ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PELAJAR TINGKATAN 4 MAUT DIBELASAH RAKAN ASRAMA GARA-GARA SIDAI TUALA DI KEPALA KATIL RAKAN

Tuesday 12 May 2015

PELAJAR TINGKATAN 4 MAUT DIBELASAH RAKAN ASRAMA GARA-GARA SIDAI TUALA DI KEPALA KATIL RAKAN

Kerana sidai tuala, pelajar tingkatan 4 maut dibelasah rakan asrama

KOTA BHARU: Seorang pelajar tingkatan empat Kolej Vokasional Bachok maut dipercayai dibelasah rakannya di asrama sekolah berkenaan.

Dalam kejadian sekitar jam 12 tengah malam itu, mangsa Mohd Nor Akram Zime, 16 tahun, didakwa disepak akibat perselisihan faham berhubung kain tuala yang didakwa disidai oleh mangsa di kepala katil rakannya itu.

Menurut bapa mangsa, Zime Yakoob, berdasarkan laporan saksi dan kenyataan rakan anaknya, arwah dikatakan disepak di bahagian badan dan leher.

"Warden telefon dalam pukul 1 lebih. Isteri saya jawab dan diberitahu agar segera ke hospital kerana anak tenat. Kemudian, ada dua anggota polis datang ke rumah memaklumkan bahawa anak saya dah tiada," kata Zime.

Mangsa sebelum ini belajar di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdulllah, Raub, Pahang sebelum bertukar ke kolej berkenaan tiga bulan lalu supaya lebih dekat dengan keluarga.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan anak keempat daripada tujuh beradik itu ialah minggu lalu.

Sementara itu, abang mangsa Mohd Nor Aminuddin berkata adiknya seorang yang tidak mempunyai masalah dan mudah bergaul di rumah.

"Dia depan orang ramai pendiam, jenis suka tolong orang. Kali terakhir jumpa dia pada cuti hari pekerja," kata Mohd Nor Aminuddin.

Mayat mangsa ditempatkan di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk proses bedah siasat dan jenazah dijangka dibawa pulang hari ini.

Mayat mangsa akan dikebumikan di Kampung Gelam, Pasir Puteh hari ini.

Sementara itu, pihak polis mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan siasatan akan dijalankan.

Difahamkan suspek yang juga rakan mangsa sudah ditahan polis.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan, Hussain Awang ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Kata Hussain, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan kerana kes ini sudah menjadi kes polis.

No comments:

Post a Comment