ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: #PAU2014 PATFORM SIGNIFIKAN MASA DEPAN NEGARA - @Najib Razak

Friday, 28 November 2014

#PAU2014 PATFORM SIGNIFIKAN MASA DEPAN NEGARA - @Najib Razak


KUALA LUMPUR 28 Nov - Perhimpunan Agung UMNO akan terus menjadi platform yang sangat signifikan untuk hala tuju masa depan negara ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengisian dalam perhimpunan itu bukan sahaja penting untuk ahli UMNO, malah kepada orang Melayu, Bumiputera dan negara keseluruhannya.

"Oleh itu liputan media massa, analisis media massa dan apa juga tafsiran dalam perhimpunan ini adalah penting kepada pemikiran rakyat untuk memahami apa sebenarnya hasrat UMNO," kata Presiden UMNO itu ketika ditemu bual Astro Awani semasa melawat petugas media yang membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO 2014.

Sebanyak 1,452 petugas media dari 106 akhbar dan agensi berita dalam dan luar negara membuat liputan sepanjang perjalanan perhimpunan itu.

Semalam, ketika menyampaikan ucapan dasar presiden yang turut disiarkan di beberapa saluran televisyen tempatan, Najib turut mengumumkan bahawa Akta Hasutan 1948 dikekalkan dengan cadangan pindaan memasukkan dua peruntukan khas bagi melindungi kesucian agama Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.

Majlis perasmian perhimpunan itu semalam turut dihadiri dua bekas perdana menteri - Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Kabinet serta diplomat luar negara.

Dalam kunjungan ke pusat operasi Radio Televisyen Malaysia (RTM), Najib yang disambut Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia. Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, melahirkan rasa puas hati dengan liputan yang diberikan media massa sepanjang perhimpunan diadakan.

"Liputan kali ini lebih meluas lagi dan dapat memberi perspektif yang lebih tepat sebab media sekarang diberi kemudahan dan aplikasi teknologi terkini. Jadi kemampuan media untuk membuat laporan yang lebih tepat dan pantas nampaknya lebih menyerlah lagi kali ini.

"Saya percaya dengan penggunaan teknologi yang lebih canggih lagi pada masa akan datang, tentu sekali liputan kita akan bertambah baik dan pantas," katanya dalam temu bual bersama RTM.

Najib juga sempat meluangkan masa bertemu semua pengamal media dan dalam kunjungan ke pusat operasi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), beliau disambut Pengerusi BERNAMA, Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Dalam Negeri), Datuk Zakaria Abd Wahab.

Kesempatan Perdana Menteri itu mengunjungi laman media dimanfaat sepenuhnya petugas media yang mengambil kesempatan bergambar selfie merakamkan detik ceria bersama Najib.

Sebelum itu, Najib sempat menggunakan mesin pengimbas identiti yang terletak di pintu masuk Laman Media.

Beliau juga sempat bergurau dengan petugas media dengan mengambil sendiri gambar petugas akhbar The Star menggunakan kamera refleks lensa tunggal digital (DSLR) milik jurukamera akhbar itu selain mencuba jeruk mempelam kepunyaan seorang petugas.

Terdahulu, Najib melancarkan penubuhan Sekretariat Mahasiswi Nasional (Swinas), sebuah kelab di bawah Pergerakan Puteri UMNO yang bertujuan untuk melahirkan pemimpin muda wanita di kalangan mahasiswi.

Beliau kemudiannya melancarkan buku bertajuk 'Politik Islam dan Melayu' hasil karya Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Buku setebal 310 muka surat itu menghimpunkan tulisan Asyraf Wajdi dalam media massa perdana yang membincangkan isu berkaitan isu penyatuan dan perpaduan politik Melayu, konsep Wasatiyyah dan Maqasid Syariah (objektif undang-undang Islam).

No comments:

Post a Comment