu juga turut memutuskan keperluan untuk meminda Akta 355 atau Perkara 76 (A) yang memerlukan satu rang undang-undang persendirian dibawa ke parlimen.

“Jika ia melibatkan Akta 355, kerajaan pusat yang akan melaksanakannya, saya dimaklumkan draf sudah sedia dan  sedang mencari masa yang sesuai (untuk dibentangkan) .

 “Sama ada perlaksanaan hukuman pada 2015 ini berlangsung penuh atau sebahagian bergantung kepada cadangan  jawatankuasa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Derma Beras, anjuran Rakan FB Kelantan di KB Mall semalam. Hadir sama, Pengerusi Rakan FB Kelantan, Lau Chit Fang.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Negeri berkata, di peringkat negeri, pihaknya sudah bersedia  dan mengadakan mesyuarat terakhir pada 24 November lalu yang  membuat rumusan untuk dibawa ke peringkat jawatankuasa pusat.

“Kita sudah adakan muzakarah melibatkan mufti, hakim syarie dan pakar perubatan. Rumusan akan dibentangkan dalam mesyuarat teknikal, bagaimanapun saya tidak boleh dedahkan rumusan itu tetapi kita sudah bersedia, malah pakar perubatan juga bagi pandangan yang baik.

“Kita mahu keputusan yang sama dengan pusat, mesti serentak. Biar mereka buat keputusan, ia bukan  keputusan politik, ini berdasarkan peraturan dan undang undang serta akademik,” katanya.

Beliau turut menegaskan melalui penubuhan Jawatankuasa Teknikal Pusat, kerajaan persekutuan memainkan peranan bagi memastikan perlaksanaan hudud berjalan lancar.

“Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal  Pusat  ini sudah memasuki mesyuarat ketiga. Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah membawa rombongan ke Acheh dan Brunei  untuk melihat perlaksanaan hudud di negara tersebut, ini menunjukkan kita berada di atas landasan yang betul,” katanya.

No comments:

Post a Comment