ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: FENOMENA KERANG SERAH DIRI DI PANTAI MARANG TERENGGANU

Saturday, 22 November 2014

FENOMENA KERANG SERAH DIRI DI PANTAI MARANG TERENGGANU





MARANG - Ribuan kerang ditemui terdampar di sepanjang Pantai Rusila hingga Rhu Dua termasuk Pantai Pulau Kekabu, di sini, selepas solat Jumaat, semalam, menyebabkan orang ramai memenuhi kawasan pantai untuk mengutipnya.

Penduduk menyifatkan ribuan kerang yang terdampar di atas pantai itu dipercayai kesan selepas berakhirnya hujan lebat dan ribut melanda negeri Terengganu sejak beberapa hari lalu.

Penduduk juga mengandaikan, hidupan yang biasanya terdapat di muara sungai dan laut cetek itu seolah-olah dipaksa keluar oleh gumpalan air laut selepas dibawa arus sebelum terdampar di kawasan pantai dua kampung berkenaan.  

Mohd Naziruddin Mohd Zaid, 21, berkata, besar kemungkinan ia disebabkan ribut yang melanda Terengganu sejak beberapa hari lalu sebelum cuaca bertukar cerah awal pagi semalam.

“Kami sedar perkara ini pernah berlaku di Lumut dan Lahat Datu sebelum ini, namun agak mengejutkan apabila ia berlaku di hadapan mata kami sendiri malah kali pertama berlaku di Marang dan Terengganu,” katanya.

Mungkin dibawa arus

Mohd Naziruddin berkata, dia percaya kejadian itu berlaku pada musim tengkujuh apabila laut bergelora dan paras air sungai naik mendadak, sekali gus menyebabkan hidupan yang tinggal di kawasan air cetek keluar serta terdampar dibawa arus ke pantai itu.

Bagaimanapun katanya, punca sebenar kerang memenuhi kawasan pantai tetap menjadi misteri, namun kejadian itu tidak dilepaskan penduduk yang keluar beramai-ramai untuk mengutip kerang sehingga tengah malam.  

Bagi Mohamad Amir Hamzah, 46, ribuan kerang terdampar itu boleh dikaitkan dengan masalah kekurangan air masin di muara sungai menyebabkan hidupan itu menuju ke arah laut.

“Akibat arus kuat dari muara sungai ke laut, ribuan kerang ini terdedah kepada ombak dan akhirnya dihanyutkan ke pantai semula.

"Hari ini (semalam) kawasan pantai sudah macam pesta apabila berita mengenainya tersebar begitu cepat,” katanya.

Bagaikan pesta

Tinjauan Sinar Harian mendapati, orang ramai yang datang membawa pelbagai peralatan untuk mengambil kerang berkenaan dan dalam masa 15 minit sahaja, satu baldi penuh kerang dapat dikumpulkan.

Walaupun ia dilihat sebagai aktiviti pantai yang menyeronokkan termasuk ketika melihat orang ramai bersama keluarga masing-masing berkumpul mengutip kerang yang berlabuh di dasar dan permukaan pantai, namun keselamatan perlu diutamakan.

Dalam waktu sama, ibu bapa diingatkan agar tidak leka mengawasi keselamatan anak-anak yang bermain sekitar pantai dan jalan utama memandangkan keadaan ombak kuat dan banyak kenderaan di jalan utama.

Pihak berkuasa juga wajar mengawal orang ramai dan menguatkuasakan larangan meletakkan kenderaan secara berlapis di laluan utama di  Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan, di sepanjang Kampung Rusila menuju ke Kampung Rhu Dua, di sini.

Manakala pegawai dari Jabatan Perikanan perlu turun padang menyiasat fenomena tersebut termasuk mengenal pasti sifat kerang dan menghantar sampel air untuk pemeriksaan makmal dan ujian toksin bagi memastikan hidupan laut itu selamat untuk dimakan atau sebaliknya.

SH

No comments:

Post a Comment