ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TERIMA KASIH PAS - AZMIN

Tuesday 12 May 2015

TERIMA KASIH PAS - AZMIN


KUALA LUMPUR: Kemelut antara PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh dilihat semakin reda apabila parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong pelantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai ketua pembangkang yang baharu.

Saranan pelantikan Ahli Parlimen Permatang Pauh yang baharu itu bagi menggantikan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara selama lima tahun bersabit kesalahan liwat keduanya.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, beliau telah meneliti kenyataan yang dibuat Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Terima kasih kepada PAS atas sokongan terhadap pencalonan Dr Wan Azizah," katanya selepas majlis pengagihan bantuan pendidikan di Selayang, pada Selasa.

Pada majlis itu, bantuan berjumlah lebih RM1 juta diagihkan kepada 57 tadika, 49 sekolah serta 40 individu bagi tujuan pendidikan.

Azmin menambah, ketokohan dan kewibawaan Dr Wan Azizah untuk memimpin Pakatan Rakyat di Parlimen diyakini kerana beliau pernah menjadi ketua pembangkang sebelum ini.

"Kita percaya beliau boleh meneruskan tugas dan tanggungjawab dengan baik walaupun terlalu banyak isu yang sedang dibahaskan," katanya.

Dalam pada itu, Azmin berkata, isu mengenai berlakunya sabotaj di kalangan parti gabungan Pakatan tidak seharusnya timbul lagi kerana pilihan raya kecil itu sudah selesai.

"Pilihan raya sudah pun selesai dan majoriti yang mengundi juga cukup besar serta meyakinkan," katanya.

No comments:

Post a Comment