ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KENAPA HARGA MINYAK JATUH MENDADAK ???

Sunday 30 November 2014

KENAPA HARGA MINYAK JATUH MENDADAK ???


KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah dunia jatuh sehingga di bawah AS$70 setong - kejatuhan harga yang cukup dramatik sejak ia berada pada paras lebih AS$100 setong pada Jun.

Apakah faktor penyebab kejatuhan harga yang begitu mendadak ini?

Akhbar The Washington Post dalam satu analisisnya menyifatkan kejatuhan harga minyak mentah ini sebagai "berita ekonomi penting pada 2014".

Ia kemudian menyenaraikan sebab-sebab berikut yang mempengaruhi pergerakan harga komoditi berkenaan:


1. OPEC tidak buat apa-apa

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dalam mesyuaratnya pada Khamis memutuskan untuk tidak mengurangkan pengeluaran minyak.

Mesyuarat itu menjadi perhatian kerana ia adalah pertemuan yang dibuat ketika dunia mahu tahu langkah yang akan diambil oleh OPEC untuk menghentikan kejatuhan harga itu.

"Ia (OPEC) tidak berbuat apa-apa -- dan harga minyak mentah menjunam serta-merta," kata akhbar itu.

Ia kemudian menyenaraikan tiga faktor lain kenapa trend kejatuhan itu berterusan.


2. Pengeluaran minyak Amerika Syarikat dan dunia meningkat.

Biarpun OPEC mengawal pengeluaran minyaknya, pengeluaran oleh negara-negara lain meningkat.

Amerika Syarikat sendiri menyaksikan peningkatan pengeluaran minyaknya. Data yang dikeluarkan oleh Pentabdiran Maklumat Tenaga menunjukkan peningkatan hampir dua kali ganda tong minyak mentah dalam masa sehari dikeluarkan di Amerika Syarikat berbanding pada 2005.

The Washington Post juga mencatatkan bahawa Kanada turut meningkatkan pengeluaran minyaknya daripada hanya lebih kurang 3,300 tong sehari pada 2009 kepada lebih 4,000 pada tahun lalu.

Rusia juga meningkatkan pengeluarannya daripada 9,900 tong sehari pada 2009 kepada 10,500 tong dalam tempoh yang sama.

Sementara itu, Libya kembali mengeluarkan minyak selepas operasi terhenti pada 2011 kerana krisis perang saudara.

"Ringkasnya, ada lebih banyak minyak di luar sana untuk dibeli, yang memberikan kesan boleh jangka kepada harga iaitu menurun," kata analisis akhbar itu.


3. Permintaan yang menurun di Jepun dan Eropah

Menurut The Washington lagi, biarpun Amerika Syarikat sudah mulai pulih daripada kemerosotan ekonomi yang dialaminya beberapa tahun lalu, banyak negara lain belum berjaya keluar daripada krisis yang sama.

"Mereka sedang bergelut dan itu mengurangkan permintaan terhadap minyak," kata akhbar itu.

Ia menyebut bagaimana di Eropah, purata penggunaan petroleum sehari pada 2010 dan 2011 ialah lebih daripada 14,000 tong.

Jumlah itu menurun kepada 13,000 setong sehari pada suku pertama tahun ini dan hampir sama pada suku kedua.

Pentadbiran Maklumat Tenaga juga mengatakan permintaan di Jepun juga sedang menurun.


4. Kecenderungan mengeluarkan kenderaan cekap tenaga

Ini satu lagi faktor yang dikemukakan oleh The Washington Post - kenderaan cekap tenaga yang mengurangkan penggunaan minyak.

Purata kecekapan minyak sebuah kenderaan ringan yang baharu di Amerika Syarikat pada 2013 ialah 58 kilometer bagi setiap gelen. Pada tahun 1980-an, jumlah yang sama hanya boleh digunakan untuk perjalanan sejauh hampir 40 kilometer.

"Jadi kesimpulannya, trend harga minyak ini pada dasarnya disebabkan oleh faktor ekonomi yang paling asas: penawaran dan permintaan," kata The Washington Post.
Astro Awani 

No comments:

Post a Comment