ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: NIK ABDUH KEMBALI KERANA POLITIK MAKIN LEMAH

Friday 22 May 2015

NIK ABDUH KEMBALI KERANA POLITIK MAKIN LEMAH

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berhasrat untuk kembali menjadi kepimpinan Pas bukan sahaja kerana sayap pemudanya lemah bahkan iklim politik negara yang semakin membimbangkan.
 
Beliau berkata krisis politik yang kian meruncing antara Pas, PR dan BN sendiri menyebabkan rakyat semakin keliru untuk menentukan kepimpinan negara dan usaha memulihkannya perlu dilakukan segera.
 
"Semua orang tahu bahawa Pas, PR dan politik Malaysia hari ini dalam keadaan tidak seimbang, maknanya politik negara pun susah, rakyat keliru nak pilih Umno atau PR, Umno sendiri pun ada krisis.
 
"Kami dalam PR pun ada bermasalah, dalam Pas pun ada masalah, itu satu iklim yang memerlukan satu kekuatan...(sebab itu) sahabat diminta untuk kembali, setakat ini saya terima (pencalonan)," katanya kepada Sinar Online selepas forum Murabbi Ummah bertajuk "Untold Story" dan pelancaran album Dikir Tribute To Tok Guru di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.
 
Beliau berkata demikian mengulas hasratnya untuk mencabar Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat dalam pemilihan parti dalam Muktamar Pas ke-61 pada awal Jun ini.
 
Mengulas lanjut, beliau berkata lagi, biarpun sudah mencecah 45 tahun, namun rakan-rakan politiknya mahu anak kepada bekas menteri besar Kelantan itu untuk kembali menerajui kepimpinan pemuda parti itu.
 
"Saya menerima pencalonan sebagai ketua dalam pemuda ini atas desakan daripada kawan-kawan dalam politik yang mengharapkan supaya saya kembali bersama dengan pemuda.
 
"Saya tak tahu, saya umur sudah 45 tahun, tapi orang masih rasa saya pemuda lagi," ujarnya.
 
Sementara itu, beliau menyambut baik cabaran Suhaizan untuk beliau berdebat namun beliau mengambil sikap untuk berdiam diri dan mahu penilaian daya kepimpinan itu dibuat berasaskan rekod prestasi dan sumbangan kepada parti.
 
"Saya pilih yang lebih bagus...(iaitu) untuk berdiam diri dalam tempoh ini sebab ini adalah pertandingan semasa sendiri yang tujuan kita sama, hanyalah mungkin berbeza ialah cara kepimpinan.
 
"Ahli perlu melihat kepada rekod masing-masing, bukan hanya pemuda, tapi jawatankuasa Pas Pusat pun.
 
"Jadi pemilihan ini cukup dilihat daripada rekod prestasi masing-masing, soal hendak bercakap pasal hala tuju itu, boleh kita cakap selepas dari ini (pemilihan)," katanya lagi.
SH

No comments:

Post a Comment