ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SEKARANG BUKAN MASA SESUAI LAKSANA HUDUD - ADUN PAS

Saturday 2 May 2015

SEKARANG BUKAN MASA SESUAI LAKSANA HUDUD - ADUN PAS


BUKIT MERTAJAM: Belum tiba masanya untuk hudud dilaksanakan di negara ini, demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tunggal PAS di Pulau Pinang, Datuk Salleh Man.
Jelas wakil rakyat DUN Permatang Pasir itu, undang-undang Islam berkenaan hanya boleh dilaksanakan sekiranya rakyat khususnya masyarakat bukan Islam diberi kefahaman yang jelas mengenainya.
"Ini bukan isu...hudud bukan masa yang sesuai untuk dibawa sekarang ini, tidak kena masanya. Kita mesti fokus dalam keadaan hari ini berkaitan masalah ekonomi, keadilan serta kezaliman.
"Bab hudud ini, insyaAllah satu hari nanti kita akan laksanakan...satu hari nanti," katanya ketika ditemui mStar Online di Taman Ciku yang terletak dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Cross Street di sini, Jumaat malam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesan terhadap kontroversi pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan PAS selama ini dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh yang akan diadakan pada 7 Mei ini.
Bagaimanapun Salleh yakin bahawa konflik di kalangan komponen pakatan pembangkang yang menolak pelaksanaannya tidak akan menjejaskan undi terhadap calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Saya tak rasa isu hudud akan memberi kesan kepada pengundi, sebab orang Islam dah faham.
"Cuma sekarang masanya untuk beri kefahaman kepada yang bukan Islam sahaja. Itu ambil masa sedikit," katanya.
Selain itu, ditanya mengenai tindakan sekumpulan ahli dan aktivis PAS Kawasan Bagan yang mengadakan demonstrasi di hadapan Masjid Batu, Kampung Pertama bagi menyatakan terhadap Dr Wan Azizah, Salleh bagaimanapun mendakwa mereka didalangi Umno.
"Saya rasa mereka didalangi Umno sebab wajah-wajah mereka selama ini pun adalah ejen Umno.
"Kalau mereka betul-betul ahli PAS, mereka tidak akan bertindak sedemikian. Tambahan pula mereka dari Bagan, kenapa datang ke sini ganggu kawasan ini?" soalnya.

No comments:

Post a Comment