ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PIALA FA : 'POK YA RAMBO' NAZAR BERLARI DARI BUKIT JALIL KE KOTA BHARU

Thursday 21 May 2015

PIALA FA : 'POK YA RAMBO' NAZAR BERLARI DARI BUKIT JALIL KE KOTA BHARU


KOTA BHARU: Seorang peminat fanatik pasukan 'The Red Warriors' (TRW) bernazar mahu berlari dari Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur ke Kota Baharu, jika Kelantan menjulang Piala FA, Sabtu ini.

Zakaria Yusof, 65, datuk kepada 13 cucu itu, berkata sekiranya pasukan Kelantan menang, misinya itu akan bermula pada 8 pagi, hari berikutnya.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan 'Pok Ya Rambo' berkata idea itu timbul apabila melihat peminat Pahang, Abdul Majid Abdul Hamid, 58, atau Pak Majid menunaikan nazarnya dengan berjalan kaki secara solo sejauh 280km dari Kuantan ke Stadium Shah Alam, tahun lepas.

"Jika dia (Pak Majid) boleh melakukanya, saya juga mampu untuk buat... jadi saya mahu buktikan bahawa usia bukan penghalang.

"Ini merupakan tanda sokongan saya kepada pasukan Kelantan dan saya harap kita akan menang pada perlawanan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

"Isteri saya, Wan Moh Wan Abdullah, 52, dan anak tidak ada sebarang masalah dengan misi ini," katanya.

Misinya itu membabitkan jarak perjalanan kira-kira 500km, bermula dari Stadium Bukit Jalil ke Kuala Lipis, Pahang sebelum memasuki Kelantan dan menamatkan lariannya di Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Lions XII dari Singapura akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kelantan, yang muncul juara pada 2012 dan 2013, mara ke final menerusi kemenangan agregat 3-2 ke atas juara bertahan Pahang pada separuh akhir.

Lions XII pula melangkah ke final menerusi peraturan gol tempat lawan walaupun terikat 4-4 secara agregat dalam satu lagi aksi separuh akhir dengan Terengganu, Sabtu lalu. - Bernama

No comments:

Post a Comment