ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KERJASAMA PAS-UMNO : KHALID SAMAD CURIGA DAKWAAN NIK ABDUH

Wednesday 27 May 2015

KERJASAMA PAS-UMNO : KHALID SAMAD CURIGA DAKWAAN NIK ABDUH

KUALA SELANGOR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad mencurigai kenyataan kononnya bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah meninggalkan pesanan supaya parti itu menjalinkan hubungan baik dengan Umno.
Justeru beliau menggesa ahli dan penyokong PAS supaya tidak mempercayai maklumat yang disampaikan pihak ketiga berhubung dakwaan pesanan Nik Aziz di akhir hayatnya itu.
“Saya tak tahu apa yang disampaikan adalah tepat atau sebaliknya. Tapi saya rasa rekod ucapan dan pendirian tok guru cukup banyak untuk dirujuk.
“Tak payah nak bersandarkan kepada pihak ketiga. Video, ucapan dan tulisannya cukup banyak. Jadi bila ada yang kata saat-saat dah nak meninggal tiba-tiba dibisik supaya suruh kerjasama dengan Umno, saya sangat curiga,” katanya ketika berucap pada forum bertajuk ‘Meneruskan Legasi Tuan Guru Nik Aziz’ di sini, Selasa malam.
Pandangan Khalid itu sekaligus menolak pengakuan anak bekas Menteri Besar Kelantan itu sendiri, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz bahawa bapanya pernah berpesan supaya mewujudkan hubungan baik dengan Umno bagi memudahkan pelaksanaan hudud.
Sebelum ini, dilaporkan Nik Muhammad Abduh mendedahkan bahawa bapanya berpesan kepadanya supaya memastikan wujud kerjasama antara PAS dengan Umno untuk memartabatkan agenda Islam.
Mengulas lanjut, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam mengakui bahawa Nik Aziz sangat berhasrat untuk melihat hudud dilaksanakan di Kelantan.
“Saya tak nak nafi beliau memang bercita-cita sangat untuk melihat pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan, tapi sampai ke tahap nak kata lupakan Pakatan Rakyat, tolak pakatan dan bersama dengan Umno dan BN, itu saya tak percaya walaupun satu peratus,” katanya.
Jelas Khalid, Nik Aziz adalah individu paling tegas menghalang jalinan kerjasama antara PAS dan Umno.
“Sangat pelik kerana sepanjang hayatnya, beliau mempunyai sikap yang tegas berhubung Umno dan BN, tiba-tiba kononya pada saat akhir hayatnya meninggalkan pesan atau wasiat yang sebaliknya.
“Bagi Nik Aziz beliau tak pernah anggap Umno ini sebagai satu parti yang boleh kita manfaatkan. Bagi beliau Umno adalah masalahnya. Yang menghalang kefahaman terhadap Islam, yang menghalang kejayaan perjuangan Islam bukan DAP tapi Umno.
"Ini ketegasan yang nyata dan jelas kerana beliau faham siapa sebenarnya lawan kita, saingan kita,” katanya. - mStar

No comments:

Post a Comment