ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KES UGUT SEBAR GAMBAR, VIDEO BOGEL DALAM TALIAN TERUS MENINGKAT !!!

Saturday 22 November 2014

KES UGUT SEBAR GAMBAR, VIDEO BOGEL DALAM TALIAN TERUS MENINGKAT !!!


Rakyat Malaysia terus menjadi mangsa ugutan siber, dengan beberapa orang mangsa menerima ugutan penyebaran gambar atau video bogel dalam talian jika mereka tidak membayar sejumlah wang yang adakalanya boleh mencecah sehingga AS$5,000 (RM16,812).

Selain penipuan biasa melalui Skype, virus 'Trojan Horse' kini digunakan bagi memperoleh kawalan jauh komputer atau webcam, dengan tujuan merakamkan gambar atau gerak-geri mangsa dalam keadaan bogel.

Menurut siasatan polis bahagian siber dan multimedia, kes seperti ini kini menunjukkan angka ratusan.

"Sudah pasti ada peningkatan dalam kes-kes seperti itu," kata Inspektor Mohd Riduan Abd Majid.

Beliau berkata polis tidak mempunyai statistik memandangkan ramai mangsa tidak tampil kerana malu dan peningkatan berlaku kerana sindiket di sebalik jenayah itu telah memahami keadaan ini.

"Sekarang, mereka menyemak profil sebelum menjadikan seseorang itu sebagai sasaran.

"Jika anda mempunyai banyak maklumat di laman media sosial, seperti di mana anda bekerja, senarai rakan atau nama sebenar, adalah lebih mudah untuk mereka menakut-nakutkan anda.

"Kami percaya sindiket ini adalah dari luar Malaysia, khususnya Filipina," katanya.

Nasihat beliau kepada mangsa supaya jangan sesekali tunduk terhadap permintaan wang daripada mereka.

"Jika anda melakukannya, mereka akan terus meminta wang anda."

Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong yang telah pun berdepan dengan 10 kes seperti ini tahun ini turut menggesa mangsa supaya tidak membuat sebarang bayaran.

"Dalam satu kes pada tahun lalu, seorang wanita membayar lebih RM100,000 wang ugutan dan mereka masih mengganggunya," katanya sambil menambah ramai pengadu adalah lelaki, manakala wanita mempunyai 'masa yang sukar untuk pulih'.

Seorang penggodam, yang berdepan dengan tujuh kes sejak tiga minggu lalu berkata dua penipuan yang paling biasa ialah kaedah Skype dan 'Trojan Horse'.

Dalam kaedah Skype, seorang gadis cantik akan menggoda seorang lelaki dalam perbualan video sebelum meyakinkannya untuk berbual dalam keadaan bogel.

"Apa yang tidak disedari lelaki itu, gadis yang tertera hanyalah satu rakaman video dan dia sebenarnya sedang menjalani penggambaran untuk dirinya sendiri.

"Sebaik sahaja selesai melakukannya, dia akan menerima mesej ugutan," kata penggodam itu yang enggan namanya disiarkan.

Kaedah lain adalah lebih berbahaya, di mana virus 'Trojan Horse' digunakan untuk menjangkiti komputer dengan alat kawalan jauh pentadbiran (RAT) membolehkan mereka mengawal komputer dari mana-mana sahaja lokasi di seluruh dunia.

"Trojan Horse memberikan akses penuh kepada segala-galanya, termasuk kata laluan, webcam dan pada dasarnya, status pentadbir.

"Pelakunya kemudian memantau webcam sehingga anda terperangkap dalam keadaan bogel, mengumpul seberapa banyak gambar yang boleh sebelum memeras ugut," katanya.

Penjenayah juga boleh masuk ke fail peribadi untuk mencari gambar-gambar lucah, menurut penggodam, dengan memetik satu kes di mana webcam seorang gadis rosak yang tidak boleh digunakan lagi.

"Apa yang penjenayah lakukan adalah melihat fail di mana mereka menemui satu video bogel untuk teman lelakinya dan ia digunakan untuk mengugut."

Penggodam tersebut berkata ketika lelaki-lelaki cenderung untuk 'mudah percaya' dengan wanita yang mendakwa mahukan sesi Skype dalam keadaan bogel dengan mereka, mangsa wanita pula lebih cenderung untuk klik dan melayari laman-laman web yang mencurigakan.

Pengerusi SKMM Datuk Mohamed Shahril Mohamed Tarmizi menggesa orang ramai supaya berhati-hati, meminta mereka menggunakan webcam hanya apabila mereka mahu menggunakannya.

No comments:

Post a Comment