ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: GADIS SABAH NYARIS JADI MANGSA ‘LOVE SCAM’

Tuesday, 18 November 2014

GADIS SABAH NYARIS JADI MANGSA ‘LOVE SCAM’


Kuala Lumpur – Seorang wanita dari Sabah nyaris menjadi mangsa penipuan cinta Afrika apabila dijanjikan kiriman bungkusan mengandungi wang bersama sejambak bunga melalui kurier.
Difahamkan kiriman jambangan bunga kononnya dihantar melalui kiriman kurier dari Australia itu, dijadikan taktik sindiket berkenaan memperdaya wanita tempatan.
Sumber polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) memberitahu, mangsa yang berusia 40-an mula menjalin hubungan cinta dengan lelaki warga Australia itu sejak beberapa bulan lalu melalui internet.
Bagaimanapun mangsa yang curiga dengan lelaki berkenaan, terselamat dari ditipu apabila pergi sendiri ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyiasat sama ada bungkusan hadiah itu benar-benar wujud.
Menurutnya, lelaki ‘mat salleh’ terbabit mendakwa dirinya duda dan mempunyai dua anak.
“Dia mendakwa dirinya sebagai ahli perniagaan berjaya dan berhasrat menjalin hubungan seks dengan mangsa yang tinggal di Sabah.
“Wanita tempatan itu yang yakin terhadap kewujudan lelaki terbabit dikatakan meneruskan hubungan cintanya tanpa menyedari dia hampir terjebak di dalam penipuan licik itu,” katanya.
Difahamkan wanita itu sudah berkahwin, tertarik pada lelaki Australia itu yang pandai menyusun ayat-ayat cinta.
“Lelaki itu kemudian menghantar pesanan melalui emel memberitahu ada menghantar kotak hadiah kepada mangsa yang dihantar terus ke KLIA.
“Suspek mendakwa kotak itu berisi sejumlah duit mata wang Euro dan sejambak bunga sebagai hadiah istimewa untuk mangsa. Malah bagi meyakinkan mangsa, suspek memberikan nombor rujukan membolehkan dia menuntut kotak hadiah itu,” katanya.
Bagaimanapun suspek tidak menyangka mangsa sanggup mengambil penerbangan dari Sabah ke KLIA bagi mengambil kotak itu, kelmarin.
“Namun mangsa mula menyedari sesuatu tidak kena apabila pihak KLIA memberitahu kotak berkenaan tidak wujud sama sekali.
“Pada masa sama, mangsa turut menghubungi polis bagi mendapatkan kepastian sama ada kejadian itu ada kaitan dengan taktik penipuan Afrika,” katanya.
Menurutnya, pihak polis yakin mangsa akan tertipu jika tidak melakukan siasatan dan mengikut arahan suspek supaya memasukkan wang ke dalam akaun bank kononnya bagi membolehkan bungkusan itu dibebaskan tadi tahanan pihak KLIA.
“Walaupun taktik penipuan ini sudah acap kali didedahkan melalui media namun masih ramai wanita yang terpedaya dan ditipu sindiket cinta Afrika ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment